DUA atau tiga bulan sekali, saya akan menghantar kereta untuk dibaik pulih di sebuah pusat servis yang terletak kira-kira satu kilometer dari pejabat.
Lazimnya saya akan menelefon pusat servis tiga-empat hari sebelum itu untuk membuat tempahan. Saya mahu jadi pelanggan yang pertama supaya kereta yang diservis dapat siap sebelum jam 1.00 petang.
Selepas menghantar kereta, saya lebih gemar berjalan kaki sahaja ke pejabat. Saya suka begitu kerana mahu beriadah di samping merangsang deria pandangan dan pendengaran. Dengan berjalan, saya dapat memerhati kejadian alam.
Saya biasa nampak kupu-kupu berterbangan di celah-celah rumpun pokok, burung berbuat sarang atau kucing memamah tikus di celah semak.
Saya berpeluang melompat melintasi becak, merasai berjalan di ruang pejalan kaki yang tinggi rendah kerana kontraktornya tidak meratakan jalan yang dikoreknya. Yang penting, saya berpeluang mencabut kemuncup bila tiba ke pejabat – sesuatu yang saya tidak suka lakukan di zaman persekolahan dahulu!
Sewaktu menapak, saya dapat mendongak melihat betapa besarnya tanda arah jalan raya. Di dalam kenderaan, saya nampak saiznya kecil sahaja.
Saya sempat juga mengintai ke dalam parit dengan sampah yang kebanyakannya dari jenis plastik. Bila melalui di bawah jejambat, saya terpaksa berjingkit-jingkit agar debu tidak hinggap di kaki seluar atau terpijak tahi anjing.
Dengan berjalan juga, saya merangsang kembali kemahiran melintas jalan. Jika perlu berlari, berlarilah bila nampak kereta dipandu laju. Saya perasan, betapa pejalan kaki tidak dilihat sebagai orang yang juga punyai urusan penting.
Semakin saya dilihat cuba melintas, semakin laju kenderaan dipandu agar saya hanya melintas setelah kenderaan itu berlalu. Bunyi kenderaan yang membising memang menyakitkan telinga. Sungguh berbeza tatkala saya memandu dengan tingkap tertutup. Yang kedengaran hanya deru pendingin hawa.
Ada ketikanya, saya akan terdengar hon dan pemandunya memperlahankan kenderaan apabila menghampiri saya. Biasanya, rakan sepejabatlah yang ingin berhenti untuk menumpangkan saya. Pelawaan itu saya hanya balas dengan senyuman, mengangkat tangan dan terus menapak.
Sebenarnya saya melakukan itu untuk mengingatkan diri sendiri agar tidak berasa patah kaki bila tidak berkenderaan.
Dalam banyak keadaan ketiadaan kereta dalam tempoh lama seperti kereta rosak, kereta terpaksa diservis berhari-hari atau terpaksa parkir jauh dari tempat yang dituju memaksa saya menapak.
Malah sekali-sekala, saya biasa meninggalkan kereta di mana-mana medan letak kereta lalu melompat menaiki LRT, komuter mahupun teksi. Tujuannya semata-mata supaya saya dapat rasa kerenyahan sebagai penumpang yang tiada kenderaan.
Bila orang bertanya mengapa saya boleh berjalan dengan selamba di dalam hujan, menghirup cendol di gerai bawah pokok, mengeluarkan kertas fotostat yang tersangkut di mesin, membasuh pinggan di sinki, membuat kopi sendiri atau menjahit butang baju…ia adalah kerana saya selalu ingatkan diri untuk susah bila tiba waktunya.
Hidup ini tidak semata-matanya indah. Bukan sentiasanya senang lenang. Jika susah itu suatu ujian, kesenangan juga adalah ujian. Apabila susah, begitu mudah kita sedar ia ujian kerana banyak kekangan yang membataskan fikiran dan tindakan kita.
Namun, ramai di antara kita tidak sedar kita juga diuji tatkala senang. Ujian tatkala senang yang paling bermakna ialah dengan meletakkan diri dengan kesusahan dalam suasana serba ada.
Dengan berasa susah tatkala senang, atau tidak berasa terbeban tatkala susah, sikap mengeluh dan kompelin tidak menjadi perangai kita apabila tibanya kesukaran.
Yang penting ialah melalui keadaan susah dan senang dengan selamba. Lalui sahaja zaman susah seperti mendaki gunung. Rentasi zaman senang seperti berlari di padang yang luas.
Orang tua kata, hidup itu umpama roda. Berselambalah apabila berada di atas tetapi jangan pula panik apabila terpaksa berada di bawah.
Putaran itu akan datang dan pergi dan datang kembali. Ia adalah ujian peribadi yang akan mempengaruhi juga mereka di sekeliling kita ~ sama ada untuk panik atau tenang mengharunginya.
0 Komentar untuk " Tidak kekok untuk rasa susah "