TEMPOH hari saya ada terbaca di BH akan satu laporan Jabatan Perangkaan mengatakan, berdasarkan bancian 2016-2017, Malaysia mempunyai lebih ramai penduduk lelaki berbanding perempuan.
Nisbah jantina negara kita kini dalam kedudukan 107 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
Maka, timbul beberapa persoalan. Pertamanya, saya anggap kini bolehlah kita menolak mitos setiap penceramah propoligami yang seringkali menggunakan sebab tujuh wanita berbanding satu lelaki sebagai alasan untuk berkahwin lagi dan kedua, berdasarkan nisbah ini sudah tentu wanita kini mempunyai kelebihan memilih pasangan, bukan?
Tetapi, mengapa realitinya seperti berbeza? Dari sudut pandangan peribadi yang tidak disimpulkan melalui sebarang kajian saintifik atau statistik, saya lihat ramai juga wanita muda sukar mencari pasangan.
Biasa kita dengar kisah wanita berkerjaya menjangkau umur 30-an sukar mencari pasangan untuk dijadikan teman hidup. Saya ambil contoh satu laporan berita Channel News Asia mengenai Halal Speed Dating yakni satu sesi ramah mesra mencari pasangan mengikut hukum syarak.
Dalam sesi ini, pasangan akan mengenali satu sama lain dalam tempoh terhad sambil ditemani wali atau wakil keluarga pihak perempuan. Laporan itu ada memetik Munirah Tunai, penganjur Halal Speed Dating ini yang menyatakan masalah utama menganjurkan acara seperti ini:
"Cabaran yang kami hadapi sekarang ialah untuk mencari peserta lelaki. Berdasarkan jumlah peserta yang telah berdaftar dengan kami, lebih kurang 5,700 orang, hanya satu pertiga dari mereka adalah lelaki. Banyak peserta perempuan bertanyakan kepada kami mengapa tidak kami menganjurkan lebih banyak program seperti ini dengan skala yang lebih besar? Saya menjawab, boleh sahaja kami buat tapi kalau tidak cukup peserta lelaki tentu matlamat tidak dapat dicapai."
🔥Jumlah lelaki lebih tinggi🔥
Walaupun dari segi perangkaan jumlah lelaki lebih tinggi, masih ada persepsi sukar untuk wanita mencari pasangan. Persoalannya, di manakah lelaki ini semua berada dan apakah kualiti atau ciri-ciri lelaki masa kini? Mungkin masalah sebenar bukan jumlah lelaki tetapi calon lelaki berkualiti sebagai calon pasangan dilihat amat kurang dalam pasaran.
Saya kini bakal menyentuh isu agak sensitif tetapi saya fikir wajar kita bincangkan. Saya berpendapat mungkin satu punca kepada ketidakseimbangan jantina dalam pasaran mencari pasangan hidup ini adalah trend yang dilihat semakin bercambah dalam kalangan lelaki, di mana semakin ramai lelaki tidak berminat berpasangan secara normal.
Suatu ketika dahulu budaya lelaki berpasangan dengan jantina sendiri dilihat sebagai suatu perkara yang cukup asing dalam kalangan masyarakat kita. Apatah lagi rata-rata kita sebagai orang Islam belajar melalui kisah Nabi Lut AS dan kaumnya yang dilaknat Allah SWT kerana mengamalkan gaya hidup songsang. Walaupun perkara ini turut berlaku dahulu, namun ianya selalu dilihat dalam ruang lingkup kes yang terpencil dan jarang kita dengar.
Punca mengapa terdetik isu ini di fikiran ialah berdasarkan pengalaman saya, baru-baru ini sewaktu berjalan di kota London, di mana sebagai seorang wanita Melayu, saya mengalami kejutan budaya apabila melihat dengan terang-terangan banyak pasangan songsang ini bercumbu dan berpegang tangan di khalayak ramai mengalahkan pasangan suami isteri baru berkahwin, kalah merpati dua sejoli.
Realiti masa kini adalah seolah-olah perkara ini semakin hari semakin diarusperdanakan dalam kalangan masyarakat kita. Adakah pada era globalisasi dan penembusan teknologi maklumat, semakin ramai anak muda terjebak dengan pengaruh gaya hidup songsang melalui media, filem atau media sosial?
Saya ada juga mendengar pandangan sesetengah pihak antara punca peningkatan golongan ini adalah sistem persekolahan berasrama. Di mana pada lewat 1980-an dan awal 1990-an tumbuhnya banyak sekolah berasrama penuh mengasingkan pelajar lelaki dan perempuan, mereka berpendapat, apabila kita mengumpulkan sekumpulan remaja lelaki dalam suasana terhad, tertutup dan tidak bergaul dengan jantina lain pada umur waktu mereka mencapai akil baligh pasti akan timbul permasalahan seperti ini.
Dikatakan lagi gaya hidup songsang ini adalah hasil budaya dan pengaruh yang dibawa sejak dari zaman sekolah berasrama penuh. Tidak kiralah apa pun puncanya namun apa yang pasti perkara ini berlaku dan ianya bukanlah lagi berada dalam satu kelompok kecil dan tersembunyi. Kita tidak harus memandang perkara ini secara acuh tak acuh kerana ia babit asas kemasyarakatan itu sendiri yakni institusi kekeluargaan dan perkahwinan.
Saya bukanlah meminta sesiapa memerangi atau mendiskriminasi mana-mana golongan tertentu kerana permasalahan ini tidaklah semudah itu tetapi selaku umat Islam yang berpegang kepada akhlak dan nilai keagamaan, pasti gaya hidup songsang ini tidak sesuai dengan idealisme masyarakat yang ingin kita bina.
🔥Masing-masing ada peranan🔥
Walaupun saya berpendapat wanita itu harus setara dan sama tarafnya dengan lelaki namun ini tidak bermakna kita ini sama. Dari segi biologi pun dengan jelas dapat dilihat lelaki dan wanita itu adalah berbeza. Masing-masing mempunyai peranan yang harus dimainkan untuk membentuk sesebuah masyarakat bertamadun.
Budaya songsang yang kini semakin merebak dilihat membawa ketidakseimbangan dalam membentuk asas masyarakat itu sendiri yakni membina sebuah keluarga dan saya kira ada kewajaran untuk kita melihat akan perkara ini. Namun, permasalahan ini bukanlah mudah untuk kita selesaikan, ia membabitkan insan dan manusia yang setiap satunya mempunyai kisah tersendiri dan kehidupan unik yang mempengaruhi budaya dan gaya hidup masing-masing.
Tidak wajar dengan semudahnya kita menghina atau mencerca kerana saya kira lebih baik memahami dan mendalami kisah mereka kalau hendak mencari apakah yang membuatkan mereka memilih jalan ini. Biarlah kita berbahas dan berbincang dalam keadaan yang penuh berhemah, bersifat terbuka dan dengan niat memperbaiki kelemahan dan bukan berpunca pada kebencian dan memutuskan hubungan, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak.
Oleh Cik Puan Azrinaz Mazhar Hakim
Penulis: Bekas Personaliti TV
https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2017/07/305087/apa-sudah-jadi-wahai-lelaki
0 Komentar untuk " Apa sudah jadi wahai lelaki? "