Sukarnya mendidik anak alaf baharu - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Sukarnya mendidik anak alaf baharu



SABAN hari kita mendengar dan membaca berita berkaitan permasalahan anak dalam sesebuah keluarga. Kalau dahulunya hanya bersikap melawan ibu bapa, namun pada hari ini sudah mula berani dan tidak malu untuk mencederakan ibu bapa mereka. Kalau dahulu hanya jiwa ibu bapa sahaja yang sakit, namun hari ini fizikal pun sudah mula sakit.

Seiring dengan permasalahan anak-anak ini, sudah ribuan wacana, bengkel dan pembentangan ker-tas kerja telah dilakukan untuk membincangkan hal ini. Setiap isu dikupas dengan teliti. Rangka kerja dan cadangan telah dirumuskan dalam setiap wacana tersebut. Namun masalah anak-anak pada alaf baharu ini semakin menjadi-jadi. Runsing dan takut kita dibuatnya.

Beberapa tahun lepas saya telah dipanggil bertugas sebagai salah seorang penasihat mahkamah kanak-kanak. Pada hari tersebut terdapat beberapa kes yang dibica-rakan di mahkamah itu. Namun kes seorang pelajar yang mencuri sehingga kini masih segar dalam ingatan saya.

Pelajar tersebut telah pun mencuri sebelum ini dan telah dibebaskan dengan jaminan mahkamah selama setahun. Ini bermakna pelajar berkenaan tidak boleh melakukan salah laku yang bercanggah dengan undang-undang negara dalam tempoh jaminan tersebut. Walaupun begitu, pelajar tersebut telah ingkar dengan melakukan kesalahan mencuri.

Apabila hendak dijatuhkan hukuman, majistret telah tanya pendapat saya tentang hukuman yang sesuai. Saya tanpa teragak-agak telah memberikan pandangan saya bahawa pelajar berkenaan sudah sampai masanya perlu dihantar ke sekolah pemulihan akhlak.

Apabila hukuman dijatuhkan, pelajar berkenaan terus meraung, menangis dan berulang-ulang menyebut; “Ayah, tolonglah Adik. Adik tidak mahu ke sana. Ayah, tolonglah Adik, Adik janji tak buat lagi. Ayah, tolonglah Adik, Adik takut untuk ke sana.” Hati mana yang tidak cair sewaktu itu. Sebagai penasihat mahkamah kanak-kanak, saya juga perlu menasihatkan pesalah dan ahli keluarga mereka.

Setelah ditenangkan hati dan dikuatkan minda saya berkata kepada mereka; “Adik dan ahli keluarga sekalian. Keputusan ini perlu dibuat kerana Adik sudah tidak lagi mentaati dan menghormati keluarga Adik. Manakala para ahli keluarga juga telah tidak mampu untuk mendidik dan mengawal Adik. Biarlah pihak yang pakar dalam mendidik orang-orang seperti Adik ini pula mengambil alih. Ramai sudah yang berjaya dipulihkan di sekolah ini dan berjaya dalam hidup mereka.” Alhamdulillah mereka akur nasihat tadi dan sudah tiada lagi raungan dan jeritan selepas itu.

Sebetulnya kehidupan hari ini semakin mencabar. Disebabkan tuntutan ekonomi ibu bapa majo-ritinya bekerja. Masa untuk keluarga dan anak-anak adalah amat terhad. Anak-anak pula sentiasa terdedah gejala negatif baik di luar dan di dalam rumah. Kalau di luar, mereka mudah dipengaruhi rakan-rakan, manakala di dalam rumah pula terdedah dengan media sosial menerusi gajet dibelikan ibu bapa.

Sekarang anak-anak lebih cepat kenal gajet daripada kenal huruf. Ibu bapa mudah tertipu dengan sikap anak yang dikatakan baik kerana tidak keluar rumah, sebaliknya ber-kurung di dalam bilik.

Walhal mereka sedang menggu-nakan gajet untuk pelbagai medium. Ada yang berbual berkaitan seks dengan pasangannya sehingga ke peringkat mendedahkan alat sulit. Ada yang bermain mainan atas talian sehingga terlupa untuk makan dan sementelahan solat. Lebih mengerikan ada yang belajar buat bom menerusi gajetnya.

Telah ramai bijak pandai yang bersuara agar jangan berikan gajet kepada anak-anak sewaktu mereka masih bersekolah, harus kawal internet, jangan langgan internet dan pelbagai lagi cadangan bersifat mencegah.

Namun, ada juga berpandangan bahawa agak sukar mencegah kerana mereka akan berusaha untuk mendapatkan akses daripada kawan-kawan lain pula.

Saya juga banyak berbincang berkaitan permasalahan ini dengan beberapa pakar psikologi dan banyak ditanya soalan sama sewaktu mengendalikan bengkel pembangunan diri.

Rumusannya, kita harus seiring dengan teknologi. Walaupun begitu, penerapan disiplin, pemantauan, peringatan dan memberikan kese-daran harus dilakukan secara berterusan agar mereka tidak tersalah jalan.

Sebetulnya, selain pengaruh gajet ini ada lagi yang lebih besar dalam mendidik anak-anak iaitu komunikasi dengan seluruh ahli keluarga. Pada hari ini, jarang anak-anak berkomunikasi secara langsung dengan ahli keluarga.

Perkara yang mudah tapi payah dilakukan ialah makan bersama dengan seluruh ahli keluarga sekurang-kurang sekali dalam sehari ataupun dua atau tiga kali dalam masa seminggu.

Kemesraan boleh dipupuk dengan makan bersama. Namun agak malang jika tempat makan digunakan sebagai medium mema-rahi anak-anak dan membenarkan gajet masih bersama mereka sewaktu makan. Ingatlah anak-anak kita semakin membesar.

Paolo Coelho pernah berkata: “Dunia ini berubah menerusi teladan yang baik dan bukan setakat memberikan pandangan sahaja.” Ibu bapa perlu tunjukkan contoh yang baik. Doa kepada anak-anak harus jangan tinggalkan. Keraplah berkomunikasi dengan ALLAH kerana aturan-Nya adalah terbaik. Gunalah gajet untuk mendekatkan kasih sayang.

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/dr-huzili-hussin/sukarnya-mendidik-anak-alaf-baharu-1.752100
0 Komentar untuk " Sukarnya mendidik anak alaf baharu "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ