ANDAIAN bahawa ideologi komunis telah berkubur dengan berakhirnya era Perang Dingin pada 1991 adalah tidak tepat dan berbahaya.
Walaupun komunisme sebagai sistem pemerintahan telah runtuh di Rusia dan Eropah Timur, ia masih diamalkan secara total di China, Korea Utara, Vietnam dan Cuba.
Di negara China, kuasa tertinggi dan mutlak adalah Parti Komunis China (PKM). Selain menguasai kerajaan, ia diperkukuhkan oleh Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) yang mempunyai 2.3 juta anggota, iaitu pasukan tentera terbesar di dunia.
Hatta di beberapa buah negara bekas Kesatuan Sosialis Soviet (Soviet Union), termasuk Rusia sendiri, dan di Eropah Timur, parti komunis masih meneruskan perjuangan. Cuma mereka tidak lagi mendapat sambutan seperti dulu.
Malah di luar sfera komunis pun parti komunis cergas dan berpengaruh. Parti Komunis India (Marxist) misalnya memerintah dua daripada 29 negeri di negara demokrasi terbesar dunia itu, iaitu Tripura dan Kerala.
Kita kena ingat, sejak zaman berzaman ideologi, sama ada yang berbentuk kontemporari seperti komunisme, sosialisme dan kapitalisme atau yang tradisional seperti agama, adalah senjata penting dalam proses penaklukan.
Ambil contoh zaman penjajahan Eropah di alam Melayu yang bermula dengan penaklukan Portugis ke atas Melaka pada tahun 1511.
Walaupun hikayat mengatakan tidak ramai orang Melayu bertukar agama daripada Islam kepada Kristian, penggunaan agama sebagai senjata jelas dan nyata.
Pemerintah Eropah cuba memaksakan agama dan ideologi Kristian ke atas penduduk tempatan, tetapi kurang berjaya di kalangan orang Melayu.
Apa yang nampak sebagai kegagalan itu bukan semata-mata kerana kekuatan akidah orang Melayu tetapi juga kerana faktor-faktor bukan agama.
British lagi bijak. Mereka gunakan Islam dan adat resam Melayu yang berkisar di sekitar istana untuk menakluki dan menjajah negeri-negeri Melayu tanpa perlu berperang, bermula dengan Perjanjian Pangkor tahun 1847.
Tetapi mubaligh Kristian daripada pelbagai mazhab bebas mengembangkan agama mereka di kalangan orang bukan Islam dan Orang Asli dengan menggunakan landasan pendidikan, kemasyarakatan dan kebajikan.
Mereka membuka sekolah untuk semua kaum bagi mengajar bahasa Inggeris, mendirikan gereja dan mewujudkan rangkaian kebajikan sebagai cara menjinakkan dan seterusnya menarik orang ramai menyertai agama mereka atau sekurang-kurangnya pun tidak memusuhi mereka.
Kita tidak boleh menolak kemungkinan kegiatan diplomasi, ekonomi dan ketenteraan China yang semakin rancak di Asia Tenggara digunakan secara halus untuk menghidupkan semula ideologi komunis.
Kita yang membaca, menonton dan mendengar lain daripada hiburan dan sukan tentu tahu bahawa sikap anti-agama masih kuat dan meluas di China.
Antara kelompok agama yang dijadikan sasaran ialah Buddha Tibet, Islam dan Kristian. Yang kini menjadi tumpuan diskriminasi ialah etnik Uyghurs yang tinggal di Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang.
Laporan media antarabangsa mengatakan pihak berkuasa China menggunakan pelbagai muslihat bagi menyukarkan orang Ugyhur berpuasa Ramadan.
Menyedari hal ini, kita hendaklah berhati-hati. Kalau pisang berbuah dua kali tak apalah. Sekurang-kurangnya pekebun dapat hasil berganda. Kita tidak mahu apa yang berlaku dalam perhubungan kita dengan Myanmar berulang pula dengan China.
Kononnya untuk menjinakkan Myanmar dengan Asean maka kita mengambil sikap berbaik-baik dengannya. Tetapi apa yang terjadi ialah kerajaan tentera yang disokong oleh sami-sami Buddha radikal menjadi lebih ganas terhadap kaum-kaum etnik, khususnya orang Islam Rohingya.
Kita sepatutnya proaktif seperti yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi Perdana Menteri dengan membela nasib orang Islam Bosnia-Herzogovina yang dikejami orang Kristian Serbia.
Adalah naif dan berbahaya menganggap bahawa China hanya berminat mengembangkan pengaruh ekonomi dan diplomatiknya ke atas negara kita untuk tujuan keuntungan semata-mata.
Mereka sudah pun mula menuai bonus apabila dua parti politik tempatan yang pada suatu masa dulu sangat anti-komunis, iaitu Umno dan MCA, kini menjalin perhubungan dengan PKC.
Seperti sesetengah daripada kita maklum, PKC adalah penyokong kuat dan setia kepada pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM) selama lebih 40 tahun. Hatta apabila kita menjalin perhubungan diplomatik dengan China pada tahun 1974 pun PKC terus membantu PKM atas dasar parti ke parti.
Kita boleh bersahabat dan berniaga dengan China atau mana-mana negara jua, tetapi jangan sekali-kali sampai kita terjajah semula secara tersirat dan tersurat. Cukuplah 500 tahun kita dijajah. Wallahuaa'lam
0 Komentar untuk " Ideologi komunis masih kuat "