PELBAGAI pandangan positif dan negatif disuarakan oleh netizen, termasuk mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai penjualan Proton kepada China.
Sebenarnya Proton tidak mencatatkan keuntungan sejak ditubuhkan pada 1985. Akibatnya kereta nasional terpaksa dipecahkan kepada dua iaitu Proton Edar dan Perodua. Apa yang pasti, kerajaan sentiasa menyuntik dana ke dalam Proton.
Sehinggalah kegagalan Proton mendapatkan enjin kereta Mitsubishi. Ini menyebabkan Proton terpaksa menjalin kerjasama dengan berbagai-bagai syarikat kenderaan luar negara.
Antaranya dengan Renault pada 1999 dan melahirkan Proton Waja 1.8.
Proton kembali semula untuk menjalin kerjasama dengan Mitsubishi setelah kegagalan jualan kereta menggunakan enjin jenama Renault dan Citroen. Kerjasama kali ini turut gagal kerana Mitsubishi enggan membekalkan enjin kenderaannya ke atas Proton Wira 1.5SE. Akhirnya Proton beralih semula kepada Renault.
Jalinan kerjasama ini membuahkan hasil Proton Savvy 1.2cc. Tetapi turut mendapat kerugian apabila model ini kurang mendapat tempat. Kerugian demi kerugian atas penghasilan setiap jenis model kereta Proton. Contohnya model Gen2, Juara, Arena, Inspira dan Suprima.
Apakah nasib model-model tersebut? Mengapakah model-model yang dihasilkan mempunyai masalah seperti power window, enjin mahupun reka bentuk yang tidak menarik? Kualiti penghasilan model kereta Proton juga menjadi persoalan.
Ini membuat ramai rakyat Malaysia beralih kepada kereta buatan Jepun. Walaupun mahal tetapi permasalahan seperti power window, enjin dan sebagainya kurang berlaku. Akhirnya, pengurusan Proton mengalami kerugian yang teruk dan memerlukan suntikan dana yang besar.
Sebagai langkah untuk menyelamatkan Proton, maka cadangan penggabungan Proton dan Perodua diutarakan. Tetapi penggabungan yang dilaksanakan turut gagal. Ini disebabkan Perodua telah menutup pintu rundingan untuk penggabungan tersebut.
Kerjasama dengan Honda akhirnya memberikan satu impak positif apabila terhasilnya model Proton Perdana. Bagi meneruskan kelangsungan Proton, maka kerajaan telah membeli sejumlah Proton Perdana yang menggunakan model enjin Honda.
Tetapi Proton tetap menghadapi masalah dalam pemasaran dan penjenamaan kerana dilihat mempunyai persepsi kurang baik dalam pasaran antarabangsa. Situasi ini berlaku kerana tiada satu komitmen untuk terus menjalin kerjasama dengan Mitsubishi.
Lihatlah Perodua yang masih terus menjalin kerjasama dengan Toyota dan Daihatsu untuk menghasilkan berbagai model kenderaan. Model kereta yang dihasilkan seperti MyVi, Viva dan Axia dilihat mendapat sambutan pasaran tempatan.
Sememangnya kerjasama ini perlu ada situasi menang-menang dan bukan berpihak sebelah saja.
Selama Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia Keempat yang menguasai dan membuat keputusan mengenai Proton, kenapa beliau tidak membuat sebarang usaha untuk melonjakkan imej Proton? Malahan beliau tidak berusaha untuk memperbaiki tahap kualiti Proton setara dengan Toyota, Honda dan Nissan.
Maka, tidak seharusnya beliau mempertikaikan kerjasama Proton dengan Geely sebuah syarikat kenderaan kereta China yang berjaya melonjak dan memperbaiki syarikat kenderaan Volvo di pasaran antarabangsa.
Sebenarnya Geely telah membeli penambahan saham sebanyak RM170.3 juta pada 31 sen sesaham supaya membolehkan Geely menguasai 547 juta saham Proton Geely. Manakala Proton masih memiliki 49.9 peratus saham pada nilai RM549 juta saham. Jumlah keseluruhan saham yang ada dalam kerjasama Proton dan Geely adalah RM1.096 bilion.
Walaupun kerajaan tidak lagi memiliki ‘golden share’ dalam saham Proton selepas termeterai perjanjian kerjasama Proton dan Geely, tetapi Proton Geely masih perlu membayar RM1.5 bilion saham keutamaan kerajaan (RCCPS) kepada kerajaan. Erti kata lain kerajaan masih menguasai Proton Geely ini dengan menukar RM1.5 bilion ke dalam bentuk saham Proton Geely.
Ini bermakna kerajaan menguasai Proton Geely ini dengan 53.3 peratus saham diikuti Proton (DRB Hicom) 24.4 peratus dan Geely 23.3 peratus.
Kerjasama Proton Geely ini sebenarnya menguntungkan rakyat. Antaranya kerajaan tidak perlu lagi menyuntik dana daripada cukai rakyat masuk ke dalam Proton. Malahan melalui kerjasama Proton Geely membolehkan pasaran kereta Malaysia memasuki pasaran kereta di China.
Seterusnya dapat menambah peluang pekerjaan apabila dapat meningkatkan pasaran eksport kereta Proton di pasaran antarabangsa. Maka dengan demikian, Proton adalah milik rakyat Malaysia dan bukan milik mana-mana individu.
0 Komentar untuk " Proton masih milik Malaysia "