Buat duit dengan barangan terpakai - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Buat duit dengan barangan terpakai


TIDAK semua barang terpakai patut berakhir sebagai sampah kerana ia mampu diubah menjadi barang terpakai yang sangat bernilai.

Baik barangan terpakai seperti pakaian, perkakas rumah, perabot, barang mainan, telefon pintar sehingga kasut serta beg tangan, semuanya masih boleh menjana pendapatan lumayan.

Apatah lagi jika barang-barangan tersebut masih kelihatan cantik dan baru serta mempunyai nilai sentimental tersendiri. Harganya juga mampu mencecah ratusan hingga ribuan ringgit.

Faktor ekonomi yang tidak menentu kebelakangan ini juga menyaksikan masyarakat kini mula beralih untuk menggunakan barangan terpakai. Persepsi orang ramai terhadap barangan terpakai juga sudah berubah.

Jika dulu, sasaran pelanggannya terdiri daripada warga asing serta golongan miskin, kini semua golongan termasuk mereka yang berkemampuan tidak terkecuali daripada menggunakan barangan terpakai.

Situasi ini secara tidak langsung, merancakkan lagi perniagaan barangan terpakai dan realitinya kita dapat lihat, dari sekecil-kecil perniagaan kedai bundle hinggalah sebesar-besarnya mampu menjana pendapatan lumayan.

Lebih menguntungkan apabila barangan dijual itu mempunyai jenama dan merupakan edisi terhad, yang mana harganya boleh melambung tinggi. Lihat sahaja kasut, beg tangan dan baju berjenama yang masih jadi buruan ramai.

Selain kelengkapan pakaian untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak, terdapat juga kelengkapan rumah seperti perabot, langsir dan cadar.

Rata-rata barangan terpakai ini berkualiti tinggi kerana diimport khas dari luar negara terutamanya Eropah, Jepun, Amerika Syarikat dan Hong Kong.

Tidak hanya kedai bundle, perniagaan ini turut berkembang di atas talian, malah ada platform khas yang tersedia bagi mereka yang ingin menjual terus barangan terpakai.

Trend ini menunjukkan, barangan terpakai semakin mendapat sambutan serta mampu menjana pendapatan kepada sesiapa sahaja!

Perabot terpakai masih bernilai

Pakar Perabot Terpakai Shah Alam (iBOSS) mengakui, sepanjang bergiat dalam bisnes perabot terpakai, pendapatannya sentiasa bertambah dari semasa ke semasa.

Pemiliknya, Mohd Yusree Hashim berkata, perabot terpakai yang tidak lagi diperlukan oleh pemilik asal kebanyakan masih berkeadaan baik.

“Oleh itu, saya ambil perabot yang tidak diperlukan lagi dan beli dengan harga tertentu, kemudian saya akan cantikkan semula perabot tersebut untuk kelihatan baru dan jual dengan harga lebih murah daripada harga asal.

“Hasil usaha itu telah mendatangkan sumber pendapatan yang lumayan kepada saya dan keluarga sehingga kini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kedainya, baru-baru ini.

Pun begitu, Yusree berkata, syarikatnya perlu memastikan produk terpakai tersebut dalam keadaan baik sebelum dijual kepada pelanggan.

“Selalunya, masyarakat akan pandang rendah terhadap perabot terpakai kerana mereka beranggapan ia sudah rosak serta buruk, menjadikan ia bukan pilihan mereka untuk membeli.

“Tetapi, apabila mereka lihat sendiri keadaan sebenar perabot yang ada di kedai saya, pasti mereka akan bertanya, sama ada terpakai atau perabot baru,” katanya.

Yusree yang telah menjalankan perniagaan iBOSS sejak 2014 juga berkongsi bahawa matlamat asalnya membuka kedai perabot terpakai adalah kerana ingin menjaga alam sekitar daripada tercemar.

“Daripada perabot ini terbuang yang boleh menyumbang kepada pencemaran, lebih baik saya ambil dan jual semula kepada mereka yang berminat.

“Namun saya perlu pastikan perabot yang diperoleh berkeadaan baik dan akan baik pulih semula agar dapat menarik minat pembeli,” katanya.

Tambahnya, memang berbaloi untuk mendapatkan perabot terpakai ini kerana bukan sahaja perabot biasa-biasa sahaja boleh dibeli, tetapi perabot berjenama yang harganya ribuan ringgit dan berkeadaan masih baik, boleh diperoleh dengan harga lebih rendah.

“Keuntungan juga boleh dikatakan lumayan kerana ada sahaja penggemarnya tersendiri yang datang ke kedai ini untuk mendapatkan perabot terpakai,” katanya.

0 Komentar untuk " Buat duit dengan barangan terpakai "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ