Lagi kemelut dalam FGV - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Lagi kemelut dalam FGV



PADA saat-saat peneroka Felda dan pelabur pasaran saham mengharapkan jawapan kepada masalah mereka, peneraju Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) nampaknya lebih mirip untuk bercakaran sesama sendiri.

FGV yang ketika diapungkan pada tahun 2012 diuar-uarkan sebagai penjamin masa depan peneroka dan pemacu pertanian moden bukan sahaja gagal memenuhi janji tersebut malah dilanda krisis dalaman yang kronik.

Dalam perkembangan terbaru, lembaga pengarahnya yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad telah menggantung tugas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Zakaria Arshad dan Ketua Pegawai Kewangan kumpulan, Ahmad Tifli Mohd Talha, mulai 6 Jun.

Zakaria berkata, beliau menerima surat yang ditandatangani oleh Isa memaklumkan yang belau diarahkan bercuti dari semua tugas di FGV dan anak syarikatnya berkuat kuasa serta-merta.

Penggantungan tugas mereka dikaitkan dengan siasatan yang membabitkan kelewatan pembayaran oleh sebuah syarikat Afghanistan, Safitex kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.

Pada hari berikutnya, 7 Jun, Zakaria mencabar lembaga pengarah FGV sama ada menyokong beliau atau Isa dan serentak itu menyerahkan beberapa dokumen kepada ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya berhubung dakwaan salah urus perniagaan.

Kesan serta-merta pergaduhan dalaman FGV itu ialah kejatuhan harga sahamnya di Bursa Malaysia. Sebaik saja berita tindakan ke atas Zakaria itu tersebar, harga FGV merosot tujuh sen kepada RM1.60 sebelum urus niaga digantung. Pada 5 Jun harga saham FGV ialah RM1.82.

Bagi sebuah syarikat yang sahamnya jatuh merudum sejak disenaraikan pada tahun 2012, FGV sebenarnya tidak mampu menanggung kejutan dan kontroversi seperti ini. Harga tawaran awam permulaan (IPO) FGV ialah RM4.55 dan naik sehingga RM5.46 sen sebelum jatuh ke tahap sekarang. Bukan harga sahamnya saja jatuh, pendapatan bagi setiap saham (EPS) pun jatuh juga. Sejak tiga tahun lalu tidak sampai satu sen sesaham.

Dari awal-awal lagi banyak pihak bimbang model perniagaan FGV tidak lestari dan harga tawaran permulaannya terlalu tinggi. Bagi mereka, harga terbitan RM4.55 bagi setiap satu saham yang harga asasnya RM1 adalah terlalu tinggi dan aset yang diambil alih secara langsung atau disewa daripada Felda tidak cukup untuk menjana keuntungan bagi menyokong harga IPO tersebut.

Ini ditambah pula oleh pengurusan yang lemah dan prestasi kewangan yang buruk. Semua ini memberi kesan yang membebankan kepada peneroka kerana banyak urusan yang dulunya dilaksanakan oleh Felda telah dipindahkan kepada FGV. Dalam bahasa yang mudah, FGV bertindak sebagai orang tengah.

Secara langsung dan tidak langsung, peneroka adalah pemegang saham utama FGV. Tapi di sebalik membantu mereka memperoleh pendapatan yang lebih tinggi, FGV membebankan mereka.

Jadi dengan pelbagai dakwaan dan syak wasangka terhadap Felda dan FGV, adalah sangat elok bagi SPRM membuka fail siasatan. Mana tahu memang ada yang reput dan busuk dalam agensi pembasmian kemiskinan itu.

Melindungi salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah semata-mata kerana ia melibatkan orang kenamaan adalah sama dengan memperkuda peneroka dan anak cucu mereka.

Ikut cerita media arus perdana, macam-macam benda yang SPRM akan siasat atau boleh siasat daripada perjanjian usaha sama beratus juta ringgit dengan syarikat asing yang rugi kepada pembelian tiket kapal terbang kelas pertama untuk isteri pegawai yang tidak layak, kontrak ubahsuai unit kondominium, tajaan majlis yang tidak kena mengena dengan perniagaan FGV dan banyak lagi.

Namun, siasatan sahaja tidak cukup kalau pihak-pihak yang disyaki tidak diseret ke mahkamah atau apabila dibawa ke mahkamah pendakwaannya lemah seolah-olah disengajakan.

Dalam kaitan ini, sekiranyalah pengerusi baharu Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, serius mahu menyelesaikan masalah agensi amanah itu, beliau wajiblah mengambil kesempatan daripada perkembangan terbaru dalam FGV untuk membuktikan hak dan pengaruh beliau.

Tidak cukup bagi beliau sekadar menyatakan kekecewaan kononnya suara Felda tidak didengar atau beliau mahu pulangan yang lebih tinggi bagi aset Felda.

Kalau beliau seorang yang bersih dan telus seperti yang digambarkan, beliau mesti berani menjuarai kepentingan Felda dan peneroka dalam FGV. Beliau mesti berani menegakkan hakikat bahawa tanpa Felda tidak akan ada GFV.

Saya kenal Shahrir lama untuk mengetahui yang beliau cukup berpengalaman dalam bidang perniagaan untuk mengesan sama ada FGV diuruskan dengan cekap dan telus atau ada unsur-unsur rasuah di dalamnya.

0 Komentar untuk " Lagi kemelut dalam FGV "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ