Fikir kritis tentang Surah al-'Asr - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Fikir kritis tentang Surah al-'Asr


“DEMI masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." (Maksud Surah al-‘Asr: 1-3)

Bila kita sebut masa (al-‘Asr), kita biasanya terbayang tentang pergerakan angka iaitu pukul 1, pukul 2, pukul 3, pukul 4, pukul 5 dan lain-lain. Ada kalanya perkataan masa itu mengingatkan kita tentang jadual dan janji-janji temu kita seperti pagi, saya ada janji temu dengan doktor gigi. Tengah hari, saya ada janji dengan kawan lama, Kelvin Chong. Petang, saya bagi ceramah di masjid. Adakah konsep 'masa' dalam Surah al-‘Asr mengajak kita membayangkannya dengan cara yang sama?

Perkataan al-‘Asr menurut Ibn Kathir merujuk kepada 'masa di mana berlaku dalamnya pergerakan baik dan buruk dari Bani Adam'. Surah al-‘Asr ajak kita fikir masa dalam konteks lebih luas lagi iaitu bukan sekadar isu pergerakan angka atau jadual janji temu seperti yang tersebut, tetapi memikirkan masa sebagai menilai pergerakan perbuatan-perbuatan kita sama ada baik atau buruk.

Pagi ini, saya bersarapan di rumah. Adakah ini baik atau buruk? Tengah hari saya ambil rasuah daripada pemohon projek. Baik atau buruk? Perkataan ‘wa’ pada ‘wal-‘asr’ itu bermakna masa begitu bernilai sehingga ALLAH SWT pun bersumpah dengan masa. Maka, bila sebut sahaja al-‘Asr, ia menuntut kita menilai kerana masa itu bernilai.

Mengapa masa itu bernilai? Kerana hakikat insan berbeza dengan hakikat alam seperti haiwan dan batu. Aristotle juga bertanya tentang hakikat insan. Siapakah aku sebagai insan? Bagi Aristotle, hakikat insan dapat diketahui secara logik dengan membezakan insan dengan sekalian alam. Akhirnya, Aristotle sampai kepada natijah iaitu hakikat insan yang membezakannya dari sekalian alam ialah insan adalah 'rational animal', haiwan yang berfikir.

Falsafah moden, seperti Rene Descartes pula mengatakan bahawa hakikat insan juga adalah berfikir iaitu; “Aku berfikir, maka Aku wujud.”

Ayat kedua Surah al-‘Asr juga mencetus persoalan seperti yang disebut ar-Razi tentang apakah hakikat insan tetapi dikaitkan dengan 'masa' dan 'nilai'. Masa bergerak dan tidak akan kembali. Kalau nilai perbuatan kita buruk, kita akan rugi. Kalau nilai perbuatan kita baik, kita akan untung. Hakikat insan dikaitkan juga dengan perniagaan untung-rugi. Perkataan ‘khusr’ (kerugian) adalah istilah komersial, perniagaan dan di bezakan dengan ‘ribh’ (untung).

Di sini, hakikat insan bukan isu rasional atau tidak rasional, haiwan atau bukan haiwan. Hakikat insan menurut Surah al-‘Asr merujuk kepada keadaannya yang merupakan hasil gabungan tiga konsep iaitu masa, nilai dan untung-rugi. Hakikat insan adalah sama ada dalam keadaan rugi atau untung.

Tetapi ar-Razi mengatakan, “Asal insan adalah ia dalam keadaan rugi”. Hakikat insan bukan dalam kerugian atau keuntungan. Tetapi hakikat insan adalah sememangnya pasti dalam kerugian. Rugi (bukan untung semata-mata, dan bukan pilihan ‘rugi atau untung’) adalah default, mahiyah, dzat kemanusiaan. Keuntungan adalah suatu pengecualian.

Razi berkata bahawa “insan tidak mungkin bebas dari kerugian kerana kerugian adalah kehilangan modal asas perniagaan, dan modal asas perniagaan baginya ialah umurnya.” Insan tetap rugi sama ada dia buat baik atau buruk kerana masa akan menghabiskan umurnya sedikit demi sedikit. Kalau seseorang buat sesuatu yang baik sekalipun, dia tetap dalam kerugian kerana sudah tentu ada perbuatan yang lebih baik dia tak buat atau tak nampak. Adalah rugi dia buat yang baik tetapi tidak buat yang lebih baik. Yang lebih baik itu tiada penghujungnya.

Bagi Aristotle, rasionaliti, dan bagi Surah Al-‘Asr, kerugian, adalah hakikat mutlak insan yang tidak berubah-ubah. Perkataan ‘fii’ (dalam) bermakna manusia umpama tenggelam ke dalam dasar laut, iaitu dalam kerugian dan dikelilingi air atau kerugian atas, bawah, kanan, kiri. Dia kehabisan nafas secara gradual dan akhirnya akan lemas kecuali jika dia beriman, amal baik, saling berpesan dengan insan yang lain tentang kebenaran dan kesabaran. Hanya di akhirat, insan akan rasa keuntungan semata-mata kerana di sana, insan menguasai masa!

0 Komentar untuk " Fikir kritis tentang Surah al-'Asr "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ