Umrah: Tak habis-habis kena tipu - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Umrah: Tak habis-habis kena tipu


SAYA tabik umat Islam @ Melayu. Kerana agama mereka sanggup bersusah-payah, berhabis-habisan, malah mengambil risiko, tidak kira sama ada dalam amalan menderma, sedekah  atau  lain-lain yang berkaitan dengan ibadah.

Sebut sahaja, ramai akan sedia tampil untuk memberi sokongan, tidak kira moral atau kebendaan, tanpa banyak soal.

Masalahnya, keikhlasan insan-insan berhati luhur begini kerap diambil kesempatan oleh pihak yang suka menangguk di air keruh.

Melalui kolum ini pun saya sudah beberapa kali berkongsi cerita tentang hasrat ramai umat Islam yang ingin ke Tanah Suci yang tidak kesampaian kerana dikelentong ejen pengurusan pakej umrah.

Ia bukan cerita baharu. Ia berlaku setiap beberapa bulan. Selagi ada pihak sanggup menipu dan ada pihak yang bersedia menyerah tengkuk untuk menjadi mangsa, selagi itulah proses penipuan pakej umrah akan berterusan.

Perlu disebut, kadang-kadang ejen pakej umrah pun boleh jadi mangsa pihak lain, seperti yang dilaporkan Sinar Harian, semalam.

Tak tahulah saya sudah berapa puluh ribu rakyat Malaysia menggigit jari setakat ini kerana hilang wang kepada syarikat-syarikat atau operator fly-by-night (syarikat kilat).

Hendak dikatakan tidak tahu, tidak masuk akal kerana cerita penipuan ini sudah berulang kali dilaporkan media. Mahu dikatakan kurang bijak tidak patut  juga kerana ramai daripada yang terperangkap bukan calang-calang orang.

Macam saya katalah; hakikatnya orang kita terlalu percaya kepada orang; apa lagi apabila ada kaitan dengan urusan agama. Bila terantuk baru tengadah, tapi dah terlambat; dahi sudah pun benjol.

Saya ingat cerita seorang bekas pegawai tinggi yang bayar lebih RM100,000 untuk membantu selesaikan masalah sekumpulan bakal jemaah yang terkandas di lapangan terbang disebabkan masalah visa, beberapa tahun lalu.

Niat ikhlasnya untuk melepaskan mereka yang tersepit itu memakan diri. Wangnya hangus, kawan pun lari. Tapi saya tabik dia. Dia tetap menyerah kepada ALLAH. Moga ALLAH beri ganjaran berganda kepadanya dan mereka yang senasib dengannya, di akhirat kelak.

Sinar Harian sudah melaporkan banyak kes penipuan pakej umrah, termasuk kisah lebih 1,500 orang yang rugi ribuan ringgit akibat terpedaya dengan tawaran murah beberapa tahun lalu.

Harga penuh pakej umrah yang ditawarkan ialah RM3,900 dan mereka diminta membayar RM2,000 wang pendahuluan. Bakinya dibayar beransur-ansur sehingga hari penerbangan ke Tanah Suci.

Saya pun hampir-hampir menjerat leher kerana terpengaruh dengan tawaran itu.

Tetapi saya berhati-hati. Sebelum buat keputusan menerima atau menolak, saya hantar keratan akhbar kepada pemilik syarikat itu.

Saya mahu tahu apakah selepas membaca laporan akhbar mengenai penipuan itu, ada bakal jemaah yang berasa bimbang dan sudah hubunginya untuk mendapatkan kembali pendahuluan mereka, tapi, katanya, perkara itu tidak berlaku.

Apa pun, saya tidak mahu terburu-buru menuduh setiap syarikat pengendalian umrah yang menawar pakej murah suka menipu. Ada juga terbukti tulen dan mampu menunaikan janji mereka.

Baru-baru ini, 453 jemaah pula tersadai di Makkah selama lima hari tanpa tiket penerbangan balik ke Malaysia. Semuanya disebabkan mereka terpengaruh dengan diskaun 50 peratus. Mereka hanya perlu bayar RM3,800.

Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji, Datuk Seri Razali Mohd Sham dilaporkan oleh The Star sebagai berkata, apa-apa di bawah RM5,000 tidak boleh dipercayai.

“Tambang penerbangan RM3,200, yuran visa dalam RM200. Tak kanlah sewa hotel hanya RM200,” katanya.

Saya sangat setuju dengan gesaan beliau supaya bakal jemaah umrah periksa terlebih dahulu sama ada agensi perjalanan ada lesen untuk menawarkan pakej umrah. Jangan pakai angguk buta-tuli sahaja.

Lembaga Pembangunan Pengguna Malaysia sahaja sudah menerima beribu-ribu aduan kes penipuan pakej umrah. Berapa ramai lagi yang tertipu tetapi tidak dilaporkan, wallahuaklam!

Untuk elak lebih ramai terpedaya, pihak berkuasa mestilah bertindak tegas dan segera.

Selamatkanlah bakal jemaah umrah daripada menjadi mangsa penipuan pada masa depan.

Cara yang mudah tetapi berkesan yang boleh dilakukan adalah memantau agensi dan individu berkaitan serta bertindak tegas.

Mereka yang ingin mengerjakan umrah pun patut mendedahkan butir-butir penting syarikat yang mengendalikan urusan pakej umrah mereka, kepada pihak berkuasa supaya pemantauan boleh dilakukan dan tindakan wajar diambil sebelum nasi menjadi bubur.

Kalau semua main lepas tangan, entah bilalah masalah penipuan begini akan berakhir.

Mereka yang berada mungkin tak terasa, tapi bagi yang sampai terpaksa bergadai golok, jual lembu kambing dan kebun semata-mata untuk ke Tanah Suci, ia amat merugi dan menyedihkan. Wallahuaklam!

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/farush-khan/umrah-tak-habis-habis-kena-tipu-1.781420
0 Komentar untuk " Umrah: Tak habis-habis kena tipu "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ