MASA berlalu dengan begitu pantas. Pejam celik, sudah 12 hari Ramadan meninggalkan kita. Ini bermakna, fasa permulaannya rahmat sudah pun berlalu. Di manakah tahap puasa kita setakat ini?
Pada kesempatan yang berbaki ini, kita masih berpeluang mengaudit tahap puasa kita. Imam Al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya’ Ulum Ad-din ada menyebut tentang tiga tahap atau kedudukan puasa iaitu, puasa al-umum (puasa orang awam), puasa al-khusus (puasa orang soleh) dan puasa khusus al-khusus (puasa muqarrabin).
Tahap puasa al-umum ialah puasa yang hanya mendapat lapar dan dahaga kerana dia hanya melaksanakan puasa sepertimana takrif ilmu fekah, iaitu dengan meninggalkan makan dan minum dari terbit fajar hingga terbenam matahari, serta meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Puasa al-khusus pula merupakan puasa orang soleh yang menjaga segala pancaindera termasuk pendengaran, penglihatan, lidah dan anggota badan daripada melakukan dosa. Manakala puasa tahap yang tertinggi iaitu puasa muqarrabin, iaitu puasa orang yang sangat dekat dengan ALLAH hinggakan fikiran dan rasa hatinya juga dapat dikawal hanya untuk ALLAH secara total.
Hakikatnya, ALLAH memberikan segala bentuk cabaran, ujian dan menjadikan tujuan puasa itu ialah demi untuk mendekatkan diri hamba dengan-Nya. Ini kerana, kedekatan kita dengan ALLAH akan menjamin kemudahan hidup di dunia dan akhirat.
Apabila kita dekat dengan Sang Pencipta, kita akan sentiasa dibantu-Nya, walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Bahkan, walaupun kita dalam keadaan serba kekurangan, tidak banyak harta, rupa paras tidak seberapa, dan tidak punya kuasa, tetapi ALLAH akan sentiasa mudahkan segala urusan kita.
Perkara yang susah akan menjadi mudah, yang gundah gulana bertukar menjadi ceria, malah yang gelap boleh berubah menjadi terang tanpa disangka-sangka.
Pepatah Inggeris ada mengatakan, what you see is what you get. Apa yang kita lihat, itulah yang kita dapat. Dengan kata lain, suka untuk penulis membawa satu metafora yang boleh kita sama-sama fikirkan iaitu umpama sebuah lombong yang dilihat oleh pelbagai kelompok manusia.
Kaki pancing akan lihat ikan-ikan yang ada di dalamnya, ahli geologi mungkin akan cari gali emas atau bijih darinya, pencinta alam pula akan menikmati keindahannya, walaupun ada sekelompok manusia yang hanya melihatnya sekadar takungan air yang dipenuhi semak-samun.
Begitu juga dengan ibadah puasa. Tasawur dan pandangan tentang puasa perlu tepat, barulah ia memungkinkan kita untuk mencapai natijah berpuasa iaitu beroleh ketakwaan.
Justeru, untuk menjadikan bulan Ramadan ini sebagai medium terbaik untuk kita dekatkan diri dengan ALLAH, belum terlambat untuk penulis ingatkan tentang niat kita berpuasa. Segala ibadah dan puasa yang kita laksanakan pada bulan ini perlulah diiringi dengan niat yang benar dan tepat, iaitu semata-mata kerana ALLAH. Bukan untuk mendapat pujian atau perhatian makhluk.
Sebab itulah, kita mesti melihat puasa dengan pandangan yang sebenar. Bukan sekadar adat dan kebiasaan yang sudah dilakukan oleh nenek moyang kita sejak berzaman. Inilah pentingnya, puasa didasari oleh keimanan dan harapan.
Barulah kita akan beroleh keampunan ALLAH seperti yang disebut Baginda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, “Siapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan (pahala dan keredaan ALLAH), akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”.
Namun begitu, apabila ALLAH memerintahkan kita beramal ibadah, ALLAH juga perintahkan kita untuk memperelok dan memperbaiki amalan.
Seperti firman-Nya dalam Surah al-Mulk, “Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya…” Begitu juga Rasulullah sentiasa meminta kepada ALLAH supaya diperbaiki dan diperelok ibadahnya sebagaimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadis sahih “… ‘Aku berwasiat kepadamu, janganlah kamu tinggalkan untuk berdoa setiap kali lepas solat: Ya ALLAH, bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan memperelok ibadahku kepada-Mu’.” Riwayat Abu Daud dan Nasa’i.
Justeru, penuhilah waktu-waktu yang masih berbaki ini untuk memperbaiki dan mempertingkatkan amalan kita semaksimumnya.
Sekiranya inilah puasa terakhir kita, sekurang-kurangnya dapat ditingkatkan tahap puasa kita kepada tahap orang-orang soleh yang akhirnya sewaktu terbit anak bulan Syawal nanti, kita akan menjadi juara yang dapat memiliki ‘piala’ takwa yang diidam-idamkan.
0 Komentar untuk " Muhasabah fasa pertama Ramadan "