Agama, watan jadi asas perundangan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Agama, watan jadi asas perundangan



SISTEM perundangan negara adalah antara aspek utama dalam kelangsungan kedaulatan dan kesejahteraan negara. Oleh itu aspirasi penambahbaikan kepada perundangan negara hendaklah sentiasa difikirkan secara bersama. Sistem perundangan negara hendaklah mempunyai hala tuju atau falsafah yang jelas. Saya mencadangkan perundangan mampu 'mencipta sistem perundangan yang berasaskan kepada identiti watan negara, bersandarkan konsep keadilan yang bersifat sejagat, mengangkat ketuhanan, mengutamakan kemoralan, meraikan kepelbagaian, mengeratkan kesepaduan dan bermatlamatkan perpaduan.' Berdasarkan cadangan di atas, pada asasnya, ada lima aspek utama yang perlu dimiliki oleh sistem perundangan Malaysia;

Identiti watan. 

Sistem perundangan negara hendaklah ditunjangi identiti watan, seperti kedudukan agama Islam dan kedudukan raja-raja. Nilai agama dan budaya negara yang sekian lama menyumbang kepada kesejahteraan negara. Perkataan watan itu merujuk kepada perkara tidak asing dan berasal dari tanah dan air Malaysia sendiri. Bersandarkan konsep keadilan sejagat. Konsep keadilan sejagat bermaksud sistem perundangan Malaysia hendaklah menerima konsep keadilan yang tidak mengetepikan mana-mana pihak sehingga keadilan sebenar dapat dinikmati.

Nilai keadilan sejagat

Mengangkat ketuhanan. 

Sistem perundangan Malaysia tidak boleh meninggalkan ketuhanan. Kedudukan agama Islam, sebagai elemen watan hendaklah sentiasa diperakui dalam manifestasi dan aplikasi apa juga perundangan dengan kepercayaan bahawa nilai Islam juga mengandungi nilai keadilan sejagat. Namun, ini tidak bermakna mengetepikan atau menindas agama lain.

Mengutamakan kemoralan. 

Prinsip moral tidak boleh diasingkan daripada sistem perundangan. Nilai moral adalah penentu kepada kelangsungan kestabilan, kesejahteraan masyarakat dan seterusnya negara. Nilai moral ini boleh digandingkan dengan kedudukan agama dan juga keadilan. Nilai moral perlu menyulami semua aspek kehidupan masyarakat, termasuk sistem perundangan negara. Kewujudan undang-undang itu sendiri adalah contoh utama nilai moral itu sendiri. Masyarakat yang tidak mempunyai nilai moral tidak menghormati undang-undang.

Meraikan kepelbagaian, mengeratkan kesepaduan dan bermatlamatkan perpaduan. 

Malaysia, seperti yang kita maklum, mempunyai pelbagai dimensi kepelbagaian. Contoh kepelbagaian yang kita sentiasa dengar ialah dari segi agama, budaya dan etnik. Kini kepelbagaian itu menjadi kepelbagaian super (super diversity) dengan mobiliti masyarakat dunia akibat perkembangan sains dan teknologi. Hasrat mencapai lima perkara di atas tidak sunyi daripada cabaran. Oleh itu, kesiapsiagaan dalam pelbagai perkara perlu diambil tindakan dengan sedar. Antara kesiapsiagaan yang perlu disegerakan ialah, pertama, memanifestasikan dengan menyeluruh Perlembagaan Persekutuan sebagai lambang kemerdekaan negara.

Walaupun mengamalkan sistem warisan British Common Law, sistem perundangan Malaysia perlu membebaskan diri daripada sistem itu dengan membentuk undang-undang lazimnya sendiri. Malaysia perlu merujuk kepada sifat watan dan warisan yang memiliki sifat sejagat. Malaysia juga perlu menggabungkan sifat 'adversarial' dan 'inquisitorial' serta memberikan dominasi kepada sifat tempatan dan watan.

Untuk mencapai hasrat ini, beberapa institusi perundangan perlu memainkan peranan penting. Antara lain, badan perundangan, seperti Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, institusi mahkamah dan tidak kurang penting ialah institusi pendidikan undang-undang. Dalam menggubal undang-undang, pembabitan ahli Dewan Undangan amat penting. Kandungan undang-undang bertulis amat bergantung kepada kebijaksanaan penggubalnya.

Walaupun setiap rang undang-undang dibentang dalam Dewan Undangan diteliti sebaik mungkin oleh pihak pentadbiran, seperti Pejabat Peguam Negara, keputusan terakhir suatu undang-undang adalah tertakluk kepada peranan perwakilan dan Ahli Dewan Undangan. Ahli Dewan Perundangan hendaklah mempunyai ketajaman fikiran, pandang alam mengenai sistem perundangan dengan jelas. Juga sensitif dalam perkembangan semasa dan berpegang kukuh kepada prinsip dan nilai watan, nilai agama serta mempunyai nilai moral dan jatidiri yang teguh.

Beridentiti diri sendiri 

Ahli Dewan Negara pula perlu menggandakan peranan bagi memastikan undang-undang yang diluluskan berjaya memenuhi hasrat membentuk tamadun perundangan Malaysia serta menjelmakan identiti negara yang bersifat sejagat, tetapi mempunyai nilai tersendiri; bersifat global, tetapi beridentiti diri sendiri. Institusi mahkamah memainkan peranan penting dalam melunaskan keadilan dan mentafsir undang-undang. Tafsiran kehakiman hendaklah dikawal dengan prinsip watan yang diperlukan sebagai suatu ketentuan dalam pembinaan negara. Hakim perlu bijaksana menimbang kepentingan dan membolehkan nilai-nilai agama dan watan menjadi dominan.

Pendidikan undang-undang adalah perkara utama yang perlu diberi perhatian. Pendidikan juga yang menentukan kejayaan atau kegagalan sistem perundangan. Pendidik bidang perundangan perlu menguasai pelbagai dimensi yang bersesuaian dengan perkembangan dan tuntutan semasa. Silibus subjek undang-undang hendaklah berteraskan nilai tempatan, mengangkat agama dan mengutamakan kemoralan dengan menggabungkannya dengan perbahasan global. Ini adalah cabaran besar kepada pendidikan undang-undang yang perlu dilaksana oleh institusi dan individu pendidik sendiri. Penulis ialah Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Oleh Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/290780
0 Komentar untuk " Agama, watan jadi asas perundangan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ