UMUM mengetahui, dalam setiap tindakan di mahkamah syariah atau sivil, peguam adalah pihak tidak kurang pentingnya dalam membantu perjalanan sesuatu kes itu. Peguam merupakan suatu ‘alat’ bagi mencapai keadilan di mahkamah.
Malah, peranan peguam ini tidak terhad di mahkamah sahaja kerana ia adalah suatu profesion yang amat dihormati. Saranan dan nasihat seorang peguam biasanya diambil kira dalam membuat sesuatu keputusan di luar mahkamah. Apatah lagi sekiranya ia membabitkan hal ehwal perundangan.
Secara umumnya, profesion peguam berpaksikan minat, kesungguhan dan kecintaan kepada bidang guaman itu sendiri. Seseorang peguam wajar berusaha memiliki kualiti untuk membantu pihak memerlukan tanpa menjadikan wang sebagai ganjaran dan matlamat utama.
Antara ciri yang perlu ada pada peguam ialah:
A. Mempunyai sikap positif dalam menjalankan tugasan. Peguam wajib menjalankannya penuh integriti; bersikap jujur, amanah terhadap pelanggan, menjalankan profesion dengan penuh kesungguhan tanpa menolak nilai profesional tinggi peguam, mesti bertindak penuh keyakinan, menghormati orang lain sama ada pelanggan, peguam lain dan mahkamah dalam menegakkan keadilan;
B. Mengambil berat dan sabar dalam berurusan. Sikap ini menghendaki peguam untuk sentiasa menghormati dan melayan semua pihak dengan adil, baik dan sewajarnya serta menjauhi daripada bertindak tidak adil dan prejudis sepanjang proses undang-undang dilaksanakan. Bermakna, walaupun peguam mewakili pelanggannya, pada masa sama, peguam di pihak lawan tetap dianggap kawan dan boleh berbincang sebaiknya demi kesejahteraan kes dan pihak yang diwakili;
C. Peguam perlu sentiasa berusaha menambah ilmu menggunakan pelbagai kaedah sama ada menghadiri seminar undang-undang, membaca buku atau bertanya kepada peguam lebih berpengalaman perkara yang belum difahami;
D. Peguam akan mengambil pendekatan baik dan mengambil berat serta menghormati bukan saja kepada mahkamah dan rakan sekerja, tetapi juga seluruh manusia yang digaulnya. Menghormati mereka memerlukan kita menepati setiap mesyuarat yang diputuskan, janji temu dibuat, mengambil berat jadual tugasan dan memberi komitmen tinggi kepada apa yang perlu dilaksanakan;
E. Peguam mesti mewakili pelanggan dengan penuh kesetiaan dan kesungguhan, komited dalam tugasannya serta menghormati kepercayaan diberikan terhadapnya. Pada masa sama, kesungguhan dan kesetiaan kepada pelanggan tidak pula menyebabkan dia melakukan tindakan tidak benar, kasar dan biadab apatah lagi menzalimi lawannya;
F. Berkhidmat dengan hati yang luhur dan ikhlas. Peguam tidak wajar terbabit urusan undang-undang saja, tetapi perlu turut sama urusan memberi kebajikan kepada masyarakat, membantu dalam soal membabitkan perundangan, pendidikan, khidmat sosial, kebajikan dan sebagainya.
Sebagai peguam syarie pula kita perlu mengelak daripada melakukan sesuatu yang boleh memberi kesan buruk, menjatuhkan nama baik mahkamah syariah, sistem perundangan syariah atau menyebabkan keyakinan masyarakat terhadap perundangan syariah terhakis.
Apa yang menjadi matlamat adalah mencari kebenaran, menamatkan perselisihan secara baik dan memberi hak kepada yang berhak dengan penuh keadilan seperti diperuntukkan hukum syarak.
Sebelum memilih untuk membawa sesuatu kes ke muka pengadilan dan meneruskan perbicaraan, peguam wajar mencari jalan dan mencadangkan kepada pelanggan alternatif untuk menyelesaikan pertelingkahan dan masalah seperti menggunakan kaedah sulh, mediasi dan sebagainya.
Perkara ini dapat dibuktikan dengan peningkatan kadar penyelesaian kes di luar mahkamah di mahkamah syariah. Hal yang demikian adalah disebabkan usaha Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia yang telah menganjurkan latihan kepada pegawai-pegawai sulh dan peguam-peguam syarie mengikuti kursus mediasi yang dikendalikan pemu-dah-pemudah cara berpengalaman dari Australia.
Malah kursus mediasi Lanjutan juga telah dapat dijalankan dan ia merupakan julung kali diadakan seumpamanya di Ma-laysia. Dengan bimbingan pakar dari Australia ini, pegawai-pegawai sulh dan peguam syarie telah dapat menimba ilmu kemahiran yang amat berharga dan mengaplikasikannya dalam amalan seharian mereka.
Oleh itu, peguam hendaklah menjadi pembantu kepada kebenaran bukan kepada kebatilan. Peranan peguam sangat besar sebagai pembantu mahkamah menegakkan keadilan demi meletakkan hak kepada mereka yang berhak.
Bukanlah ukuran seorang peguam cemerlang itu memenangi kesemua kes diwakilinya tetapi lebih penting ialah dapat memberikan keadilan kepada orang yang berhak menerimanya.
http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/zainul-rijal-abu-bakar/peguam-medium-mencapai-keadilan-1.693935
0 Komentar untuk " Peguam medium mencapai keadilan "