PUASA merupakan salah satu ibadah khusus yang dilakukan umat Islam. Atas keikhlasan dan kesabaran menjalani ibadah puasa, menahan lapar dan dahaga, mengawal hawa nafsu serta menjauhi segala larangan dan melakukan segala suruhan dalam agama, ALLAH SWT memberi keistimewaan kepada mereka yang berpuasa dengan memasukkan mereka ke dalam syurga melalui pintu khusus yang bernama Ar-Rayyan.
Sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang dinamakan ‘Ar-Rayyan’, yang hanya dimasuki oleh orang yang berpuasa. Ditanya (oleh pintu tersebut): “Di manakah orang yang berpuasa?” Maka mereka pun masuk melalui pintu tersebut. Setelah semua orang yang berpuasa masuk, pintu itu pun ditutup dan tiada lagi yang masuk melaluinya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Umat Islam diwajibkan berpuasa sebulan dalam setahun iaitu pada Ramadan. Selain itu, ia adalah sunnah Rasulullah SAW untuk berpuasa pada setiap Isnin dan Khamis serta hari-hari tertentu. Seperti dinyatakan dalam artikel yang lepas, kerana manfaat di sebalik berpuasa, ia sebenarnya baik untuk semua ciptaan ALLAH yang bernyawa; bukannya untuk umat Islam sahaja.
Pada Oktober 2016, pakar biologi molekular Jepun, Yoshinori Ohsumi, telah menerima Anugerah Nobel Perubatan (Nobel Prize in Physiology or Medicine) atas penemuan beliau tentang proses pemecahan dan pembaharuan atau pemulihan sel-sel badan yang dikenali sebagai 'autophagy’. Penemuan tentang mechanisms for authophagy ini boleh dimanfaatkan untuk melawan penyakit kanser.
Autophagy berasal daripada perkataan Greek auto (sendiri) dan phagein (memakan) yang membawa maksud “memakan diri sendiri”. Istilah autophagy diperkenalkan oleh Christian de Duve (pemenang anugerah yang sama pada 1974). Proses ini sama dengan satu lagi proses yang lebih dikenali, iaitu 'apoptosis’ yang juga dipanggil proses kematian sel yang diprogramkan (programmed cell death).
Sel-sel dalam badan kita sememangnya telah diprogramkan untuk mempunyai jangka hayat tertentu. Setelah sel-sel ini rosak atau menjadi tua dan tidak berfungsi, ia perlu dibuang daripada badan dan digantikan dengan sel-sel baharu. Jika proses apoptosis ini tidak berlaku, ia juga akan menyebabkan kemungkinan berlakunya kanser.
Bagaimana kanser berlaku? Kanser terjadi sekiranya sel-sel lama tidak mati. Kebiasaannya, apabila sel-sel lama sudah mati, ia akan digantikan dengan sel-sel baharu. Tetapi, jika sel-sel lama tidak mati, sel-sel lama ini akan terus berkembang dan bertambah. Ini akan menghasilkan sel-sel yang tidak normal serta tidak melakukan fungsi asal mereka. Lebih teruk lagi, sel-sel lama ini akan berkembang tanpa henti dan seterusnya mengganggu fungsi sel-sel lain. Perkara ini akan merangsang mutasi sel dan akan memberikan kesan buruk terhadap sistem organ.
Berbalik kepada proses autophagy, ia terjadi apabila perut dalam keadaan kosong atau berpuasa. Ketika berpuasa, otak akan memberikan signal kekurangan makanan dan tubuh akan mencari makanan yang tersimpan di dalam badan. Di sini terjadinya proses autophagy, di mana sel-sel akan memecahkan protein yang tua dan rosak dalam badan. Sel-sel lama dan rosak dimusnahkan dan sel-sel baharu dibina sebagai ganti.
Kekurangan nutrisi adalah pengaktif utama proses autophagy. Apabila kita makan, insulin dalam badan akan meningkat dan ini menyebabkan penurunan glukagon, manakala apabila kita tidak makan (berpuasa), insulin akan menurun dan glukagon akan meningkat. Peningkatan glukagon inilah yang merangsang proses autophagy. Jadi, untuk mengaktifkan proses autophagy, kita perlu berpuasa. Berpuasa juga dapat meningkatkan kadar pertumbuhan hormon dalam badan.
Secara analogi, jika kita ingin mengubahsuai dapur dan ingin meletakkan kabinet baharu, kita perlu membuang kabinet lama terlebih dahulu. Jika kita meletakkan kabinet baharu tanpa membuang yang lama, keadaan akan menjadi serabut dan dapur kita akan kelihatan buruk.
Apa pun, seperti dalam banyak perkara lain, perlu ada keseimbangan. Autophagy yang berlebihan juga boleh memudaratkan. Maka, kaedah puasa yang dianjurkan dalam Islam, iaitu berpuasa dan berbuka (makan) secara berselang-seli, dan dilakukan secara konsisten, merupakan formula terbaik untuk mendapatkan hasil yang optimum daripada kitaran proses semula jadi ini.
0 Komentar untuk " Puasa dan sel kanser "