PULANG ke kampung untuk berhari raya merupakan salah satu perkara menyeronokkan yang dinanti-nantikan oleh ramai antara kita saban tahun.
Setiap pengalaman pulang berhari raya menjadi memori yang sukar dilupakan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal berjauhan daripada keluarga, contohnya, anak-anak yang bersekolah di sekolah berasrama penuh.
Itulah pengalaman Saudara Omar Mat Noor yang merupakan bekas pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) dari 1979 hingga 1981.
Beliau menceritakan betapa suasana hari raya mula dirasai apabila Ramadan menghampiri penghujungnya.
Kebiasaannya, sahabat baik beliau, Teh Seng Huat (sekarang ahli perniagaan berjaya di Bandar Kinrara) dan Sivaraj (kini bekas pegawai kanan TUDM) turut bersahur serta berbuka puasa bersamanya di dewan makan sepanjang Ramadan.
Seminggu sebelum pulang ke kampung, ramai pelajar akan keluar pada hujung minggu. Mereka mengambil kesempatan membeli mercun dan bunga api untuk dibawa pulang.
Omar tidak terkecuali. Ketika itu, Petaling Street biasanya dipenuhi kedai yang menjual pelbagai jenis mercun dan bunga api. Seng Huat dan Sivaraj juga akan turut keluar bersama beliau untuk membeli mercun dan bunga api.
Sebelum balik bercuti, semua pelajar akan diberikan waran perjalanan keretapi. Satu lagi keistimewaan yang diberikan kepada pelajar MTD adalah mereka mendapat tiket kelas dua.
Menurutnya, Pegawai Pentadbiran MTD ketika itu, Kapten Nawawi, akan mengumpulkan semua waran dan menempah satu gerabak KTM untuk perjalanan malam.
Satu pengalaman yang tidak dapat dilupakannya adalah apabila pada satu malam, sehari sebelum balik ke kampung, berlaku peperangan mercun dan bunga api antara blok A dengan blok B di MTD.
Stok mercun dan bunga api yang sepatutnya dibawa pulang ke kampung telah digunakan. Bunyi tembakan bertubi-tubi datang dari blok A dan B. Kapten Nawawi hanya memerhati dari jauh. Setelah pertempuran selesai, mereka semua dipanggil ke gelanggang bola keranjang.
Maka terjadilah malam bersejarah; setiap inci gelanggang menjadi saksi mereka berguling, merangkak dan melakukan tekan tubi sebagai hukuman.
Seperti amalan biasa ketenteraan, walaupun seorang sahaja yang membuat kesalahan, semua ahli pasukan akan menerima hukuman. Tiada siapa yang terkecuali, termasuk ketua pasukan yang dikenali sebagai pemegang pangkat di MTD.
Maka, sebagai satu pasukan, mereka perlu memastikan tiada siapa membuat kesalahan. Jika ada, ahli tersebut akan terus ditegur oleh rakan sepasukan.
Ini secara tidak langsung mengutuhkan lagi semangat berpasukan. Mereka sepakat sebagai satu pasukan dan prinsip mereka, apa yang berlaku mereka tetap bersama, susah mahupun senang.
Dalam keperitan menghadapi hukuman pada malam itu, mereka masih mampu tersenyum kerana malam keesokannya mereka akan balik kampung berhari raya. Omar, Seng Huat dan Sivaraj pulang ke utara Semenanjung dan mereka bersama yang lain memenuhi satu gerabak keretapi.
Bayangkanlah sekumpulan budak-budak nakal MTD memenuhi satu gerabak. Suara mereka mengatasi bunyi enjin keretapi. Menjelang tengah malam, mereka berpesta lagi, pesta bunga api dan mercun. Mereka menghalakan bunga api dan mercun ke arah hutan-hutan yang dilalui keretapi.
Bagaimanapun, mereka cuma mampu bertahan 20 minit apabila pengawal keretapi datang memarahi mereka. Mujur mereka tidak dimasukkan ke lokap.
Selepas cuti hari raya tahun itu, sekembalinya ke MTD, mereka semua ketawa mengenangkan apa yang telah berlaku. Hingga kini, Omar dan rakan-rakannya sering berkumpul sambil mengenang pengalaman suka duka ketika bergelar pelajar MTD.
Kebiasaannya mereka akan berkumpul di bangunan Persatuan Bekas Putera MTD (atau OPA) yang bertempat di Saujana Resort Subang.
Inilah istimewanya MTD; keakraban yang terjalin antara pelajarnya tidak mengira kaum, agama dan budaya. Pelbagai suku etnik dari Sabah dan Sarawak turut melalui pengalaman yang sama di MTD. Bagi saya, jika ingin melihat model sekolah perpaduan, MTD adalah tempatnya.
Begitulah, setiap kita pasti mempunyai pengalaman-pengalaman yang tidak dapat dilupakan, terutama ketika musim perayaan dan semasa masih bergelar pelajar.
Kepada mereka yang bakal pulang ke kampung untuk berhari raya, sekiranya memandu, pastikan kenderaan telah diselenggara dengan baik.
Berhati-hati ketika memandu. Semoga selamat sampai ke destinasi.
0 Komentar untuk " Seronoknya pulang berhari raya "