SEDAR atau tidak kehidupan kita hari ini realitinya terbentuk daripada rantaian cerita dan pengalaman sejak dari kecil hinggalah kini. Cerita hidup sentiasa dibicarakan dalam diri kita dan juga dikongsi dengan orang lain. Apa yang jelas, cerita itu akan memberi kesan secara langsung kepada apa yang kita lihat, rasa dan buat.
Jika kita memilih untuk memendam perasaan dan hanya membicarakan secara bersendirian, lama kelamaan ia akan berulang dalam minda dan membentuk fenomena voices in our head atau suara dalam kepala. Namun, jika kita memilih untuk berkongsi dengan orang lain, ada kemungkinan cerita kita akan dijaja dan ditafsirkan secara salah oleh mereka yang tidak jujur serta mempunyai agenda tidak baik, maka kita mula buntu mencari jalan terbaik untuk berkongsi cerita hidup kita. Akhirnya menjadi longlai dan lesu kerana sudah tiada kekuatan untuk berdiri atas kaki sendiri.
Sepanjang menangani kes kaunseling, saya banyak mendengar cerita kehidupan yang dikongsikan. Ada cerita menyedihkan, meng-gusarkan dan yang tidak terfikir oleh saya boleh berlaku dalam kehidupan kita hari ini.
Saya pernah melihat angka 1040 yang ditulis seseorang dalam catatan peribadinya. Saya minta dia jelaskan maksud nombor itu. Dia terus memberi maksud; “I nothing for nothing (1040)”. Secara umumnya dia beritahu dapat rasakan dirinya sudah tidak bermakna untuk hidup kerana tidak sedikit pun boleh memberi sumbangan kepada keluarga dan masyarakat.
Sebetulnya, ramai dalam kalangan kita yang mentafsir secara salah kehidupan mereka. Jika bercerai, dikatakan telah tersilap memilih jodoh, jika dipecat majikan, maka dikatakan silap memilih pekerjaan, jika kita rugi dalam perniagaan, dikatakan salah mendengar nasihat daripada rakan-taulan dan pelbagai isu lagi yang cuba mengaitkan salah mereka dalam apa jua tindakan yang beri kesan buruk kepada mereka.
Namun, setelah beberapa tahun, apabila berlaku sebaliknya iaitu; mendapat jodoh lebih baik, memperoleh kerja lebih stabil dan perniagaan semakin maju, maka mulalah rasa menyesal dengan sikap yang begitu pasrah sebelum ini. Cuba bayangkan berapa banyak masa, tenaga, minda dan emosi dikerah untuk bersedih dan mencerca diri, sedangkan masa itu cukup berharga untuk diketepikan begitu sahaja.
Sebetulnya, tiada yang salah dalam hidup kita. Seharusnya kita jangan mudah mengadili hidup, sementelahan pula membiarkan orang lain mengadili hidup kita. Jika kita dikatakan tersilap memilih jalan, tidak perlu untuk membenarkan pentafsiran tersebut melemahkan kawalan hidup walaupun seme-mangnya kita telah ‘tersilap’ membuat keputusan. Kita harus mendidik diri bahawa semua perkara yang lepas telah menjadi pengajaran bermakna dalam kehidupan kita dan perlu terima dengan reda. Namun tidak ramai boleh bersifat sedemikian. Mengapa?
Prof Hamka dalam bukunya, Falsafah Hidup mengupas dengan teliti sikap manusia yang suka mencari kekurangan dan kesilapan dalam hidup mereka. Menurut beliau, punca sebenar ialah, untuk mencari kesenangan namun sukar bertemu kesenangan tersebut. Kalau 10 orang diajak untuk berbicara, sembilan akan menceritakan kisah kesusahan berbanding kesenangan. Apa yang pelik, ada para peniaga menceritakan 'ketidakuntungan' dan kesusahan dialami dalam perniagaan walaupun didapati ramai pelanggan berurusan di kedainya. Begitu juga seorang guru yang kecewa dengan sikap pelajarnya yang malas untuk belajar sedangkan sudah ramai pelajar telah berjaya dididiknya selama ini.
Sebetulnya persoalan pokok kepada isu ini adalah berkaitan dengan keamanan dan ketenteraman hati. Hati tidak tenteram kerana merasakan keuntungan masih sedikit, masih kurang sanjungan daripada orang lain dan buruk sangka terhadap orang lain. Hadis Nabi SAW; dari Al-A’raj dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jauhilah oleh kamu buruk sangka, sebab buruk sangka adalah sejelik-jelik perkataan. Jangan saling mencari aib dan rahsia orang lain”. Hadis riwayat Abu Daud (4271).
Menurut seorang pakar psikologi Fritz Perls, setiap individu harus bangkit dan berdiri dengan teguh atas kaki sendiri untuk mengharungi apa jua persoalan dalam kehidupan. Kita harus keluarkan diri daripada merintih dan bergantung kepada orang lain.
Kita harus menjana kekuatan dari dalam untuk mentafsir segala peristiwa yang berlaku dengan lebih positif dan bermanfaat. Perlu diingat, fenomena ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
Suatu masa dahulu saya sendiri pernah rasa tersilap dan menyesal meninggalkan kerjaya sebagai pegawai bank. Namun hakikatnya, aturan ALLAH adalah terbaik. Kehidupan kita tidak pernah salah, sebaliknya kita mentafsir secara salah.
*Prof Madya Dr Huzili Hussin, Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis
http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/dr-huzili-hussin/tiada-yang-salah-dalam-hidup-kita-1.743066
0 Komentar untuk " Tiada yang salah dalam hidup kita "