Amalan wakaf pacu ekonomi umat Islam - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Amalan wakaf pacu ekonomi umat Islam



AMALAN dan budaya berwakaf adalah tradisi zaman berzaman umat Islam di seluruh dunia. Jika diteliti, dari sejarah zaman kerajaan Islam lampau membuktikan terdapat pelbagai bentuk amalan wakaf. Ia meliputi wakaf untuk pengembangan ilmu dan pendidikan, kegiatan sosial, politik dan ketenteraan serta lain-lain. Tentunya banyak manfaat yang diperoleh oleh umat Islam terdahulu hasil daripada aktiviti berwakaf.

Pada zaman kerajaan Uthmaniyyah, dicatatkan pendapatan wakaf pernah mencecah separuh daripada keseluruhan jumlah pendapatan kerajaan pada masa itu. Malah, hampir 30,000 institusi berasaskan wakaf ditubuhkan dan membantu menjamin lebihan belanjawan kerajaan itu.

Zaman kegemilangan wakaf seperti ini nampaknya telah berakhir namun, usaha untuk mengembalikan kegemilangan wakaf terus rancak dilakukan umat Islam di seluruh dunia termasuklah Malaysia. Daripada Abu Hurairah, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka putuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak soleh yang berdoa untuknya." (Riwayat Muslim).

Pahala berterusan 

Berdasarkan hadis ini, antara amalan yang boleh dikategorikan sebagai amalan berwakaf dan hasilnya dapat dinikmati oleh seseorang individu itu walaupun dia sudah meninggal dunia adalah melalui ilmu yang dimilikinya dan dikembangkan serta memberi manfaat kepada orang lain. Aspek manfaat ilmu ini, boleh diperluaskan kepada pelbagai konsep baharu yang mampu memberikan manfaat kepada masyarakat terutama umat Islam. Tidak dapat dinafikan, amalan berwakaf secara tradisional dan yang dilaksanakan masa kini seperti wakaf hartanah kekal dan wakaf tunai memberikan pelbagai impak kepada masyarakat namun, tidak semua golongan profesional muda yang mempunyai kepakaran tertentu di negara ini mampu untuk menyumbang wakaf dalam bentuk tradisional.

Maka, perlunya satu bentuk amalan wakaf baharu menerusi kepakaran yang boleh disumbangkan oleh profesional muda terutamanya yang memiliki kepakaran khusus seperti bidang perubatan, undang-undang, kejuruteraan, keusahawanan, kewangan, perakaunan, ekonomi, teknologi maklumat, sains sosial serta agama. Misalnya, seseorang yang mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam aspek perancangan dan pengurusan harta Islam memberikan khidmat nasihat atau ceramah selama dua jam untuk setiap bulan kepada golongan sasar atau masyarakat awam tanpa mengenakan sebarang yuran atau bayaran untuk khidmat terbabit.

Perancangan harta 

Tentunya dalam jangka masa panjang, masyarakat yang celik kewangan dalam Islam termasuk perancangan dan pengurusan harta individu dapat dilahirkan dalam kalangan masyarakat Islam yang sekali gus mampu mengurangkan kekeliruan dan ketidakfahaman dalam pengurusan dan perancangan harta individu dalam Islam. Lihat sahaja jumlah aset yang terpaksa dibekukan oleh Amanah Raya Berhad mencecah RM60 bilion, milik orang Islam di negara ini yang tidak dituntut dan tidak mampu diselesaikan selepas kematian pemilik harta. Ini pada asalnya berpunca daripada kekurangan pengetahuan dan kemahiran untuk mengurus harta semasa hidup yang membawa kerugian kepada ahli warisnya.

Kesimpulannya, walaupun amalan wakaf kepakaran ini masih belum dilaksanakan di mana-mana negeri di negara ini namun berdasarkan Enakmen Wakaf (Negeri Sembilan) 2005 jelas menggambarkan adanya konsep wakaf kepakaran ini iaitu meliputi memberikan kepakaran dan perkhidmatan yang memberikan manfaat dan keuntungan. Oleh itu, sudah tiba masanya usaha yang lebih utuh digerakkan bagi menjayakan konsep sumbangan wakaf yang baharu melalui sumbangan wakaf kepakaran ini. Dengan kerjasama dan dokongan semua pihak, tidak mustahil konsep wakaf kepakaran ini mampu mengambil tempat sebagai satu alternatif baharu dan membuka ruang untuk berinfaq dan berwakaf di negara ini oleh profesional muda.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/289784
0 Komentar untuk " Amalan wakaf pacu ekonomi umat Islam "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ