Rahmat miliki ikatan hati cintakan Rasulullah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Rahmat miliki ikatan hati cintakan Rasulullah

Kelahiran Nabi Muhammad SAW membawa rahmat dan barakah yang besar kepada alam ini sehinggakan terdapat syair menggambarkan kemuliaan serta kegembiraan menyambut kelahiran Baginda Rasulullah SAW. Antara syair yang berkumandang tatkala kelahiran Baginda yang dirakam oleh umat terdahulu adalah 'bibir zaman ini mengukir senyuman menerima kelahiran seorang insan yang agung'. Ustaz Mohd Nazrul Abdul Nasir menerusi rancangan Tarbiah di radio IKIMfm setiap Jumaat, jam 10.30 pagi berkata, tidak ada perkara yang paling memberi rahmat dan keberkatan kepada alam maya ini selain menerima kelahiran insan agung Nabi Muhammad SAW.

Oleh itu, umat Islam yang berkumpul secara beramai-ramai bertujuan memuji dan mengingati kelahiran Baginda Rasulullah SAW tidak perlu dipertikaikan lagi, kerana perbuatan itu tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Menurut Mohd Nazrul, sungguhpun ada sesetengah pihak melemparkan suara sinis mempertikaikan perbuatan mengingati kelahiran atau kedatangan insan agung ke dunia sebagai perbuatan bidaah atau seumpamanya, itu hanyalah pandangan dangkal dan cetek.

Mengingati kelahiran Rasulullah 

Ajaran Islam sangat luas, cantik dan Islam itu sendiri menganjurkan kepada perkara yang membawa kebaikan. Seorang Mukmin yang ada iman di dada, ada kematangan dan kebaikan dalam dirinya tidak sesekali mempertikaikan perbuatan yang mengajak umat Islam untuk menyambut kelahiran Nabi SAW. Bagi seorang Mukmin yang jiwa dan rohnya dekat dengan Rasulullah SAW, secara tidak langsung menghadirkan perasaannya untuk mengingati kelahiran Baginda dengan melaksanakan amalan baik seperti berhimpun beramai-ramai serta berselawat kepada Baginda Rasulullah SAW.

Menjelaskan lanjut, Mohd Nazrul membuat analogi suami yang mencintai isterinya tidak memerlukan sebarang dalil untuk menjelaskan perasaan cinta terhadap isterinya kerana manusia yang mencintai manusia lain, perasaan cinta itu terbit secara azali tanpa perlu dipaksa atau dicipta perasaan itu. Riwayat mengisahkan mengenai seorang lelaki Bani Israel yang membuat kejahatan sehingga kaumnya membenci kejahatan lelaki itu. Apabila lelaki itu meninggal dunia, jenazahnya tidak diuruskan sebaliknya dilempar ke tempat pembuangan sampah. Nabi Musa diberi wahyu oleh Allah SWT untuk menyempurnakan mayat lelaki itu. Nabi Musa dengan tangannya yang mulia menguruskan sendiri mayat lelaki berkenaan. Selesai menguruskan mayat, Nabi Musa ke rumah keluarga lelaki itu dan bertanya kepada isterinya: "Apakah amalan yang dilakukan oleh lelaki ini sehingga mendapat fadilat demikian iaitu mayatnya mendapat kemuliaan Allah SWT.

 Isteri lelaki itu menjawab: Sebelum tidur, dia meletakkan kitab Taurat di sebelahnya dan membacanya. Dalam pembacaannya apabila tiba pada satu nama, maka dia berhenti dan mencium nama itu. Nama itu adalah Nabi Muhammad SAW." Lelaki itu mempunyai ikatan hati yang sangat kuat dengan Rasulullah SAW, malah hatinya telah ditakluk dengan nama Nabi Muhammad SAW. Justeru, Allah SWT memberi kerahmatan kepada lelaki yang memiliki hati yang kuat terhadap Baginda Rasulullah SAW. Oleh itu, bagi seorang Mukmin yang mencintai Rasulullah SAW, mempunyai kekuatan perasaan yang utuh dan kuat kepada Baginda adalah satu perbuatan yang tidak ditolak oleh Allah SWT. Mempunyai rasa cinta dalam hati bukan sesuatu yang dipaksa kerana ia hadir secara semula jadi.

Mencintai Rasulullah SAW akan mendapat kemuliaan dan kerahmatan daripada Allah SWT. Sungguhpun umat hari ini tidak berpeluang menatap wajah Rasulullah SAW, tetapi perasaan cinta kepada Baginda tetap diterjemahkan dengan pelbagai cara asalkan tidak bercanggah syariat Islam. Jika dilihat riwayat kehidupan Abu Lahab yang mempunyai peluang menatap serta hidup pada zaman Nabi SAW, tetapi kerana tiada iman di dada, Abu Lahab menolak ajaran Nabi Muhammad SAW.

Bebas hamba, kahwinkan anak dengan anak Rasulullah 

Walaupun demikian, dalam satu riwayat menceritakan pada waktu kelahiran Nabi Muhammad SAW, Abu Lahab sangat gembira dengan kehadiran Baginda, sehinggakan membebaskan hambanya bernama Suwaibah kerana terlalu gembira. Bukan itu sahaja, Abu Lahab mengahwinkan anaknya dengan anak Rasulullah SAW.

Lantaran kasih terhadap Baginda, disebut dalam hadis riwayat Bukhari yang diceritakan Ibn Abbas, beliau bermimpi bertemu Abu Lahab dan bertanyakan apakah yang telah Allah SWT lakukan kepadanya di alam kubur. Lalu Abu Lahab menyatakan, pada setiap Isnin Allah SWT telah melepaskan dirinya daripada seksa kubur dan Allah SWT telah mengeluarkan air dari celah jarinya untuk diminum. Ini adalah pemberian rahmat dan pembalasan Allah SWT terhadap satu hari kegembiraan Abu Lahab menyambut kelahiran Nabi SAW ke dunia ini.

Jika hari ini, umat Nabi Muhammad SAW gembira sepanjang waktu apabila mengingati Baginda, apatah lagi pada hari kelahiran Nabi ke dunia ini, betapa besar rahmat dan kebaikan yang Allah SWT kurniakan kepada hamba-Nya. Seseorang Mukmin yang cintakan Nabi Muhammad SAW menzahirkan perasaan kasih dan sayang dengan kebahagiaan serta kesyukuran mengenang kehadiran Baginda ke dunia ini. Malah, seorang Mukmin juga dianjurkan untuk sembunyikan kegelisahan serta kesedihan atas kewafatan Baginda yang jatuh pada hari sama dengan kelahirannya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/110316
0 Komentar untuk " Rahmat miliki ikatan hati cintakan Rasulullah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ