Siapa patut pergi, Isa atau Zakaria? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Siapa patut pergi, Isa atau Zakaria?



AGAK-AGAK di penghujung cerita nanti, siapa salah, siapa betul? Inilah yang menjadi perhatian umum sekarang di tengah-tengah kemelut yang melanda Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Dua tokoh yang diberikan tumpuan ialah Tan Sri Isa Samad, pengerusi syarikat perladangan terbesar dunia itu, dan CEOnya Datuk Zakaria Arshad.

Isa memaksa Zakaria – bersama tiga pegawai kanan lain – supaya bercuti serta-merta untuk memudahkan audit dalaman dilakukan berhubung apa yang dikatakan penyelewengan yang telah berlaku.

Maka ada yang segera bersinis: kenapa Zakaria perlu berhenti? Ada pula yang celupar dan mendesak sepatutnya yang dibuang bukan Zakaria tetapi Isa sendiri.

Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, memberi jalan tengah. Katanya: “Kedua-dua Isa dan Zakaria patut berundur.”

ZAKARIA bertegas tidak akan berhenti. “Kenapa saya perlu berhenti, sedangkan saya tidak melakukan apa-apa kesalahan,” katanya kepada media.

Sebaliknya beliau meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat skandal yang berlaku selama ini di syarikat berkenaan.

Beliau sendiri telah ke ibu pejabat badan antirasuah itu bersama sekian banyak dokumen, dan telah bekerjasama sepenuhnya memberi keterangan.

Setelah empat jam diambil keterangan, beliau memberitahu wartawan: “Saya masih dengan pendirian tidak akan berhenti.” Maka pertanyaan umum sekarang ialah: apakah Isa juga akan dipanggil memberi keterangan?

KATA yang empunya cerita, adapun yang menjadikan Isa marah tidak keruan ialah kedegilan CEOnya yang enggan melepaskan jawatan walaupun telah diminta secara baik beberapa bulan lalu. Sebab tidak mahu berhenti secara baik lawannya itu cuba hendak dimalukan dengan cuti paksaan.

Ternyata Zakaria bukan calang-calang orang. Dia tidak boleh diacah sembarangan. Dia orang bisnes, tidak boleh dengan mudah digertak oleh orang politik seperti Isa.

Maka semua sekarang memerhatikan, dalam hal FGV yang sejak beberapa tahun ini menjadi kontroversi, siapa agaknya yang lebih kuat, orang politik atau orang bisnes?

Tungguuu...

PERIHAL si Zakaria, tidaklah beliau saja-saja hendak menunjukkan kedegilan kepada bosnya. Adapun sebagai nakhoda yang diberi amanah, beliau telah sedaya upaya memperbetulkan kapal yang senget dan bocor sana-sini.

Walaupun baru dilantik ke jawa-tan tersebut April tahun lalu beliau telah melakukan banyak pemotongan kos, dan hasilnya mula ketara apabila syarikat tersebut menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

Usaha beliau yang menunjukkan potensi amat positif terhadap FGV mendapat pujian ramai. Tetapi biasalah, hal-hal positif pada sesetengah orang memberi kesan negatif pula pada orang lain.

Maka nakhoda yang cuba menyelamatkan kapal dari gelombang, dituduh pula melawan tauke, dan dipaksa berhenti dari terus mengemudi bahtera. Rupanya yang satu ini bukan sebarang nakhoda...

ALKISAH, Zakaria mengakui ada beberapa benda yang dia tidak sebulu dengan Isa. Contohnya mengenai pelaburan FGV yang tidak ada kaitan dengan perladangan.

Beliau tidak setuju dengan tambahan pelaburan 100 juta pound sterling atau RM550.6 juta dalam projek Felda Cambridge Nanocarbons yang sejak dua tiga tahun ini ternyata menanggung rugi beratus juta RM.

Kata Zakaria, untuk apa melabur lebih RM setengah bilion lagi dalam projek yang bukan sahaja merugikan, tetapi tidak ada kaitan dengan bidang perladangan yang diceburi oleh FGV? Siapa boleh jawab?

Perihal projek nano, dan banyak lagi, telah dikisahkan kepada SPRM. Setakat semalam agensi antirasuah itu pun telah menyerbu ibu pejabat Felda untuk mendapatkan banyak lagi butiran.

Mudah-mudahan siasatan SPRM berjaya membongkar misteri FGV yang oleh sesetengah pihak dianggap sebagai skandal kedua terbesar selepas 1MDB.

AKHIR kalam, Perdana Menteri telah melantik CEO Prasarana Datuk Seri Idris Jala sebagai orang yang diharapkan dapat menyelesaikan kemelut FGV. Tetapi beliau dilihat sebagai orang PM, bolehkah berperanan secara adil dan bebas?

Kalau ikut sejarah, Idris dulu pernah diberi tanggungjawab besar, konon untuk menyelamatkan MAS. Tetapi syarikat penerbangan nasional itu lingkup juga. Bukan sebarang tikus boleh membaiki labu!

Setakat semalam, kedua-dua Isa dan Zakaria, masing-masing tidak mahu berhenti, dan masing-masing kata: “Saya tidak bersalah.”

Siapa salah, siapa betul, semuanya masih misteri. Apa yang pasti tewas dan rugi ialah pemegang saham dan 112,000 peneroka Falda seluruh negara.

Seyogia diingat ketika rencana ini ditulis saham FGV diniagakan RM1.66 seunit, padahal ketika disenaraikan 2012 dulu harga seunit RM5.55.

Maka terbukti lagi, orang Melayu suka menjadi ‘Saudagar Mimpi’, tidak habis-habis mengulangi hikayat ‘Si Luncai’, sambil terus menyanyikan lagu legenda Bangau, Oh Bangau...

0 Komentar untuk " Siapa patut pergi, Isa atau Zakaria? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ