Skim Ponzi bertopengkan Islam - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Skim Ponzi bertopengkan Islam



SKIM Ponzi adalah salah satu skim penipuan yang mendapat namanya rentetan penipuan Charles Ponzi terhadap rakyat Amerika yang melibatkan wang sejumlah AS$20 juta pada 1920. Ponzi menawarkan pulangan jangka pendek yang luar biasa tinggi untuk menarik pelabur.

Permainan wang (money game) ini yang merupakan skim cepat kaya menjana sumber daripada pendaftaran ahli baharu dan menggunakan sumber tersebut untuk membayar duit dalam bentuk dividen, bonus, komisen atau hibah (jika ingin kelihatan Islamik). Ia bukanlah daripada aktiviti perniagaan atau penjualan produk dan perkhidmatan.

Sejak akhir-akhir ini, ramai umat Islam menjadi mangsa apabila skim sebegini berselindung di sebalik Islam; kononnya hendak membantu umat Islam sebagai salah satu jihad ekonomi. Antaranya, kononnya membantu umat Islam membeli atau membuat rumah pada harga yang sangat rendah berbanding harga pasaran. Antara syaratnya pula, wajib mengikuti program pengajian al-Quran dan seminar solat!

Syarikat A menawarkan sebuah rumah banglo setingkat dengan keluasan terbina 1,750 kaki persegi (kp) di atas tanah berkeluasan antara 4,000 ke 5,400 kp pada harga RM99,000 yang akan diserahkan selepas 36 bulan daripada tarikh perjanjian. Selain harga yang tidak masuk akal, pihak pembeli dijanjikan elaun bulanan RM500 selama 36 bulan. Elaun tersebut sebenarnya daripada duit RM99,000 yang perlu dibayar penuh oleh pembeli kepada syarikat terlebih dahulu.

Atas rasa tanggungjawab sebagai perunding kewangan, sahabat saya, Afyan Mat Rawi, yang tidak rela melihat anak bangsa diperdaya bangsa sendiri, telah menulis sebuah buku berjudul Tersontot di Pintu Shorga. Dengan penggunaan bahasa yang bersahaja dan mudah difahami, beliau menulis tentang ciri-ciri skim cepat kaya dan pengalaman peribadinya menentang golongan yang terlibat dalam penipuan sebegini.

Pada peringkat awal pendedahan yang dibuatnya melalui laman FB, beliau diugut, dicemuh dan dikutuk oleh pelbagai pihak yang berkepentingan. Malah, beliau juga telah disaman. Walaupun perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk khidmat peguam dan sebagainya, saudara Afyan sanggup demi untuk mendedahkan golongan yang menjual agama ini.

Saya pernah menulis artikel bertajuk Awas cikgu berjubah tetapi auta yang telah disiarkan dalam ruangan ini pada 27 Disember 2016. Ia berkenaan golongan yang menjual agama melalui skim pajakan hotel di Makkah dan Madinah.

Dalam artikel tersebut, saya menamakan si penipu sebagai 'Cikgu A', yang berselindung di sebalik kepetahan berbicara, sentiasa berjubah dan sering memberi sumbangan kepada madrasah serta rumah anak yatim. Dia kononnya memperjuangkan jihad ekonomi; membantu melahirkan lebih ramai hartawan dan dermawan Islam, juga membantu umat Islam berjaya di dunia dan akhirat.

Ekorannya, saya diugut untuk disaman atas dakwaan cuba mencemar nama baik Cikgu A. Siapa makan cili, dialah terasa pedas. Cikgu A telah didakwa di Mahkamah Majistret Selayang pada 23 Februari 2017 atas dua pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM691,000 untuk aktiviti pelaburan perdagangan komoditi dan pajakan hotel. Mangsanya merupakan sahabat saya juga. Dia dan isterinya juga pernah ditahan pada awal Februari 2017 kerana disyaki terlibat dalam skim pelaburan palsu sehingga mengakibatkan kerugian RM20 juta.

Antara dilema dalam usaha masyarakat umum membanteras skim sebegini adalah rasa serba-salah untuk menyebut nama syarikat berkenaan. Jika disebut, dikatakan dengki, kononnya ingin menjatuhkan perniagaan orang lain dan berhadapan kebarangkalian dimaki secara berjemaah oleh pihak-pihak yang terlibat. Jika tidak disebut pula, dikatakan play safe tetapi setelah kegiatan terbabit terbongkar, dipersoalkan pula kenapa tidak dilaporkan segera.

Maka, yang biasanya disebut ialah skim-skim yang sudah terbongkar seperti Pak Man Telo, Labu Peram, Swishcash, Geneva, Mecca Fund, Islamic Hotel dan sebagainya.

Orang ramai harus berhati-hati dengan skim Ponzi sebegini yang telah merugikan jutaan ringgit duit rakyat. Bak kata saudara Afyan, cara mudah untuk mengelak daripada terlibat dalam skim sebegini adalah dengan memegang prinsip, “semua skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tetap atau skim bisnes yang too good to be true ialah skim cepat kaya, kecuali dibuktikan sebaliknya.”

Bersama-samalah kita membanteras jenayah kewangan ini.

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/johari-yap/skim-ponzi-bertopengkan-islam-1.756881
0 Komentar untuk " Skim Ponzi bertopengkan Islam "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ