Reformasi pilihan raya PRU14 - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Reformasi pilihan raya PRU14



PADA 16 Mei 2017, saya dan beberapa pemimpin Pakatan Harapan menghadiri pelancaran Kempen Reformasi Pilihan Raya PRU14, yang dilancarkan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Maria Chin Abdullah di pekarangan ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya. Ia diikuti penyerahan memorandum kempen tersebut kepada wakil SPR.

Menurut Bersih 2.0, rakyat Malaysia bakal menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang berat sebelah, dan penuh dengan penipuan dan korupsi. Justeru, adalah penting untuk SPR dan Kerajaan Persekutuan bertindak untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem pilihan raya di Malaysia.

Memorandum ini menggariskan langkah-langkah penambahbaikan yang boleh dilaksanakan dalam tempoh 10 bulan, iaitu sebelum Parlimen wajib dibubarkan pada Jun 2018:

Korupsi pilihan raya: Kini, tiada sebarang undang-undang mengawal pendapatan dan perbelanjaan parti-parti politik dan larangan penggunaan jentera serta aset kerajaan untuk berkempen.

Dicadangkan wujudnya SPR (yang bebas); undang-undang kewangan politik; pengisytiharan harta oleh wakil rakyat; pemberdayaan pasukan penguat kuasa di bawah akta kesalahan pilihan raya; dan kod tatalaku kerajaan sementara.

Daftar pemilih: Kewujudan pengundi bukan warganegara dan pelbagai keraguan dalam daftar pemilih adalah serius. Dicadangkan supaya dimansuhkan Seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958 bagi membenarkan daftar pemilih dicabar di mahkamah; pengubahsuaian daftar pemilih secara tidak sah dijadikan kesalahan pilihan raya; dan menubuhkan jawatankuasa audit daftar pemilih.

Pengundi tidak hadir: Maklumat tentang pendaftaran pengundi luar negara amat terhad; terdapat isu berkaitan syarat kelayakan, penyimpanan dan pengangkutan peti undi untuk pengundian awal; akses untuk ejen pengundian dan ejen pengiraan; dan kemungkinan seseorang pengundi disenaraikan sebagai pengundi biasa dan pengundi pos.

Dicadangkan supaya kelayakan sebagai pengundi tidak hadir dikhususkan dan diperketat; pengundian awal berlangsung satu hari sebelum hari mengundi; ejen pengundian, ejen pengiraan dan ejen barong diberi akses bebas; pengiraan kertas undi dijalankan di pusat mengundi; pengundian awal domestik dijalankan di pusat mengundi awam, bukannya kem tentera atau balai polis; dan nombor kad pengenalan awam bagi anggota tentera/polis disenaraikan bersama dalam daftar pemilih.

Persempadanan semula yang adil: Perlembagaan Persekutuan mempunyai peruntukan untuk memastikan persempadanan kawasan pilihan raya dilakukan dengan adil. Tetapi, kini, saiz kawasan-kawasan pilihan raya dalam sesebuah negeri mempunyai julat antara 37,000 hingga 150,000 pengundi.

Dicadangkan supaya SPR mengkaji semula cadangan-cadangan persempadanan semula agar selaras dengan peruntukan Perlembagaan yang mewajibkan setiap kawasan pilihan raya di dalam sesebuah negeri adalah lebih kurang sama besar.

SPR yang bebas: Sistem pelantikan ahli-ahli SPR oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri menimbulkan keraguan terhadap kebebasannya. Dicadangkan penubuhan jawatankuasa pencalonan SPR untuk memilih calon-calon yang sesuai bagi diluluskan oleh Parlimen dan Yang di-Pertuan Agong.

Pemantauan pilihan raya: Semasa PRU13, proses pemantauan sangat terhad. Dicadangkan supaya pelantikan pemantau pilihan raya dilakukan melalui proses permohonan terbuka, non-partisan, membenarkan pemantau antarabangsa dan laporan pemantauan dibuka kepada awam.

Pendaftaran pengundi secara automatik: Setakat Mac 2017, terdapat lebih 4 juta warganegara Malaysia yang layak mengundi tetapi tidak mendaftar. Dicadangkan supaya rakyat yang layak sebagai pengundi didaftarkan secara automatik apabila mencapai umur 21 tahun.

Tempoh berkempen minimum 21 hari: Tempoh berkempen yang lebih panjang akan memberi masa secukupnya kepada para pengundi untuk membuat keputusan terhadap pilihannya.

Akses kepada media yang bebas dan adil sepanjang tempoh berkempen: Wujudkan kod tatalaku media semasa pilihan raya, melalui konsultasi dengan pihak media, wartawan-wartawan dan masyarakat sivil.

*  Datuk Saifuddin Abdullah ialah Ketua Setiausaha Pakatan Harapan dan Pengarah (Strategik dan Pembangunan Masyarakat) Institut Darul Ehsan. Beliau aktif di twitter: @saifuddinabd

0 Komentar untuk " Reformasi pilihan raya PRU14 "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ