Jangan hilangkan rasa hormat diri - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jangan hilangkan rasa hormat diri



BARU-baru ini, saya terima mesej daripada seorang kenalan berkaitan permasalahan dalam keluarganya. Menurut beliau, sudah lapan tahun anak saudara perempuannya tidak bertegur-sapa dengan suaminya akibat satu krisis sebelum ini. Walaupun suaminya sudah cuba untuk berbaik semula, namun beliau masih tetap tidak mahu membalas sapaan. Keadaan menjadi lebih teruk apabila suami kepada anak saudara perempuannya pun tidak mahu bertegur-sapa dengan suaminya.

Kemuncak kepada kesedihan, apabila anak saudara perempuan dan suaminya hanya menerkam untuk bersalam dengannya sahaja sebaik tiba untuk beraya di rumah emaknya. Suaminya begitu malu dan cukup terhina dengan situasi tersebut. Kakaknya pernah menegur dan menasihati anaknya supaya cukuplah dengan dendam tak berkesudahan tersebut. Malah neneknya juga ada memberi nasihat namun diherdik neneknya pula. Kenalan saya cukup malu dengan suaminya kerana mempunyai anak saudara yang sudah tiada rasa hormat kepada suaminya.

Sebetulnya kita boleh hidup dengan aman, tenang dan makmur kerana masih ada rasa hormat dalam diri kita terhadap orang lain. Orang yang hilangkan rasa hormat dalam diri kerana marah, dendam, sakit hati dan membenci boleh mengundang sikap dan tabiat yang lebih buruk lagi. Apa yang paling ditakuti bila mana kita telah membuat generalisasi rasa tidak hormat tersebut melibatkan ahli keluarga, kawan-kawan, tempat bekerja serta apa jua yang berkaitan.

Sebelum puasa lalu, saya diundang pihak penganjur untuk menyampaikan ceramah motivasi kepada penghuni di sebuah penjara. Saya ada mengutarakan satu persoalan, “Siapakah dalam kalangan penghuni dalam dewan ini yang masih ada dendam dalam diri?”

Saya dapati ramai jugalah yang mengangkat tangan. Saya hanya pilih salah seorang dan bertanya, “Kenapa saudara masih berdendam? mengapa berdendam dan siapakah mereka?” Balasnya, “Saya dendam kepada adik-beradik kerana kes harta pusaka. Bila saya keluar penjara nanti tahulah saya macam mana nak ajar mereka.”

Saya cukup terkejut dengan pernyataan tersebut kerana beliau sudah 13 kali masuk penjara, namun masih tetap dengan melayani nafsu dendam tidak berkesudahan. Mengakhiri perbualan, saya meminta pegawai agama dan pegawai penjara memberi perhatian serius kepada penghuni tersebut supaya tidak bertindak sedemikian bila keluar penjara nanti.

Bila bercakap mengenai impak kemarahan, semua orang boleh mengulasnya dengan baik. Namun bila berlaku pada diri sendiri, mulalah berpinar-pinar mata dan berombak dalam dada kerana menahan kemarahan. Sebetulnya, nafsu marah adalah raja bagi segala sifat tercela dalam diri. Sifat marah menjadikan seseorang itu sakit hati, berdendam dan membenci.

Menurut Imam al-Ghazali dalam karyanya Ihya’ Ulum al-Din,  “Sifat marah yang tidak dapat dikawal umpama anjing yang menyalak bukit. Akhirnya anjing tersebut serak suaranya dan bukit tidak terjejas sedikit pun”.

Secara prinsipnya, ALLAH menjadikan semua manusia pada asalnya bersifat lembut. Kegagalan menyesuaikan diri dengan proses kehidupan serta mengurus sifat dalam diri menyebabkan kita mudah terjerumus dengan sifat tercela. Kita bukan tidak boleh marah, sakit hati dan membenci tetapi biarlah berpada-pada.

Rasa hormat dalam diri kita terhadap seseorang hanya boleh dicapai jika kita cepat-cepat memikirkan perkara yang baik-baik pada diri mereka, selain daripada sifat buruk yang kita nampak di sisi mereka. Kalaulah ada staf yang membenci majikan, takkanlah tiada sedikit pun kebaikan majikannya. Kalaulah adik-beradik bergaduh, takkanlah tidak boleh tahan nafas sikit dan merenung semula kenangan bermain bersama masa kanak-kanak. Kalaulah pasangan yang berkahwin mula bercerai, takkanlah tiada langsung kenangan manis sewaktu bersama dahulu. Malangnya, ramai yang tak boleh merenung dan memproses hal ini dengan baik. Natijahnya ada staf yang sentiasa mencari jalan untuk membenci dan memfitnah majikannya, ada adik menetak abang kandung, ada suami membakar isteri, ada anak saudara mengelar bapa saudara, malah ada yang sanggup bunuh ibu bapa kandung sendiri.

Pesan untuk diri saya juga, tak suka macam mana pun kita jangan hilangkan rasa hormat dalam diri kita kepada mereka, kerana natijahnya cukup besar di dunia, malah di akhirat nanti.

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/dr-huzili-hussin/jangan-hilangkan-rasa-hormat-diri-1.699019
0 Komentar untuk " Jangan hilangkan rasa hormat diri "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ