Beribadat, beramal tanpa prejudis - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Beribadat, beramal tanpa prejudis



KINI kita tiba di pertengahan Ramadan - bulan yang penuh berkat, bulan untuk ibadah. Selain berpuasa, umat Islam di seluruh dunia melakukan pelbagai lagi ibadah sunat tambahan seperti solat Tarawih, bertadarus dan tak kurang juga yang menghadiri atau menganjurkan sesi ceramah ilmu di surau, masjid ataupun rumah persendirian. Ramai juga yang bersedekah kepada asnaf dan anak yatim. Waktu inilah juga dapat kita lihat kehadiran imam luar yang dijemput khusus oleh pihak masjid untuk mengimamkan solat Tarawih ataupun di rumah persendirian yang menerima kehadiran sheikh dan tetamu istimewa ke rumah mereka.

Malah, ada yang berseloroh, kalau imam kampung yang sengau suaranya... saf tak sampai lima baris pun, tapi bila ada imam Arab, masjid penuh sampai ke luar masjid pun ada. Barangkali ini adalah sebahagian daripada budaya orang kita yang gemar menerima tetamu luar khususnya dari Semenanjung Arab yang mana, Alhamdulillah, kita menjadi tuan rumah yang cukup baik. Cuma ia membuatkan saya terfikir, katakanlah tetamu itu bukanlah dari Madinah, Arab Saudi, Jordan atau Syria, tetapi dari Bangladesh, Pakistan dan Indonesia, adakah layanan yang sama akan kita jamukan? Sememangnya kita dididik untuk berfikir akan kebajikan ummah, bukan sahaja dalam erti kata negara kita sahaja tetapi di seluruh dunia. Keperitan orang Islam di Bosnia dan Palestin turut juga dirasai oleh kita di sini. Malah, kalau dilihat setahun yang lalu, kecoh dengan isu warga Rohingya yang menjadi mangsa kekejaman rejim di Myanmar, dari kutipan derma, protes di hadapan kedutaan hinggalah ke ekspedisi menghantar bantuan kemanusiaan.

Tetapi, yang anehnya tiap-tiap tahun pasti kita akan nampak satu dua berita atau paparan akhbar yang menampilkan rungutan dan protes warga tempatan kebanjiran orang asing khususnya warga Bangladesh di KLCC atau Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) sewaktu cuti hari raya. Gelaran seperti 'Mini Dhaka' akan terpampang di tajuk akhbar dan memaparkan satu dua temu ramah dengan orang tempatan yang memandang jelek akan keadaan ini. Namun, tanpa kita sedari bahawa sebahagian daripada mereka itu adalah etnik Rohingya yang kita ikrar untuk mempertahankan hak dan membantu mereka atas nama persaudaraan Islam. Dari mata kasar saya yang tidaklah seberapa ilmu agama, nampak seolah-olah masyarakat kita mempunyai sedikit prejudis dalam hal ini. Kita terlalu menumpukan usrah, ceramah dan lain-lain ibadah secara zahir sehingga kita sedikit lalai dari sudut kerohanian dan kemanusiaan dalam beribadah.

Bantu saudara seagama 

Kita selesa dengan melihat warga asing yang bertugas di stesen minyak atau di celah pembinaan, namun berasa janggal dan sering lupa untuk melihat mereka ini sebagai saudara seagama. Kita janganlah terlalu selesa dalam ritual di dalam rumah atau surau, berzanji dan berceramah di dalam ruang lingkup keselesaan kita hingga melupakan ciri kemanusiaan dalam beribadah yakni membantu dan membawa kebaikan kepada orang lain. Bukankah Rasulullah SAW ada menyebut: Diriwayatkan dari Jabir berkata, "Orang beriman itu bersikap ramah dan tidak ada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah. Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain" (HR. Thabrani dan Daruquthni).

Saya ingin mengingatkan diri saya dan pembaca sekalian bahawa perubahan dalam mengerjakan ibadah itu bukanlah dari bentuk luaran sahaja, selain daripada pemakaian, tutur cara dan solat, tingkah laku kita dengan sesama manusia juga berperanan utama dalam ibadah harian kita. Kita seringkali disebut dan diingatkan akan kaitan antara ibadah dan dakwah tetapi kalau kita terlalu terperangkap dalam dunia kita semata-mata, bagaimanakah dapat kita menjalankan dakwah secara berkesan?

Baru-baru ini kita ada mendengar bahawa ada golongan tertentu yang menjadikan isu berbuka puasa dengan orang bukan Islam sebagai satu pertikaian. Saya fikir, macam mana kita nak berdakwah kalau kita ditegah bergaul dengan orang lain? Kalau sekadar berdakwah sesama kita orang Islam sahaja, bagaimana dapat kita mengembangkan syiar Islam? Bagaimanakah dapat keindahan Islam itu dipamerkan kalau kita terlalu jumud, rigid dan takut untuk berkongsi dengan orang bukan Islam? Janganlah terlalu selesa di dalam kelompok kita sendiri dalam menjalani ibadah kerana saya risau kita sudah mula bersikap prejudis dan memilih bulu kepada mereka yang berlainan sedikit daripada kita walaupun mereka juga saudara seIslam.

Kalau kita hendak membantu umat Islam di seluruh dunia, sebelum kita berbicara tentang mengangkat senjata di Syria atau berjihad di Palestin, cuba kita tanya diri kita sendiri adakah kita memberi layanan yang sewajarnya kepada umat Islam di negara kita sendiri? Agak aneh untuk kita sibuk-sibuk akan hal ehwal di Syria sedangkan pada masa sama berasa berat atau jelek untuk berbuat baik kepada pekerja di stesen minyak berhampiran rumah kita. Janganlah kita memilih untuk bersangka baik hanya kepada golongan tertentu sahaja tetapi bersikap berbeza kepada golongan yang lain, itu tidak menandakan akhlak seseorang Muslim.

Tidak salah untuk kita meraikan ketibaan sheikh, maulana atau ustaz yang fasih berbahasa Arab dengan membuka pintu rumah kita dan menjamu mereka sebagaimana seharusnya, asalkan kita tidak lupa bahawa yang bekerja di stesen minyak, pasar raya, tapak binaan dan banyak lagi tempat lain juga saudara seislam kita juga. Mereka datang dari beribu batu jauhnya untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga mereka, mereka juga mengucap dua kalimah syahadah, bersolat dan berpuasa seperti kita, beribadahlah dengan berbuat baik sesama manusia dan beribadahlah tanpa prejudis.

Oleh Cik Puan Azrinaz Mazhar Hakim

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/291896
0 Komentar untuk " Beribadat, beramal tanpa prejudis "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ