KHAMIS lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, beliau bersedia mempertimbangkan jawatan Perdana Menteri (PM) jika Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Jika itu berlaku, Dr Mahathir menjadi antara pemimpin di dunia ini yang menyandang jawatan PM sebanyak dua kali.
Antaranya termasuk Benjamin Netanyahu yang menjadi PM Israel pada 1996-99 dan 2009 hingga kini; Winston Churchill yang menjadi PM Britain (1940-1945 dan 1951/1955); Harold Wilson, juga PM Britain (1964-1970 dan 1974-1976) dan PM Australia paling lama, Robert Gordon Menzies (1939-1941 dan 1949-1966). Persoalan yang timbul sekarang ini ialah apakah pembangkang ini mampu menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan jika menang, siapa sebenarnya calon PM pakatan pembangkang.
Parti lain dalam PH juga ada calon PM masing-masing. Baru-baru ini, Angkatan Muda Keadilan (AMK) menamakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, manakala Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diletakkan sebagai Perdana Menteri peralihan sebelum proses pembebasan Anwar dapat direalisasikan. Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub, juga baru-baru ini menyebut bahawa presiden parti itu, Mohamad Sabu boleh ditonjolkan sebagai calon Perdana Menteri Ke-7 sebelum Anwar dibebaskan. Menurut Salahuddin, PM ke-7 boleh sahaja Dr Mahathir, Wan Azizah, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mat Sabu.
DAP yang menjadi parti dominan dalam PH cuma berdiam diri kerana ia tahu 'segala-galanya DAP yang akan tentukan nanti'. Ini berdasarkan hakikat bahawa parti (bukan PH atau BN) yang mempunyai kerusi terbanyak, layak menamakan calon PM dan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen. Tetapi, menurut Tan Sri Dr Rais Yatim dalam bukunya Zaman Beredar Pesaka Bergilir - Melayu Di Zaman Peralihan, kedudukan Melayu sebagai pemegang kuasa tertinggi negara mungkin diselamatkan oleh Perkara 3 (5) mengenai Agama Bagi Persekutuan, yang memperuntukkan Perdana Menteri mesti seorang yang beragama Islam. PPBM yang cuma mempunyai satu kerusi Parlimen, mahukan Dr Mahathir atau Muhyiddin sebagai PM, PKR dengan 27 kerusi mahukan Anwar atau Wan Azizah, manakala PAN dengan enam kerusi mahukan Mat Sabu sebagai PM.
DAP secara senyap menyasarkan sekurang-kurangnya lebih 50 kerusi Parlimen untuk dimenangi dan dengan jumlah kerusi terbanyak dalam PH, DAP sebenarnya menjadi 'pilot' kerajaan pakatan meskipun tidak memegang jawatan PM. Permainan politik DAP lebih licik - tidak mahu jawatan tertinggi tapi mahu jawatan prominen - Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan? Malah DAP dengan jangkaan jumlah kerusi terbanyak dalam PH, mungkin penentu siapa dan jawatan apa dalam Kabinet PH.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/289771
0 Komentar untuk " Siapa sebenarnya calon PM pakatan? "