FORUM Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) berjaya menarik ratusan pakar kewangan Islam dari seluruh negara. Salah satu program penting KLIFF tahun ini ialah persidangan meja bulat dengan kerjasama pusat penyelidikan dan latihan CERT, Amanie Advisors, majalah Malaysian Business dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Tema dibincangkan ialah operasi dagang secara Islam. Seramai 30 pakar dijemput berkongsi pandangan. Mereka mengutarakan idea bagaimana bank Islam di Malaysia dapat menyumbang dengan lebih signifikan kepada aktiviti perdagangan antarabangsa.
Kini, sektor operasi dagang hanya mewakili lima peratus daripada keseluruhan transaksi perbankan Islam negara. Pencapaian ini tidak memberangsangkan. Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika pembukaan KLIFF yang bertajuk Real Finance for Real Economy adalah tepat pada masanya.
Jumlah eksport Malaysia pada Januari hingga Julai lalu adalah RM478 billion, peningkatan 18 peratus berbanding tahun lalu dalam tempoh sama.
Negara Islam yang menjadi rakan dagangan utama Malaysia termasuk Indonesia, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi. Soalnya, mengapa instrumen perbankan Islam tidak popular dalam kalangan pengeksport dan pengimport dari negara Islam sendiri?
Kerajaan ingin menjadikan Malaysia sebagai hab industri halal. Adakah bank Islam bersedia menyahut cabaran ini dengan menyediakan produk dan khidmat kewangan untuk keseluruhan rantaian perniagaan bermula daripada pengeluaran, pengeksportan dan penerimaan bayaran?
Setakat ini, belum ada institusi perbankan Islam Malaysia boleh dinobat sebagai peneraju aktiviti perdagangan antarabangsa. Rata-rata bank Islam hanya menawarkan produk paling asas dalam urusan eksport dan import seperti surat jaminan bank.
Strategi pertama mengembangkan sektor ini adalah menyediakan pakej produk dan khidmat lengkap kepada pengeksport dan pengimport. Produk dan khidmat baharu yang diwujudkan mestilah mempunyai kelebihan berbanding produk perbankan konvensional.
🔥Ubah cara berfikir🔥
Ahli perbankan Islam perlu ubah cara berfikir dan bekerja untuk mencapai hasrat ini. Mereka perlu memahami selok-belok operasi dagang dan mengutamakan kehendak pelanggan. Tiga perkara utama bagi pengimport dan pengeksport ialah kecekapan urusan, khidmat yang boleh dipercayai dan harga munasabah.
Bank Islam boleh meneliti produk dan khidmat yang ditawarkan perbankan konvensional. Prosedur operasi standard (SOP) yang tidak bercanggah dengan syarak boleh diguna pakai untuk produk Islamik. Selain itu, bank Islam sepatutnya beri penekanan kepada teknologi baharu pada era ekonomi digital ini bagi mempercepat proses pengendalian dokumen.
Strategi kedua ialah bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Perdangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi mempromosi produk dan servis ditawarkan. MATRADE mempunyai jaringan pengusaha perniagaan yang berurus niaga dengan negara Islam. Senarai itu dapat membantu bank Islam menembusi sektor operasi dagang.
Strategi ketiga ialah mewujudkan konsortium yang aktif dalam aktiviti perdagangan antarabangsa. Konsortium ini ditubuhkan hasil kerjasama antara bank Islam bertujuan mengendalikan sepenuhnya urusan import dan eksport.
Konsortium ini dilihat lebih fleksibel dalam memenuhi keperluan pengimport dan pengeksport berbanding struktur korporat institusi perbankan.
🔥Tangani beberapa cabaran🔥
Namun, beberapa cabaran perlu ditangani sebelum bank Islam mempergiatkan usaha dalam sektor operasi dagang ini. Bank Islam perlu memastikan penarafan kredit pada peringkat antarabangsa adalah pada tahap yang baik.
Tanpa penarafan kredit yang baik sukar untuk bank lain melakukan transaksi dengan mereka. Kedua, pembabitan bank Islam dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu ditingkatkan. Industri import dan eksport membabit ramai pengusaha skala pertengahan. Bank Islam perlu lebih mendekati industri PKS dan membantu mereka menembusi pasaran antarabangsa. Selain itu perlu lebih berani berkongsi, bukan memindahkan risiko semata-mata.
https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2017/11/352899/tingkat-sumbangan-perbankan-islam
0 Komentar untuk " Tingkat sumbangan perbankan Islam "