SAYA sedar bahawa Rang Undang-Undang 355 (RUU355) adalah topik yang kurang hangat berbanding dengan isu semasa, namun saya terdetik untuk menulisnya memandangkan Parlimen akan bersidang sekali lagi dalam tahun ini dan usul pindaan Akta 355 mungkin akan dibahaskan di Parlimen kelak.
Saya tidak berminat untuk masuk ke dalam polemik perbahasan ini apatah lagi saya bukan pakar rujuk undang-undang, namun saya terdetik untuk memberi sudut pandangan seorang wanita memandangkan usul ini berkait rapat dengan pemerkasaan institusi Mahkamah Syariah.
Umum diketahui semua hal ehwal berkaitan kekeluargaan bagi orang Islam di negara ini diletakkan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah - dari segi nafkah, tuntutan harta, perkahwinan, hak penjagaan dan perceraian hingga kepada kematian.
Oleh itu saya sedikit terkilan apabila terbaca akan perbahasan dan perbalahan mengenai pindaan akta ini yang terlalu menjurus kepada polemik politik dan hak antara orang Islam dan bukan Islam tanpa langsung menyentuh perkara pokok yakni apakah erti pindaan ini kepada mereka yang akan terkait secara langsung.
Kita selalu dengar kisah kes perceraian memakan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan, membuatkan seseorang wanita itu seolah-olah tergantung tidak bertali kerana status perkahwinan yang tidak pasti, namun pada masa sama bekas suami sedang bahagia dengan isteri baharu.
Ini belum dikira masalah penguatkuasaan. Sudahlah bertahun menunggu naik turun mahkamah, apabila keputusan mahkamah dicapai, tiada sebarang penguatkuasaan yang efektif dibuat ke atas keputusan itu khususnya dalam isu tuntutan nafkah dan harta. Daripada kerenah birokrasi, masalah penguatkuasaan hingga kepada kerumitan dalam bidang kuasa syariah yang berbeza-beza mengikut negeri, percayalah bahawa wanita antara golongan paling utama menerima kesan dan menanggung kesusahan.
Oleh itu apabila saya melihat perbahasan di luar dan dalam Parlimen mengenai pindaan akta ini yang dikatakan untuk memperkasakan Mahkamah Syariah, saya sedikit terkilan, di manakah suara wanita di sini? Perbahasan yang rata-rata dimonopoli oleh kaum lelaki yang berpusat kepada polemik politik langsung tidak menyentuh akan masalah sebenar yang dihadapi wanita dalam mendapatkan keadilan dan menuntut hak mereka.
🔥Ketinggalan zaman🔥
Berdasarkan rujukan hansard penggal Dewan Rakyat lalu, kalau tidak silap saya pindaan Akta 355 ini lebih menjurus kepada meningkatkan had hukuman penjara, denda dan sebatan kerana bidang kuasa hukuman yang ada sekarang dilihat out dated atau ketinggalan zaman. Contohnya denda maksimum RM5,000 dilihat terlalu kecil jika dibandingkan dengan nilai mata wang masa kini.
Perkara yang ingin saya sentuh ialah dari segi pelaksanaan, tidak guna kita mempunyai undang-undang yang baik sekiranya ia gagal atau dilihat gagal untuk dilaksanakan. Persepsi masa kini walau pahit untuk menerimanya ialah terlalu banyak kerenah birokrasi dan kesusahan dalam menjalani proses syariah ini yang sebahagian besarnya ditanggung oleh wanita.
Saya berpendapat sekiranya kita tidak membahaskan mengenai perkara ini, maka saya khuatir matlamat utama yakni memberikan keadilan sewajarnya kepada mereka yang berhak, akan gagal. Saya terpanggil untuk bertanyakan di manakah suara Ahli Parlimen tidak kira parti pembangkang atau kerajaan dan cendekiawan wanita, mengapa mereka tidak turut serta dalam perbahasan ini dan menyuarakan pandangan serta pendapat dari sudut perspektif wanita?
Memperkasakan institusi syariah itu adalah jauh lebih besar daripada menaik taraf akta sahaja, ia memerlukan satu pendekatan yang jauh lebih menyeluruh seperti mengurangkan kerenah birokrasi, meningkatkan kualiti perkhidmatan, melihat masa yang diambil untuk memproses satu-satu kes dan yang paling penting keberkesanan dalam menguatkuasakan keputusan mahkamah.
Saya sedih apabila melihat perbahasan mengenai isu ini tidak menyentuh langsung permasalahan sebenar yang dihadapi wanita. Dalam menterjemahkan erti menjadi seorang Muslim itu, selain daripada tingkah laku keperibadian kita, cara menyelesaikan masalah harian itu juga dikira penting.
Dengan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan, sesungguhnya Islam itu adalah satu cara hidup yang lengkap buat umat sepanjang zaman. Namun, manusia tetap manusia dan dalam menterjemahkan Islam dalam kehidupan seharian kita tentu akan berlaku kesilapan atau khilaf, sesungguhnya menjadi tugas kita untuk sentiasa memperbetulkannya dari semasa ke semasa.
Begitu jugalah saya melihat akan isu ini, institusi syariah tidak boleh sekadar dilihat menguatkuasakan undang-undang syariah semata-mata akan tetapi lebih penting ia dilihat memberi keadilan dan kesaksamaan dalam ruang lingkup syariah. Sekiranya kita boleh menaik taraf akan sistem kewangan Islam untuk kekal relevan dengan zaman, seperti memperkenalkan sistem perbankan online bagi memudahkan urusan harian orang Islam, mengapa tidak pendekatan sama digunakan dalam pelaksanaan undang-undang kita?
Sudah tiba masanya kita melihat dengan teliti bukan sahaja pindaan akta akan tetapi yang lebih penting akan pelaksanaan akta itu sendiri, isu seperti penguatkuasaan dan nisbah hakim yang terlalu berat kepada satu-satu jantina perlu dilihat dan dikaji secara menyeluruh. Sekiranya kita benar-benar ikhlas mahu memperkasakan institusi syariah supaya ia dapat melaksanakan tugas hakikinya dengan lebih baik, maka kita perlu ikhlas dalam berbahas akan masalah sebenar yang dihadapi supaya dapat kita menterjemahkan institusi ini sebagai satu badan yang benar-benar dapat melindungi dan memberi keadilan mereka yang memerlukan.
Oleh Cik Puan Azrinaz Mazhar Hakim
Penulis: Bekas Personaliti TV
https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2017/07/300590/ruu-355-dari-sudut-pandang-wanita-islam
0 Komentar untuk " RUU 355 dari sudut pandang wanita Islam "