Pendidikan agama pasak pembangunan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pendidikan agama pasak pembangunan


KITA perlu menerima hakikat bahawa matlamat akhir pembangunan tidak lagi boleh berasaskan pencapaian ekonomi semata-mata, sebaliknya pembangunan menyeluruh. Amanah dan tanggungjawab kita sangat besar untuk mencapai makna pembangunan yang melengkapkan definisi kita sebagai bangsa yang berjaya, mempunyai pemikiran dan sistem nilai termaju. Bukan sekadar berpendapatan tinggi tetapi berbudaya tinggi, berkeperibadian unggul, berpegang pada nilai dan berfikiran maju.

Bagi mencapai tujuan itu, kita perlu mencari keseimbangan dalam pembangunan. Kita perlukan elemen yang boleh berikan imbal balik, agar dalam semua kepesatan dan keghairahan kemajuan ini, kita tidak tersasar. Elemen yang tidak akan menjerumuskan masyarakat kepada kehidupan tanpa nilai, suluhan rohani, iman dan rasa kebergantungan kepada Tuhan dan agama.

Dalam konteks gagasan Johor Berkemajuan yang menjadi wawasan penting pembangunan Johor, kita tidak boleh jadi bangsa yang meninggalkan jalan agama. Meskipun kita menatang pembangunan ekonomi yang sangat pesat, ia perlu sejajar dengan jalan Tuhan dan rohani. Apatah lagi, masyarakat yang terbaik hanya akan terjelma dengan kemajuan dan kemodenan dipandu ilmu wahyu dan kebenaran.

Persoalannya, jika faktor agama adalah penting dalam keseimbangan pembangunan, apakah atau siapakah yang dapat memainkan peranan besar memberi keseimbangan ini? Jawapannya, sistem pendidikan agama kita. Pastinya, guru agama perlu memimpin keseimbangan ini.

🔥Sistem pendidikan agama kukuh🔥

Di Johor misalnya, kita sangat beruntung kerana mempunyai sistem dan institusi pendidikan agama yang kukuh sehingga menjadi identiti negeri. Sejak sekian lama, sekolah agama menjadi katalis terpenting untuk memajukan bangsa dan negeri. Malah, sekolah agama berupaya menjadi Benteng Moral Johor Berkemajuan yang menjana masyarakat terbaik atau masyarakat 'kamil' di Johor selama ini.

Dalam usaha melonjakkan peranan dan sumbangan sekolah agama, kita perlu memperkukuh keupayaan sekolah dan modal insan agar lebih berdaya saing. Dalam hal ini, saya mencadangkan tiga perkara bagi merealisasikan gerakan memodenkan pendidikan agama.

Pertama, pemantapan kebajikan guru dan pentadbir sekolah agama. Kita perlu terus cari jalan dan inisiatif baharu bagaimana menjadikan aspek kebajikan guru dan pentadbir sekolah agama kekal kompetitif dan setanding skim imbuhan profesional lain. Ini bagi memastikan profesion perguruan dan pentadbiran sekolah agama dihormati dan disegani masyarakat.

Kedua, pemantapan prasarana. Sistem pendidikan agama sudah beratus tahun usianya. Justeru, prasarana pendidikan agama di Johor mesti dimantapkan. Ia mesti dibangunkan dengan cara yang cerminkan kepentingan pendidikan Islam. Kita mahu apabila disebut sahaja sekolah agama, tergambar institusi pengajian moden, dilengkapi kemudahan pembelajaran kondusif.

🔥Transformasi kurikulum🔥

Ketiga, semakan dan pemerkasaan sukatan, kurikulum dan pendekatan pedagogi. Untuk menjadikan sekolah agama ini benteng rohani bangsa Johor, ia menuntut transformasi kurikulum dan pedagogi yang tulen. Pada masa sama, kita harus manfaatkan teknologi agar proses pembelajaran dan pengajaran jadi kreatif serta lebih menarik.

Kita mesti menjadikan kunjungan harian anak ke sekolah agama sebagai kunjungan yang penuh keterujaan. Mereka teruja untuk belajar, menelaah dan menghabiskan waktu dengan bermanfaat di sekolah. Jangan kita biarkan sesi sekolah agama ini disaratkan dengan peraturan dan larangan demi larangan yang hanya menjauhkan atau aktiviti yang bosan atau sekadar program bersifat hafalan yang tidak menarik.

Bagaimanapun, kita percaya gerakan memodenkan pendidikan agama ini tidak akan dapat direalisasikan jika tidak mempunyai sumber ruang dan lebih penting, kuasa membuat keputusan. Tanpa kuasa dan kekuatan politik, tidak akan ada jalan konkrit untuk menjadikan apa dirancang menjadi kenyataan.

Justeru, pemerintahan Melayu Islam di Johor khususnya, mesti didukung tanpa berbelah bahagi. Bukan sekadar mempertahankan, tetapi memperkuatkannya. Kita memerlukan kuasa politik untuk memastikan kelangsungan dan kepentingan Islam dan Melayu di Johor dan Malaysia terpelihara. Hal ini semakin penting kerana tanpa pengaruh dan kuasa politik, kepentingan Islam dan Melayu juga akan menjadi semakin terhimpit.

Tanpa pengaruh dan kuasa politik, iltizam dan hasrat menjadikan pendidikan agama sebagai rukun dan pasak pembangunan, akan kabur. Tanpa pengaruh dan kuasa politik, pendidikan agama dan agenda Islam akan sekadar sisipan, sampingan dan sekunder atau bukan keutamaan.

Guru agama yang menjadi pendiri kepada sistem pendidikan agama perlu mempertahankan kuasa politik Melayu Islam. Mereka perlu mempunyai pendirian yang berani untuk mendukung perjuangan dan pencerahan bangsa, serta menolak pergerakan politik yang penuh kecelaruan dan kekusutan matlamat perjuangan.

Hakikatnya, kita tidak boleh lemah secara politik kerana kelemahan politik Melayu Islam akan mengancam kedudukan, pengaruh dan kepentingan orang Melayu Islam di Johor khususnya dan Malaysia amnya. Pendidikan agama adalah teras kepada keseimbangan dan benteng moral masyarakat. Kemajuan dan kemodenan pesat tanpa agama dan rohani, adalah kehidupan yang sangat pincang dan cacat.

Lebih malang, kemajuan tanpa agama menjadikan nurani bangsa kita bercelaru. Saya dan kerajaan negeri berjanji akan terus berusaha dan menanam iltizam politik yang tinggi, untuk memperkukuh sistem pendidikan agama bagi menjayakan agenda masyarakat Islam di Johor khususnya dan di Malaysia amnya.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2017/07/304556/pendidikan-agama-pasak-pembangunan
0 Komentar untuk " Pendidikan agama pasak pembangunan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ