ISU penyajian arak dalam pesawat dan penjualan arak di tempat lain sudah banyak kali ditimbulkan, tetapi berakhir tanpa penyelesaian seperti dikehendali.
Seorang menteri Umno baru-baru ini berpendapat kru Malaysia Airlines berhak tidak menghidangkan alkohol kepada penumpang mabuk atau bermasalah, selepas Pemuda Pas mahu arak diharamkan dalam menu penerbangan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dilaporkan berkata, alkohol bukan masalahnya.
Syarikat penerbangan lain, katanya, juga menghidangkan arak, tetapi mampu menangani masalah berbangkit dengan baik.
Saranan Pemuda Pas dibuat selepas kejadian seorang penumpang bermasalah menyebabkan MH128 terpaksa berpatah balik ke Melbourne dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, baru-baru ini.
“Brunei pun berani haramkan arak dalam penerbangannya,” kata Naib Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari.
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad juga tidak merasakan perlu hidang arak dalam penerbangan.
“Kita pernah tengok kes yang ada masalah. Penumpang boleh menahan diri dalam penerbangan yang mengambil masa tidak lebih dari 24 jam,” katanya.
Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) sebelum itu menggesa Malaysia Airlines Berhad berhenti menghidangkan arak dalam semua penerbangan mereka.
Ketua Biro Islamiyat Isma, Ustaz Omar Kassim berkata, kejadian penumpang yang mabuk dan cuba memasuki kokpit pesawat MH128 dari Melbourne ke Kuala Lumpur itu sudah keterlaluan.
“Daripada kejadian ini, kita dapat memahami bahawa kejadian ‘mabuk biasa’ yang tidak sampai ke tahap ini sudah tentunya kerap berlaku dan ini pasti mengganggu ketenteraman penumpang lain,” katanya dalam satu kenyataan dalam Portal Islam & Melayu.
Oleh itu, Ustaz Omar berkata, menghentikan penjualan arak juga akan mengurangkan kos operasi dan menambahkan keberkatan kepada perniagaan.
Ia juga sama dengan tindakan syarikat penerbangan lain seperti Saudi Airlines dan Royal Brunei yang telah lama ambil tindakan serupa.
Syarikat penerbangan itu, katanya, harus prihatin terhadap staf mereka yang saban tahun menghidangkan arak kepada penumpang.
“Mereka terlibat secara langsung sebagai golongan yang dilaknat ALLAH berdasarkan hadis: 'Dilaknat pada arak, peminumnya, penuangnya, pembelinya, orang yang minta dibelikan, pembawanya, orang yang minta dibawakan kepadanya, pemerahnya, orang yang minta diperahkan dan orang yang makan daripada hasil arak".
Isu meminta syarikat penerbangan kita memberhentikan hidang arak dalam pesawat ini sudah dibuat sejak lebih tiga tahun lalu.
Namun kita belum mendapat respons daripada pihak berkaitan.
Sebenarnya, perlu disedari orang bukan Islam pun ramai yang benci dengan kesan buruk arak.
Saya teringat seorang rakan bukan Islam yang sanggup menjual pejabatnya dan pindah ke kawasan lain semata-mata kerana tidak suka dengan suasana masyarakat pemabuk di sekitar pejabat lamanya..
“Abang, agama saya pun tidak benarkan (penganutnya) minum arak,” katanya berbisik.
Katanya, dia berpindah pejabat sebab tidak mahu amalan buruk akibat gejala arak itu mempengaruhi anaknya yang berada dengannya di pejabat hampir setiap hari.
Keliling pejabatnya yang berdinding kaca terdapat lima enam orang yang kerap terhuyung-hayang dan mempamerkan tabiat buruk kerana mabuk, siang dan malam.
“Anak saya baru berumur 10 tahun. Saya pindah kerana saya takut nanti dia pun ikut (terpengaruh dengan tabiat buruk itu),” katanya.
Menurutnya, dia beritahu isterinya: "Kita jual rumah, jual pejabat dan pindah ke kawasan lain.
“Saya bagi tahu tidak apa kita hilang duit kerana terpaksa pindah dari kawasan lama walaupun perniagaan saya di situ sangat bagus.
“Biar saya mula balik dari kosong. Duit tak penting. Yang penting masa depan anak-anak dan keluarga saya,” katanya.
Terharu saya mendengar luahannya mengenai pengorbanannya untuk masa depan keluarga.
Kalau dia yang bukan Islam sanggup korbankan pendapatan untuk menjauhkan diri dan keluarganya daripada pengaruh arak, saya tidak nampak kenapa orang lain susah sangat untuk melakukan sesuatu untuk menjauhkan diri dan masyarakat daripada pengaruh arak.
Kerajaan Indonesia sudah haramkan penjualan arak di semua pasar mini dan dan kedai runcit sejak April 2015 walaupun dengan tindakan ini ia kehilangan hasil cukai arak RM1.97 bilion setahun.
Ia serupa dengan tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa Kerala, negeri di barat daya India, juga dalam usaha memerangi gejala arak.
Apa yang menarik ialah, dengan lebih separuh daripada 34 juta penduduknya beragama Hindu dan dengan hasil cukai dan yuran daripada arak bernilai RM3.2 bilion, kerajaan Kerala nekad mengharamkan penjualan arak lebih dua tahun lalu.
Apakah kita masih tetap mahu mencari alasan untuk terus menjual dan menghidang arak?
Seorang mukmin melihat dosa seperti gunung yang boleh hempap kepalanya bila-bila masa, sementara orang derhaka melihatnya hanya macam seekor lalat yang hinggap di batang hidung yang boleh diusir dengan mudah. Wallahuaklam!
0 Komentar untuk " Lihat dosa macam gunung atau lalat? "