Kebaikan kita tidak disebut hari ini - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kebaikan kita tidak disebut hari ini



SECARA fitrahnya walaupun sedikit, kita memerlukan pujian untuk menambahkan  keceriaan dalam kehidupan. Bagaimana kita menerima pujian, sebanyak mana kita menerima pujian dan sejauh mana kita memproses pujian tersebut adalah bergantung kepada diri masing-masing.

Apa yang penting kita perlu sedar setakat mana pujian yang boleh membantu diri kita dan sebanyak mana pujian yang boleh memudaratkan diri kita.

Salah satu sebab kenapa kita diberikan pujian adalah kerana kebaikan kita terhadap orang lain. Walaupun masih ramai yang sukakan kebaikan dia dicanangkan orang lain, namun masih ramai lagi yang menyembunyikan kebaikan mereka atas sebab-sebab tertentu.

Malah ada juga sesetengah individu yang tak tahu pun mereka telah buat kebaikan kerana mereka begitu ikhlas menunaikan setiap amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan kepada mereka.

Hakikatnya, begitu ramai individu yang hanya dihargai kebaikan mereka setelah mereka tiada. Jika Albert Einstein semasa hidup sentiasa diejek rakan-rakan sekerja, namun hari ini jasa kebaikannya begitu terserlah dan menjadi asas penting kepada ilmu fundamental sains.

Jika dahulu begitu ramai ulama dipenjarakan dan diperlekehkan, namun pada hari ini kitab-kita tulisan mereka begitu disanjung tinggi masyarakat. Dahulu begitu ramai seniman yang dipandang rendah, namun hari ini pelbagai anugerah pangkat, gelaran dan royalti mula diberikan bagi menyanjung tinggi jasa mereka sebelum ini.

Persoalannya mengapa mereka baru dihargai sekarang dan tidak waktu dahulu? Jawapan yang paling jelas, mereka sendiri pun tidak pernah menjangkakan bahawa kebaikan mereka pada masa tersebut adalah dinilai tinggi masyarakat hari ini. Malah Hang Tuah dan Jebat pun dinilai masyarakat menerusi sisi kebaikan berbeza.

Sebetulnya, untuk mendapat rahmat dan keberkatan daripada ALLAH, adalah wajar kita menyembunyikan kebaikan. Biarlah tangan kanan tidak tahu pemberian daripada tangan kiri. Namun kadangkala terasa juga untuk menceritakan kebaikan kita akibat geram dengan cercaan dan persepsi negatif orang lain terhadap kita.

Tidak mengapa, bersabarlah kerana bukan mudah untuk mendapat rahmat dan keredaan ALLAH. Apa yang penting kebaikan yang disembunyikan itu boleh memperkukuhkan ketakwaan kita.

Berkaitan hal ini, nasihat Imam Al_Zahabi menerusi tulisan beliau Siyar A’Alam al-Nubala’ dalam Mu’assasah al-Risalah 1422H amat bertepatan sekali. Menurutnya; “Tiada ketakwaan kecuali dengan amalan, dan tiada amalan kecuali jika diisi dengan ilmu dan ittiba’ iaitu petunjuk Rasulullah. Semua itu tidak memberi manfaat kecuali dengan ikhlas kerana ALLAH, bukannya untuk disebut”.

Walaupun kita sedar bahawa kebaikan kita lakukan selama ini hanya untuk hitungan ALLAH dan bukannya untuk hitungan manusia, namun sifat kita yang lemah menyebabkan mudah rasa kecewa apabila diperlakukan seseorang atau kelompok tertentu seumpama kita tidak pernah membuat kebaikan kepada orang lain.

Tambah menyedihkan apabila orang yang dekat dengan diri kita beranggapan demikian. Kalau mereka sedar dan faham apa yang kita ceritakan tidak mengapalah juga, namun jika mereka tidak faham atau saja-saja buat tidak faham maka hati kita akan bertambah sakit lagi. Maka lebih baik diam dan serahkanlah pada yang Berkuasa.

Dalam membuat kebaikan, keyakinan kita terhadap ganjaran ALLAH haruslah sampai ke peringkat haqq al-yaqin atau keyakinan berdasarkan hakikat. Kita harus benar-benar yakin bahawa pada hakikatnya ALLAH akan melindungi, merahmati dan memberikan keredaan atas setiap kebaikan yang kita lakukan dan ALLAH tidak pernah melanggar janji.

Doa Nabi Ibrahim agar ALLAH memberikan ganjaran atas kebaikan beliau ada dirakamkan dalam Quran iaitu; “dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian, dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi syurga Jannatun-Naiim.” (Surah Ash-Shuara, 26:84-85). Oleh itu, kita tidak perlu lagi berbolak-balik hati kita atas kebaikan yang telah dilakukan.

Sebetulnya, jika ada dalam kalangan mereka yang menuduh kita buat kebaikan kerana ada motif tertentu, biarkan sahaja dan teruskan kebaikan. Malah, kadangkala kita ditipu orang lain atas kejujuran kita, tidak mengapa teruskan kejujuran tersebut. Jika ada orang cemburu dengan kegembiraan kita, tidak mengapa teruskan hak kita untuk meraikan kegembiraan tersebut. Jika mereka lupa akan kebaikan kita, tidak mengapa teruskan kebaikan kita terhadap mereka.

Apa yang penting, kita buat kebaikan bukan untuk dinilai oleh manusia, tetapi untuk mendapat ganjaran pahala daripada ALLAH. Sedarlah, kebaikan kita tidak akan disebut hari ini. Itulah hakikatnya.

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/dr-huzili-hussin/kebaikan-kita-tidak-disebut-hari-ini-1.695583
0 Komentar untuk " Kebaikan kita tidak disebut hari ini "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ