Baru-baru ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) latihan fizikal anggotanya jika perlu. Ia susulan insiden babitkan kematian Laskar Kelas 1 Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26 dan Laskar Kelas 1 Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28. Mereka meninggal dunia selepas menjalani latihan fizikal di Bilik Tahanan Unit Komunikasi TLDM, Sungai Wangi, Sitiawan. Ikuti wawancara wartawan BH Ahad, MOHD AZRONE SARABATIN bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din dan Pakar Kriminologi, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr P Sundramoorthy mengenainya yang dipercayai disebabkan buli atau tindakan fizikal tertentu.
Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din
S: Adakah kes buli bermula sejak dari bangku sekolah atau universiti?
J: Kes yang berlaku ke atas anggota TLDM, baru-baru ini tidak kelihatan sebagai kes buli. Ada banyak corak hubungan fizikal yang perlu diberi tumpuan. Langkah terbaik ialah untuk kita memberi ruang kepada proses siasatan dijalankan oleh pihak berwajib agar kebenaran fakta dapat diketahui umum. Tabiat buli boleh berlaku atau wujud sepanjang kehidupan seseorang itu. Tindakan agresif ini boleh dipelajari sejak zaman kanak-kanak, remaja dan dewasa. Punca utama boleh dikaitkan dengan desakan dalam diri untuk meluahkan perasaan agresif melalui daya fizikal ke atas orang lain. Ia juga disebabkan oleh kegagalan individu mengurus tekanan dan konflik diri dengan menzahirkan tingkah laku menyeksa dan menjahanamkan orang lain. Tabiat buli juga sering dipelajari secara tidak sedar melalui contoh dan persekitaran ganas yang wujud di sekitar kehidupan seseorang itu. Banyak kes interaksi agresif antara individu yang berlaku di rumah, sekolah, universiti dan tempat kerja, namun ramai tidak faham tata tingkat dan kategori perlakuan ini dan membuat kesimpulan mudah, semua sebagai buli.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din.
S: Kecenderungan membuli (atau mendera) ada tahap tapi kenapa ada sampai sanggup membunuh?
J: Membuli jarang membawa kepada kematian. Buli adalah hubungan agresif yang masih mementingkan hubungan hak antara yang membuli dan dibuli. Apabila seseorang pembuli meningkatkan darjah keagresifan pada tingkah lakunya maka hubungan antara pelaku dan mangsa berubah kepada penderaan fizikal atau seksual. Lebih tinggi darjah keagresifan seseorang penyerang itu boleh membawa kepada tingkah laku penyeksaan serius atau hubungan 'capture and torture.' Ini bukan buli lagi. Hubungan ini sering membawa kepada aktiviti pembunuhan dan kematian.
S: Apa beza buli individu dan berkumpulan?
J: Tidak banyak perbezaan antara aktiviti membuli secara individu atau kumpulan. Kedua-duanya mempunyai motif yang hampir sama, iaitu untuk mencari kepuasan dan keseronokan, iaitu gembira melihat mangsanya sikit derita. Namun, aktiviti membuli secara kumpulan sering membawa kepada kesan yang lebih berat ke atas mangsa.
S: Kenapa pihak yang bertindak agresif tidak takut undang-undang?
J: Pembuli tahu bahawa apa yang dilakukan adalah sesuatu yang boleh diterima oleh mangsa kerana hubungan hak antara pelaku dan mangsa masih diambil kira. Masalah timbul apabila pembuli tidak sedar atau terjerumus ke tahap perlakuan yang lebih agresif seperti mendera, mencederakan dan menyeksa mangsanya. Dalam keseronokan dan keghairahan mencari kepuasan diri pembuli tidak sedar bahawa dia menjadi lebih seronok dan lebih ganas hingga melanggar pelbagai undang-undang.
S: Adakah penawar hadapi kes seperti ini, lebih-lebih lagi pada era media sosial?
J: Ada banyak strategi kaedah intervensi dan rawatan untuk atasi dan tangani tabiat membuli. Antara yang boleh dilakukan adalah dengan melaksanakan siri program psiko-pendidikan untuk meningkatkan konsep kendiri yang positif dan swadaya diri yang tinggi untuk berinteraksi secara asertif dalam sistem interaksi komunikasi dan transaksi sosial. Kanak-kanak dan remaja turut dilatih, diajar dan dibimbing untuk mempunyai kemahiran sosial dan tangani masalah secara konstruktif dan timbang rasa dalam hubungan mereka dengan orang lain.
S: Adakah akta dan undang-undang terhadap kesalahan latihan fizikal anggota tentera sudah tidak relevan dengan situasi, cabaran dan ancaman yang dihadapi anggota pasukan keselamatan?
J: Perundangan dan peraturan sedia ada dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkaitan latihan dan salah laku berhubung latihan fizikal anggota tentera masih lengkap dan relevan. Malahan, garis panduan dan SOP melalui peraturan juga mencukupi untuk ditadbir urus. Cuma dalam melaksanakan SOP ini ada ketidakpatuhan, pengabaian dan pelanggaran berlaku. Isu sebegini wujud dan berlaku dalam semua situasi agensi dan organisasi berkaitan.
S: Adakah undang-undang pasukan keselamatan yang diguna pakai ketika ini sudah lapuk kerana dikatakan undang-undang lama ketika sistem pemerintahan British misalnya, seperti Akta Angkatan Tentera (AAT) 1972?
J: Undang-undang dan peraturan berkaitan anggota keselamatan terutama tentera melalui AAT 1972 masih boleh mengurus kumpulan sasar dengan berkesan. Walaupun ianya ada kaitan dengan sistem British tetapi hanya sebagai panduan kasar. Saya yakin banyak garis panduan baharu dan aktiviti yang terhasil daripada punca kuasa setiap seksyen AAT 1972 adalah segar dan terpakai dalam situasi terkini. Jika ada yang tidak relevan dan kurang berkesan sudah pasti langkah penambahbaikan terhadap garis panduan sudah dan akan dijalankan oleh pemegang taruh akta berkenaan. AAT 1972 tidak lapuk. Yang lapuk mungkin beberapa anggota pelaksana yang tidak cukup ilmu, kemahiran, pengalaman dan kecekapan. Maka, sangat perlu golongan yang melaksanakan setiap seksyen dalam Akta ini sentiasa dilatih dan dikemas kini dengan keperluan semasa.
Pakar Kriminologi, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr P Sundramoorthy
S: Bagaimana Dr melihat kes kematian dua anggota TLDM ketika menjalani latihan fizikal?
J: Amat mengejutkan kerana kes ini bukan berlaku di tempat awam, sebaliknya kejadian di bilik tahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sendiri. Mereka yang sepatutnya mendisiplinkan anggota, bertindak di luar batas kemanusiaan. Bukan seorang, malah dua terkorban, bukan di medan tempur tetapi dalam kawasan kem tentera. Malah, ada juga kes anggota dilaporkan cedera ketika dalam bilik tahanan. Tiada alasan munasabah boleh digunakan untuk menjawab punca kematian ini, melainkan tindakan mengikut lunas undang-undang dikenakan kepada mereka yang disabitkan bersalah oleh mahkamah kelak.
S: Adakah prosedur operasi standard (SOP) perlu diperbaiki?
J: Berdasarkan kes ini, Bilik Tahanan Unit Komunikasi TLDM mempunyai kelemahan dari aspek SOP yang sepatutnya diperbaiki segera, khususnya aspek sistem penyampaian pegawai atau petugas pusat itu. Mereka wajar memiliki kelayakan untuk memberi motivasi atau tindakan fizikal terhadap tahanan. Kita faham ini membabitkan aspek mendisiplinkan anggota, tapi jangan sampai membunuh atau mencederakan. Anggota yang ditahan juga perlu dijaga keselamatannya. Ibarat mendidik anak kecil yang degil, jangan sampai mendera atau menyebabkan nyawa kanak-kanak terbabit melayang.
S: Bagaimana Dr melihat kemarahan masyarakat terhadap kes ini?
J: Masyarakat wajar bersimpati terhadap keluarga mangsa dan mengutuk tindakan si pelaku. Kita berada di negara bertamadun dan kaya dengan budaya hormat menghormati, ibarat peribahasa Melayu 'Seperti menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak' yang bermaksud menyelesaikan sesuatu perkara iaitu menghukum atau memperdamaikan hendaklah dengan adil, sehingga kedua-dua belah pihak merasa puas hati. Kita bukan negara Taliban dan bukan juga dalam wilayah Kumpulan pemisah Abu Sayyaf atau militan Daesh yang bertindak menghukum pesalah dengan membunuh.
S: Dalam konteks ini apa yang berlaku di pusat tahanan?
J: Pegawai angkatan tentera perlu berdisiplin, dilengkapi latihan berterusan dan memahami SOP. Mereka perlu ada tauliah. Bila ada anggota atau pegawai bermasalah, perlu bijak menyelesaikannya tapi jangan sampai membunuh. Mungkin ada yang mahu mendidik, tapi cara digunakan tidak betul. Ada yang mahu memberi kesedaran tetapi terlajak menurut perasaan sehingga bertindak luar batasan.
S: Adakah Dr melihat kes ini ada kesinambungan dengan kematian pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Mei lalu?
J: Seramai 19 penuntut terbabit sudah dihadapkan ke Mahkamah, termasuk lima orang atas pertuduhan membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain. Ia kes berasingan tetapi mungkin ada sedikit persamaan kerana berlaku dalam institusi ketenteraan, satu universiti melahirkan pegawai tentera dan satu lagi dalam kem tentera. Dalam hidup ini ada kitaran, dalam konteks ini mungkin membabitkan dendam, dendam kepada senior, tapi junior yang menjadi mangsa. Juga mungkin semangat kerjasama sepasukan yang kuat sehingga seorang berdendam, yang lain pun ikut sama menyerang demi setiakawan.
S: Akhir sekali, adakah Dr melihat kes ini berlanjutan?
J: Ia perlu disekat segera kerana kita tidak mahu, sama ada di institusi pendidikan mahupun kem tentera berlaku buli dan dendam berterusan. Kita juga mahu SOP segera diperbaiki. Kita tidak mahu, masyarakat hilang kepercayaan terhadap institusi ketenteraan yang selama ini mereka sanjung tinggi. Belum terlambat untuk memperbaiki kepincangan ketika dalam pusat tahanan.
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
0 Komentar untuk " Gagal tangani tekanan, konflik cetus tindakan agresif "