LEBIH kurang dua minggu lagi umat Islam akan menyambut hari lebaran yang penuh bermakna. Setiap tahun, hari lebaran disambut kita semua dengan cara dan maksud tersendiri. Walaupun begitu, lebaran adalah hari untuk kita mensyukuri atas segala nikmat yang telah dikurniakan ALLAH.
Seperti mana biasa, bagi merancakkan suasana menyambut hari lebaran nanti, banyak iklan dan promosi telah dilakukan pihak-pihak tertentu.
Jika kita meneliti kebanyakan iklan yang disajikan lebih banyak tertumpu kepada isu-isu keluarga antaranya; ibu bapa merindui kepulangan anak-anak pada setiap hari raya, kisah adik-beradik bersatu setelah lama berpisah, dan kawan lama berbaik semula setelah berpuluh tahun tidak bertegur sapa. Pendek kata, isu kecil hati dan merajuk yang menjadi punca.
Sebetulnya isu merajuk, kecil hati dan seterusnya kecewa adalah cukup sinonim dengan masyarakat kita hari ini. Semenjak tahun 1950-an lagi kita telah disajikan isu merajuk menerusi filem Sri Mersing.
Bagaimana Damak yang merajuk hati setelah cinta sucinya pada Sri anak Pak Malau terhalang kerana perbezaan darjat. Ungkapan kekecewaan Damak; "Kajang Pak Malau kajang berlipat, kajang hamba mengkuang layu, dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang saya musafir lalu...” sehingga kini menjadi sebutan.
Kisah ini sangat meruntun jiwa sesiapa menontonnya. Impak kepada isu merajuk ini cukup besar sehinggakan ada filem Melayu memaparkan kisah seorang ibu sanggup membunuh diri dengan masuk ke dalam Batu Belah, Batu Bertangkup dek merajuk tidak dapat makan telur ikan tembakul.
Saya masih ingat sewaktu solat raya di kampung beberapa tahun lalu, ada seorang lelaki duduk di sebelah sedang menangis teresak-esak seiring laungan takbir raya oleh bilal. Usai solat raya, saya pun mendekati lelaki tadi untuk bertanya khabar.
Beliau menceritakan amat sedih kerana tidak sempat meminta maaf dengan bapanya kerana baru sahaja balik kampung setelah berkrisis dengan bapanya selama 15 tahun. Malangnya, dia hanya sempat bertemu jasad bapanya.
Sebetulnya, amat rugi bagi mereka yang rajuknya panjang. Pak Rendra, seorang pemuisi dari Indonesia pernah menulis, “Tak ada hari yang menyulitkan kita, kecuali kita sendiri yang membuat sulit”.
Namun bagi mereka yang merajuk, kesulitan adalah disebabkan orang lain bukannya diri sendiri. Walaupun sikap tersebut nampak sangat angkuh, namun bagi mereka yang angkuhnya ialah orang lain.
Walaupun amat jelas bahawa tindakan tersebut adalah salah namun bagi mereka yang salah itu adalah orang lain. Soalnya, angkuhkah ibu bapa dan salahkah ibu bapa yang sangat merindui anaknya yang telah berpuluh tahun tidak balik ke kampung kerana merajuk? Tahukah kita bahawa ibu bapa sentiasa sepi tanpa kehadiran kita. Hari lebaran sepatutnya ibu bapa bergembira dan diraikan namun sebaliknya pula yang berlaku.
Ingatlah, dalam jangka masa panjang sikap merajuk bukannya membawa simpati malah akan diperlekehkan orang lain nanti. Contoh paling jelas telah berlaku dalam filem Batu Belah, Batu Bertangkup.
Sewaktu kecil dahulu, saya beberapa kali menangis apabila menonton filem tersebut. Namun hari ini, bila bertanyakan pada anak saya, “sedih tak tengok filem tersebut?”, anak saya hanya senyum dan berkata; “Tak logik bila seorang ibu sanggup lakukan tindakan sedemikian kerana kempunan telur ikan tembakul.”
Begitulah juga analoginya dengan mereka yang sanggup putus keluarga, sahabat, silaturahim dengan adik-beradik dan sebagainya lagi kerana merajuk. Orang lain yang bersedih kerana tindakan kita adalah satu hal, namun yang menerima impak lebih besar ialah kita sendiri.
Kita akan terus terasing dalam dunia yang sibuk ini. Kita masih menusukkan perasaan marah dalam hati. Hati tidak dibenarkan sedikit pun untuk tenang. Sebaliknya terus membisikkan dengan mengatakan kita yang benar dan orang lain salah.
Akhirnya kita dimamah usia dengan begitu sahaja. Sedarlah masa telah berubah, rajuk yang panjang sudah tidak relevan lagi.
Sebetulnya kita perlu belajar bagaimana untuk cepat pulih bila kita mudah terasa dan kecil hati. Sikap resilience atau kekuatan untuk pulih setelah melalui peristiwa sukar dan duka dalam hidup perlu diterapkan dari semasa ke semasa. Malah ALLAH sendiri mencintai hambanya yang kuat dan bukannya lemah.
Memandangkan raya dah hampir tiba, cukuplah merajuk dan membawa diri. Balik dan jenguklah kedua ibu bapa. Mintalah maaf kepada mereka kerana keredaan ALLAH datangnya daripada keredaan ibu bapa.
Jika ada tersalah dengan adik-beradik bersatulah semula. Kita bukannya sempurna dan akan diadili pada hari kebangkitan nanti. Semoga ikatan silaturahim ini dapat menambahkan timbangan amal kita nanti.
http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/dr-huzili-hussin/usah-merajuk-terlalu-lama-1.687151
0 Komentar untuk " Usah merajuk terlalu lama "