Institusi pengajian tinggi (IPT), institusi kewangan, syarikat pelaburan antara yang sedang hangat dikaitkan dengan wakaf. Sekiranya penyampaian intipati informasi terhadap perkara ini sangat longgar dan tidak praktikal malah tidak berlandaskan hukum hakam yang betul, wakaf akan tidak berbeza dengan konsep charity atau endowment di bawah peraturan konvensional.
Paling merisaukan jika pandangan yang diperoleh tidak dihujahkan dari perspektif bukan pakar syariah kerana asas wakaf adalah aspek hukum, bukan perkara lain dan dalam muamalat, hukum itu yang menentukan riba atau tidak.
🔥Manfaatkan kelebihan wakaf🔥
Kebijaksanaan dan ilmu pengetahuan adalah perlu sebagai saringan untuk memberi kefahaman yang betul mengenai evolusi wakaf kini. Transformasi perkembangan pelaksanaan wakaf bukan bermaksud wakaf itu semata-mata percuma yang tiada unsur penjanaan keuntungan.
Sebagai contoh, elemen wakaf dalam ekosistem di IPT ketika ini perlu didukung dua perkara asas walaupun bersifat abstrak, tetapi begitu relevan supaya IPT kita benar-benar memanfaatkan kelebihan wakaf ini.
Yang pertama, warga kepemimpinan IPT perlu memiliki dan menguasai paduan intelektual dan kebijaksanaan dalam menerobos bidang wakaf untuk pendidikan, bermaksud pakar syariah dan perundangan adalah yang induk dan didukung oleh bidang lain dan bukan sebaliknya.
Penggemblengan ilmu dan bijaksana mengupas persoalan salah faham impak sosial mengenai wakaf bagi mengelak kekeliruan akibat penggunaan istilah wakaf yang masih sempit pemahamannya.
Pelaksanaan wakaf pendidikan akan terbantut malah boleh tersongsang tanpa ilmu dan kebijaksanaan kepemimpinan warga IPT kerana ia turut babit perubahan cara hidup masyarakat dalam kehidupan.
Kebijaksanaan kepemimpinan di IPT yang menyokong keilmuan amat perlu untuk menolak impak sosial berkaitan wakaf pendidikan yang ada kalanya dilihat boleh membawa kepada kesan negatif. Malah, ilmu dan kebijaksanaan perlu seiring demi pembangunan harta wakaf melalui sistem pengurusan kemas dan teratur yang ditambah baik agar beri kesan positif kepada masyarakat sejagat.
Ini bermaksud, Majlis Agama Negeri (MAN) perlu dilibatkan dari proses awal hingga akhir kerana majlis agama sudah menguasai bidang ini dan mempunyai kemahiran berkongsi justifikasi hartanah bersifat wakaf, terutama kesan peruntukan perundangan dalam enakmen negeri.
Malah, kerangka perundangan longgar dan keselerakan data wakaf negara boleh undang kepincangan aturan wakaf pendidikan maka hasilnya tidak seperti diharapkan.
🔥Ada sebab Majlis Agama Negeri pegang kuasa🔥
Tidak mudah mengurus wakaf tanpa garis panduan bersesuaian kehendak pengajian tinggi negara. Walau bagaimanapun, MAN adalah peneraju wakaf yang diberikan kuasa eksklusif oleh perundangan. Ada hikmah dan asbab sejak merdeka malah sebelum merdeka kenapa kuasa untuk wakaf diberi kepada MAN.
Statut berkaitan wakaf pendidikan contohnya, yang disasarkan jika tanpa ilmu dan kebijaksanaan hanya akan jadi sebuah kitab yang mengumpul peruntukan tanpa dapat dilaksanakan disebabkan kepincangan peruntukan diwujudkan dari minda tanpa ilmu atau mungkin juga berilmu tanpa kebijaksanaan.
Majlis agama perlu dibabitkan dalam pembangunan akta atau enakmen khas wakaf. Selain itu, pakar yang ada pengalaman industri di samping berpengetahuan perundangan dan syariah amat wajar menjadi komposisi pembuat enakmen itu. Wakaf bukan bermaksud sesuatu yang percuma jika dikaitkan dengan elemen pembaharuan dalam ekonomi. Perlu dijaga dan dipelihara adalah hukum asas wakaf dan ini perlu bersama-sama dengan MAN kerana punca kuasa adalah Sultan.
Malah, harta wakaf, sama ada harta tak boleh alih atau boleh alih, tidak akan habis kerana manfaat atau pulangan daripada penggunaan harta itu akan berterusan sampai bila-bila, walaupun pemilik asalnya lama meninggal dunia. Bayangkan tanah wakaf di Malaysia yang nilai keseluruhannya kini melebihi RM60 juta, jika diurus dengan baik pihak diamanahkan, pasti ia mampu menjana ekonomi negara.
Menyentuh permasalahan berkaitan pengurusan harta wakaf , antaranya kekurangan dan ketiadaan data maklumat wakaf, harta tanah wakaf ada kalanya bersaiz kecil dan kedudukannya berselerak dan tidak teratur. Permasalahan ini tidak perlu digalas oleh MAN semata-mata kerana data berkaitan hartanah wakaf ini merentasi pelbagai elemen yang lain seperti governans dan perundangan, ketiadaan dokumen lengkap, dan lain-lain lagi yang di luar bidang kuasa MAN.
Sebagai contoh, beberapa peruntukan dalam Kanun Tanah Negara seperti seksyen 4 (2), 5, 76 (aa) (i) & (iii), 416C yang kurang difahami ramai.
Oleh Prof Datuk Dr Inayah Yaakob
Penulis ialah Dekan Fakult Perniagaan dan Perakauanan UNISEL
https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2017/11/351746/ilmu-kupas-salah-faham-wakaf
0 Komentar untuk " Ilmu kupas salah faham wakaf "