ALHAMDULILLAH, kita hampir memasuki fasa terakhir Ramadan. Bulan yang penuh dengan keampunan, rahmat dan juga bulan yang mentarbiahkan kita semua supaya menjadi insan yang bertakwa.
Pada tanggal 17 Ramadan baru-baru ini, kita telah menyambut satu tarikh penting yang penuh bersejarah dalam Islam iaitu hari bagi memperingati turunnya al-Quran atau yang lebih dikenali sebagai Nuzul al-Quran.
Tidak syak lagi, peristiwa penurunan al-Quran tidak boleh hanya dikenang sebagai satu tarikh bersejarah sahaja, namun perlu dihayati sebagai satu sumber perpaduan dan kesatuan ummah. Bahkan peristiwa Nuzul al-Quran perlu menjadi titik tolak penting kepada kelangsungan umat Islam zaman berzaman.
Berdasarkan sejarah, penurunan al-Quran berlaku pada tiga peringkat utama. Pertama, al-Quran disimpan di Luh Mahfuz (Lembaran Terpelihara).
Peringkat kedua, al-Quran diturunkan secara keseluruhan ke Baitul Izzah (Rumah Kemulian) yang berada di langit pertama.
Manakala pada peringkat ketiga, al-Quran diturunkan kepada Rasulullah SAW melalui perantaraan Malaikat Jibrail AS secara berperingkat selama 23 tahun iaitu 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah.
Peristiwa penurunan al-Quran secara berperingkat ini adalah bagi memenuhi falsafah kehidupan manusia yang perlu mengikut proses tabi’i peringkat demi peringkat untuk sampai kepada satu fasa yang lengkap dan sempurna.
Penurunan al-Quran melengkapkan serta memenuhi keperluan kehidupan manusia yang perlu kepada garis panduan dalam menghadapi kehidupan di dunia yang penuh dengan dugaan.
Oleh yang demikian, al-Quran ialah Kalamullah yang menjadi petunjuk dan pedoman. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: "Aku tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, iaitu Kitab ALLAH (al-Quran) dan Sunnah Rasul-Nya."
Persoalannya, apakah kita benar-benar menghayati dan melaksanakan pelbagai suruhan yang terkandung dalam al-Quran? Hakikatnya umat Islam pada hari ini bertelagah dan bermusuhan sehingga berantakan antara satu sama lain. Apakah sebab kepada berlakunya semua masalah ini? Jawapannya adalah kerana umat Islam gagal menterjemahkan apa yang terkandung dalam al–Quran.
Al-Quran dengan jelas dalam pelbagai ayat dan surah menyeru umat Islam supaya bersatu dan mementingkan kesatuan ummah serta meletakkan kepentingan agama melampaui kepentingan peribadi dan puak.
Dalam Surah al-Hujurat ayat 10, ALLAH SWT berfirman yang bermaksud; "Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertaqwalah kepada ALLAH SWT agar kami mendapat rahmat."
Dalam ayat di atas, ALLAH SWT menjelaskan bahawa umat Islam wajib berdamai apabila berlaku perselisihan kerana dengan perdamaian itulah umat Islam dapat mencapai makna takwa dan seterusnya yang paling penting umat Islam akan mendapat rahmat ALLAH SWT.
Bayangkan jika umat Islam terus berantakan sesama sendiri, bagaimana rahmat daripada ALLAH SWT akan turun?
Kesemua permasalahan yang berlaku dalam umat Islam pada hari ini, puncanya akan pergi kepada masalah perpecahan, perselisihan dan akhirnya berantakan sesama sendiri sehingga terjadinya pembunuhan, peperangan dan kekacauan. Akhirnya kesemua penyakit ini menyebabkan kejatuhan kepada institusi tamadun umat Islam itu sendiri.
Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda: "Apabila umatku pada akhir zaman mula mengagungkan dinar dan dirham, maka pada waktu itu akan hilanglah kehebatan Islam pada mereka, apabila mereka gagal menguruskan perbezaan mereka dan lebih cenderung untuk berantakan sesama mereka maka ALLAH SWT akan mengalihkan pandangannya daripada mereka."
Sempena memperingati Nuzul al-Quran ini, marilah kita bermuhasabah diri kita sendiri dan memperingati saudara-saudara kita seagama agar kehidupan di dunia ini akan lebih terang, tenang dan tiada lagi permusuhan, kekacauan serta adu domba yang boleh menjatuhkan tamadun dan kekuatan umat Islam.
Moga ALLAH SWT merahmati kita semua pada bulan Ramadan yang mulia ini.
0 Komentar untuk " Nuzul Quran sumber perpaduan "