1MDB tidak bersalut MAS - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

1MDB tidak bersalut MAS



MALAYSIA kini di bibir MAS, singkatan Monetary Authority of Singapore, bank negara Singapura. Menurut sebuah akhbar Malaysia berbahasa Inggeris yang berkongsi pelana dengan akhbar New York Times, di Singapura terdapat beberapa buah bank besar Switzerland, England dan Singapura dikenakan hukuman akibat perilaku curang kewangan bersabit dengan 1MDB.

Soal mengapa perihal 1MDB menjadi begitu berpanjangan, melibatkan bank-bank di negara-negara terkemuka, adalah soal seribu satu yang menerawang bak penerawangan kisah seribu satu malam.

 Apa yang berlaku laksana ungkapan bijaksana Melayu: Satu, takkan pokok bergoyang kalau tiada angin. Dua, seekor kerbau membawa lumpur, semuanya habis terpalit.

Singapura dan Switzerland adalah dua buah negara di kalangan negara yang terbaik di dunia dalam amanah kewangan. Sebarang kesalahan perilaku dalam lapangan kewangan dikorek ke lubang cacing dan pesalah dihukum menurut peruntukan undang-undang dengan tidak memilih bulu.

 Itu sebabnya bank Credit Suisse, salah sebuah bank Switzerland yang terbesar, dan bank besar Singapura UOB dikenakan hukuman denda oleh MAS atas perlakuan curang kewangan dengan 1MDB.

Bukan itu saja, MAS juga mendenda sejumlah RM90 juta akibat 1MDB ke atas bank-bank dan badan-badan kewangan ternama: BSI Bank, Falcon Private Bank, DBS Group Holdings Ltd, UBS Group AG, Standard Chartered plc, Coutts & Co, Credit Suisse and UOB. Bank UBS dan BSI itu adalah bank Switzerland, selain Credit Suisse.

Denda itu terbingkas daripada sikap yang longgar dan salah mengawal penyangakan wang oleh pengurus-pengurus kanan. Lebih dahsyat lagi, BSI Switzerland telah diarahkan tutup oleh MAS pada tahun lepas, 2016.

Selain daripada itu, MAS juga tidak silu-silu mengeluarkan amaran keras terakhir, dipanggil Prohibition Orders, terhadap beberapa orang wakil dan pegawai bank, termasuk yang berkaitan dengan Maybank, agar tidak mengulangi lagi kesalahan mereka sepanjang hayat.

Berdasarkan maklumat itu, nyata sekali 1MDB yang ditubuhkan atas inisiatif PM Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2009, walaupun pada zahirnya bermaksud baik, telah terbukti terkeleceh.

Tidak kurang daripada Peguam Negara dan Jabatan Keadilan AS yang mengumumkan pada tahun lepas, tentang kesilapan penyangakan wang IMDB di AS hingga menjejaskan sistem kewangannya.

Anak tiri Datuk Seri Najib dan kawannya Jho Low disabitkan; dan Najib sendiri terpaksa menafikan bahawa beliau Pegawai Malaysia MO1 yang disebutkan Peguam Negara itu.

Dalam hidup bernegara, kita sedar adanya konsep negara bangsa, negara undang-undang dan negara anarki. Jarang negara yang tiada bangsa, tetapi negara anarki, yang bererti terencat dan kelam kabut, mungkin terdapat di bumi Arab, Afrika dan Laluan Sutera.

Untuk menjadi teratur, aman, terkawal dan diyakini dunia, ia mesti negara undang-undang. Ia bererti undang-undang terlaksana sebaik-baiknya, tanpa halangan, dan tiada siapa yang mengatasi undang-undang.

Untuk memastikannya, tentera dan polis ditubuhkan untuk menahan segala ancaman dan menjaga segala gugatan keselamatan negara. Mahkamah pula diungguli untuk memastikan negara benar-benar berteraskan undang-undang.

Segala perbuatan yang boleh menjejaskan kebajikan negara, terutama dalam pengagihan rezeki secara adil dan saksama, memerlukan kawalan beramanah daripada badan-badan seperti Bank Negara dan SPRM. Wang yang dikutip dan dibelanjakan oleh negara perlu dikesani oleh juruaudit negara.

Tentunya pula peguam negara, pendakwa bagi pihak rakyat, diwajarkan dengan tugas mendakwa sesiapa yang dianggap bersalah, tidak kira siapa.

Jika tidak begitu halnya, maka alternatifnya ialah negara anarki yang dijauhkan ALLAH. Sebagai negara undang-undang, Malaysia memilih sistem demokrasi yang berteraskan pilihan raya untuk menubuhkan kerajaan.

Demokrasi juga menuntut rakyat mendapat persamaan hak, termasuk pendidikan dan maklumat sebebas dan seluas mungkin. Dari pendidikan dan maklumat begitu, rakyat boleh berada dalam kedudukan membuat keputusan yang wajar untuk memilih kerajaan dalam pilihan raya.

Dalam semua agama, maklumat yang baik datangnya dari perbuatan baik; maklumat buruk datang dari perbuatan buruk. Penafiannya mungkin berkesan dalam satu jangka yang singkat, tetapi lambat laun rakyat akan tahu kedudukan sebenar. Akibat yang berlaku kepada Presiden dan PM jauh dan dekat tidak perlu diulangi; sudah terang lagi bersuluh.

0 Komentar untuk " 1MDB tidak bersalut MAS "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ