Khadijah tetap mesra seperti dulu - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Khadijah tetap mesra seperti dulu


SETELAH sekian lama tidak ke Serambi Makkah, hujung minggu lalu saya ke Kota Bharu Bandar Raya Islam, untuk mengimbau semula nostalgia silam.

Tentu sekali salah satu lokasi yang mesti dikunjungi ialah Pasar Siti Khadijah di tengah-tengah pusat bandar, tidak sampai sepuluh minit berjalan kaki dari tempat saya menginap.

Saya mula mengenali, bermesra dan akhirnya mencintai pasar ini kira-kira sedekad lalu, ketika dihantar ke Pengkalan Chepa untuk memulakan penerbitan Sinar Harian.

Kagum saya melihat pasar ini sebagai nadi ekonomi orang Melayu, dan digerakkan sebahagian besarnya – lebih 90 peratus – oleh orang perempuan.

Sebagai orang luar, segera saya terpikat dengan keramah-tamahan peniaga di situ. Senyuman manis diberikan begitu ikhlas, bersantun tinggi, berbudi bahasa, pandai betul mengambil hati.

Meski jelas telah beruban seluruh kepala, melangkah pun seperti tidak berdaya, peniaga-peniaga manis itu tetap memanggil saya ‘abe’ – bahasa bakunya ‘abang’.

Saya sudah tua, terasa janggal menerima panggilan ‘abang’. Sepatutnya lebih sesuai panggil saya ‘pakcik’ kalau pun tidak ‘tok ki’. Tetapi, kata mereka: “Panggil ‘abe’ lebih mesra...”

Lama-lama terasa sedap pula dipanggil ‘abe’, terutama oleh wanita dan gadis-gadis peramah itu.

Tak fasal-fasal hati berasa lebih muda, dan itu menaikkan semangat dan perasaan untuk saya mengunjungi Siti Khadijah sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Keramah-tamahan itu masih amat terasa ketika saya tiba hujung minggu lalu. Di tingkat dua dan tingkat tiga yang menjual pakaian, kain dan perhiasan rumah, ramai peniaga dulu masih ada.

Malah, walau sekian lama tidak bertemu, ada seorang dua yang masih cam saya. “Lhoor, lamo sungguh dok temu abe. Nampok kor mudo!” kata seorang peniaga kain batik, dalam bahasa Kelantan pekat.

Lebih kurang maknanya dalam bahasa baku: “Laa, lama betul tidak bertemu abang. Nampak semakin muda!” Memang, saya terasa muda dengan suntikan kata-kata itu. Tetapi buat-buat macam tidak berasa apa-apa, sebab saya datang bersama isteri!

Meski dalam keadaan ekonomi dan RM yang merudum, kemeriahan tingkat satu masih kekal seperti sedekad lalu. Masih ada serondeng daging, ayam percik, ikan percik, nasi kerabu, nasi berlauk, nasi dagang, laksam, somtam dan sebagainya.

Dan, masih laku juga beraneka kuih-muih tradisional yang namanya pelik-pelik itu –  tahi itik, akok, jala mas, buah tanjung, serabe, tepung pelita, pendek kata ‘mace-mace ado!’

Satu perubahan amat positif: Semua gerai makanan di tingkat satu, bersih dan amat menyelerakan. Saya tabik spring dengan perubahan ini.

Teringat saya ketika pertama kali bersarapan di tingkat satu dulu-dulu. Keadaan amat tidak kondusif, bahkan memualkan tekak, lagi menyeramkan.

Ketika itu kebersihan macam tidak diutamakan. Lalat menghurung makanan yang tidak bertutup, lipas berkeliaran di atas dan di bawah meja. Tikus bermaharajalela.

Sekali peristiwa, seorang wartawan wanita yang semeja dengan saya makan tengah hari tiba-tiba menjerit histeria. Bukan kerana dirasuk jin tanah, tetapi gara-gara seekor tikus masuk ke dalam kainnya!

Sinar Harian ketika itu bekerjasama dengan PBT, melancarkan gerakan pembersihan di bawah program membanteras lipas, lalat, tikus, atau ringkasnya ‘Lilati’.

Tidak dapat dipastikan sejauh mana keberkesanan program berkenaan ketika itu. Tetapi mengunjungi semula gerai makanan Siti Khadijah, selepas sepuluh tahun, saya bangga keadaannya bersih, amat positif. Tahniah dan tabik saya kepada PBT.

Positif juga sebab para peniaga di gerai-gerai makanan masih tetap mesra, malah sesetengah senyuman lebih manis berbanding dulu-dulu. Makanan pun masih mengekalkan rasa ori seperti sebelumnya.

Tetapi, ada juga yang negatif. Makanan tidak semurah dulu-dulu. Baik nasi lemak, nadi berlauk dan lain-lain makanan rakyat, harga naik lebih sekali ganda.

Dulu-dulu gulai udang galah – kulitnya merah menyala, hmmm – paling mahal RM15 seekor, paling murah RM8. Sekarang udang dengan warna dan saiz yang sama, paling murah RM10, paling mahal RM40 seekor.

Seorang pemilik gerai mengeluh, dalam bahasa baku: “Semua barang dah mahal, bang. Kita beli mahal kena jual mahal juga...”

Saya juga mengeluh dalam hati. Udang galah merah menyala itu kini tidak lagi mampu rasa. Hanya mampu lihat, sambil menelan liur.

Apa pun kebersihan tingkat satu pasar popular itu patut dipuji. Seku-rang-kurangnya ada juga piawaian kebersihan yang boleh ditunjukkan – dan dimegahkan! – untuk menjadi identiti Kota Bharu sebagai Bandar Raya Islam.

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/abdul-jalil-ali/khadijah-tetap-mesra-seperti-dulu-1.781927
0 Komentar untuk " Khadijah tetap mesra seperti dulu "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ