Manusia diberikan masa yang panjang untuk dengan bertaubat. Menurut Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, tiada yang paling manis bagi manusia dalam hidup ini selain mendapat rahmat Allah SWT. Ikuti penjelasan beliau dalam rancangan Islam Itu Indah di IKIMfm.
Setiap hari adalah waktu untuk bermuhasabah supaya dapat memperbaiki diri menjadi mukmin yang soleh, diredai Allah SWT. Andainya hari kita tidak ceria, barangkali kita banyak berbuat dosa. Andainya hari kita penuh kekurangan, mungkin kita kurang memberi.
Andai hari kita penuh kemarahan, itu tanda kita kurang memberi kemaafan. Andainya hari kita tiada ketenangan, barangkali kerana kurang berzikir dan mengingati Allah SWT. Andai hari kita penuh kebimbangan, kerana kita kurang berdoa kepada-Nya.
Justeru, hendaklah banyak beramal, taat kepada Allah SWT, berbuat baik sesama manusia dan selalu menghisab kekurangan diri kerana dengan cara itu kita akan mendapat ketenangan, keceriaan serta kebahagiaan di dunia ini.
Menerusi rancangan Islam Itu Indah di radio IKIMfm, tetamu tetap Ustaz Pahrol Mohamad Juoi menjelaskan tiada yang paling indah dan nikmatnya hidup ini selain mendapat rahmat Allah SWT melalui ketaatan kita terhadap segala perintah-Nya.
Syurga Allah SWT ada pelbagai tingkat dan apabila seseorang masuk ke dalamnya, dia merasakan syurga tempat paling tinggi nikmatnya. Apabila ahli syurga pergi ke syurga paling tinggi maka saat itu lahirlah penyesalan kerana tidak memperbanyakkan amalan ketaatan kepada Allah SWT.
🔥Lalai dengan dosa🔥
Bagaimanapun, bagi orang yang berdosa, lalai, derhaka dan tidak taat perintah-Nya, Allah SWT yang penuh kasih sayang masih mengurniakan usia panjang buat hambanya supaya dimanfaatkan untuk bertaubat.
Imam al-Ghazali berkata, ketika hamba diberi kurniaan usia yang panjang untuk bertaubat atas segala dosa dan khilafnya, ada juga yang tetap melakukan dosa. Diriwayatkan, Allah SWT malu untuk menyeksa hamba yang lalai dengan dosa, tetapi manusia tidak malu melanggar perintah-Nya.
Sifat Allah SWT yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang sentiasa memberi rahmat kepada setiap hamba. Malah, seorang mukmin yang masuk ke syurga bukan kerana amalan yang sempurna tetapi rahmat Allah SWT terhadap hamba-Nya.
Sebagai hamba yang sangat fakir dan sentiasa berhutang dengan Allah SWT, jangan sesekali mengurangi amalan supaya kelak kita dapat menghuni syurga Allah SWT di tingkat paling tinggi.
Setiap hamba pasti mendambakan untuk menghuni syurga Allah SWT.
Apa yang pasti, syurga Allah SWT bukan murah, nilainya cukup tinggi dan mahal. Seorang mukmin yang mahu menghuni syurga Allah SWT perlu memenuhi keperluan dari sudut amalan, keikhlasan, akhlak dan ketaatan terhadap perintah-Nya.
🔥Semua dicatat akan dihitung🔥
Setiap perbuatan di dunia dirakam oleh malaikat, oleh itu, jangan sesekali memandang remeh dosa dan perbuatan yang boleh memberi pahala. Jangan sesekali memandang remeh kederhakaan dan memandang ringan ketaatan.
Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya jika seorang hamba mengucapkan satu kalimat yang mengundang kemurkaan Allah SWT, namun dia menganggap ringan dan kerana perkataan itu, dia dicampak ke neraka."
Setiap kebaikan dan kejahatan semuanya akan dicatat dan dihitung di hari akhirat kelak. Ada seorang lelaki dikurniakan syurga oleh Allah SWT hanya kerana membuang duri di tepi jalan. Sikap itu hanya kebaikan yang kecil tetapi dipandang tinggi Allah SWT.
Amalan yang dicatat malaikat akan dipertontonkan dan dihisab oleh Allah SWT. Jangan nanti di akhirat kita menyesal terhadap sekecil-kecil dosa. Hendaklah sentiasa beringat dalam setiap tindakan kerana kelak kita akan dipertanggungjawabkan terhadap semua yang dilakukan.
Oleh Nik Hasnah Ismail
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2017/10/336195/perbanyak-amal-kunci-ketenangan-diri
0 Komentar untuk " Perbanyak amal kunci ketenangan diri "