Manfaat nilai estetika, keunikan bangunan lama - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Manfaat nilai estetika, keunikan bangunan lama

Seringkali dalam memikirkan yang baharu kita terlupa akan perkara lepas serta nilai dan elemen yang terkandung di dalamnya. Disebabkan itu, kita menyaksikan banyak bangunan lama di negara ini dan mengandungi nilai seni bina menarik 'terbuang' begitu sahaja bagi memberi laluan kepada pembinaan bangunan baru yang dikatakan lebih canggih.     Banyak contoh yang kita lihat apabila rumah kedai zaman sebelum perang dan bangunan rumah bandar yang ada di tengah bandar dikorbankan untuk digantikan dengan yang baru. Sememangnya jika diperhatikan dalam contoh ini, sesetengah bangunan berkenaan tidak memaparkan seni bina yang cukup canggih, namun nilai yang terkandung di dalamnya serta sejarah, dilaluinya adalah satu kanvas yang cukup menarik untuk diterjemahkan.  

Di Kuala Lumpur misalnya, kita menyaksikan blok kuarters lama di Brickfileds dirobohkan bagi pembinaan baharu, juga bagaimana sebuah bangunan sekolah lama yang cukup terkenal di segi tiga emas Kuala Lumpur sujud menyembah bumi apabila projek pembinaan sebuah kompleks beli-belah mengambil tempat yang bukan saja mengubah pemandangan kawasan berkenaan, malah nilai yang terkandung pada persekitarannya.

Seperti bangunan komersial, seni bina sesebuah kediaman juga mengalami proses perubahan sesuai kemajuan dalam penggunaan bahan serta pemikiran dan cita rasa. Sehubungan itu kita melihat reka bentuk kediaman yang pelbagai setiap dekad selain banyak kediaman di kawasan perumahan sedia ada menjalani pembinaan semula dan pengubahsuaian bagi memberikan rupa bentuk baharu yang segar dan moden atau mewujudkan ruang tambahan bagi keselesaan penghuninya.

Menjalin unsur lama dan baharu adalah antara alternatif dalam memberikan keserasian dan membentuk nilai baharu pada sesebuah kediaman lama. Walaupun ramai arkitek di negara ini semakin menyedari nilai ini yang mana beberapa rumah di kawasan kediaman yang dibangunkan sekitar 1960-an dan 1970-an mendapat sentuhan yang tidak kurang menarik apabila nilai zaman berkenaan digabungkan dengan bahan dan teknologi baharu pembinaan ketika proses ubah suai.

Banyak juga rumah di kawasan sebegini akhirnya menjadi binaan ganjil apabila pemilik baharu hartanah berkenaan yang membuat pengubahasuaian akur dengan kontraktor yang tidak punya cita rasa.

Gabungan unsur lama, baharu 

Dalam menggabungkan unsur ini beberapa projek yang berada dalam senarai akhir pertandingan Don't Move Improve 2016 yang dianjurkan New London Architecture, sebuah badan yang bertanggungjawab terhadap persekitaran pembinaan di kota berkenaan boleh dijadikan contoh. Sebanyak 33 pencalonan bagi pertandingan berkenaan yang memaparkan projek penambahan dan pengubahsuaian rumah terbaik berada dalam senarai itu. Menghubungkan antara yang lama dan baharu, nyata memberi cabaran dan peluang kepada peserta, tambahan pula melakukan pengubahsuaian di kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan pemuliharaan. Namun, cabaran ini menyaksikan penyelesaian yang cukup berdaya cipta dapat dihasilkan.

Walaupun persekitaran dan sentimen pembinaan berbeza antara Malaysia dan England ditambah dengan faktor cuaca, berdasarkan kepada idea dilontarkan arkitek yang terbabit dalam pertandingan ini, banyak yang boleh dipelajari dan difikirkan golongan yang terbabit dalam bidang kreatif ini di negara ini untuk membuahkan satu projek pengubahsuaian dan penambahan kediaman yang bukan sahaja mengekalkan seni bina lama, pada masa sama memberi satu bentuk kediaman yang nampak elegan dan berketrampilan.

Satu yang tidak kurang menarik adalah House of Trace oleh Tsuruta Architects yang mengenengahkan garis seni bina sedia ada untuk menghasilkan gabungan ketara antara elemen lama dengan yang baharu kediaman berkenaan melalui penggunaan bahan kaca dan batu. Mendedahkan warisan dan ketidaksempurnaan yang dimiliki rumah berkenaan, ia memaparkan penggunaan rangkaian bahan yang minimum selain pelan lantai dalaman luas.

Begitu juga dengan Brackenbury House oleh Neil Dusheiko Architects yang memaparkan pembentukan semula yang cukup dramatik kediaman di kawasan yang dikenal pasti sebagai daerah pemuliharaan di barat London untuk sebuah keluarga yang semakin meningkat bilangan anggotanya. Ia memaparkan ruang menonton mudah alih dan bilik mandi dengan siling tembus cahaya.

Arkitek terbabit juga membentuk ruang bawah tanah baharu yang disepadukan dengan siling kaca bagi mewujudkan kesepaduan antara ruang dapur dan ruang tamu dengan ruang dalaman di bahagian bawah berkenaan. Binaan tambahan sebuah rumah teres di Camden oleh Ben Adams Architects juga menarik untuk diperkatakan. Dengan meletakkan ruang dapur di bahagian tengah rumah, proses pengubahasuaian rumah ini memaparkan lantai konkrit, binaan dapur dan tangga yang nampak mengalir lancar antara satu sama lain, menyatukan rumah ini melalui satu bahan binaan yang sama.

Penambahan ini memperlihatkan bagaimana rekaan yang berbentuk minimalis mampu mewujudkan persekitaran kediaman untuk golongan berkeluarga yang mesra dan selesa. Sesebuah kediaman bukan sahaja ruang untuk seseorang itu tinggal tetapi juga boleh menjadi ruang untuk bekerja. Bersandarkan keperluan ini,  Ashton Porter Architects menghasilkan The Cut and Frame House, membentuk ruang bekerja dan untuk tinggal yang baru bagi sebuah rumah separuh berkembar di Enfield milik seorang pengarang dan pakar terapi.

Panel kaca besar menghadap laman 

Reka bentuk dihasilkan memaparkan sebuah rangka kediaman yang besar dan terapung dengan panel kaca yang boleh dialih bagi membentuk ruang bekerja luaran dan dalaman. Panel kaca besar menghadap laman pula membolehkan hubungan dengan kawasan luar untuk aktiviti keluarga diwujudkan dan pada masa sama memberikan ruang privasi dan ketenangan di kediaman itu untuk pemiliknya bekerja  

Juga berada dalam senarai akhir pertandingan berkenaan adalah projek dinamakan sebagai Folds oleh Bureau de Change Architects yang memaparkan bentuk bumbung cukup menarik menyerupai permukaan rata yang dilipat serta The Lantern oleh Fraher Architects yang memaparkan tangga American Black Walnut mengelilingi bangunan berkenaan,  manakala kaca menegak mencipta kesan bercahaya pada waktu malam.

Pertandingan yang kini memasuki edisi keenam, ia adalah usaha mengetengahkan inovasi dalam bidang seni bina, terutama projek penambahan dan pengubahsuaian dari pelbagai sudut kediaman dan bangunan sama ada dari bahagian atas ke ruang dalaman sehinggalah ke halaman.  

Kekal seni bina tempatan 

Melihat kepada kepelbagaian idea yang diketengahkan, ada unsur yang mungkin dapat digunakan pihak yang terbabit dalam industri pembinaan di negara ini untuk diterapkan pada kediaman tempatan sesuai iklim dan persekitaran yang dilingkungi sesebuah rumah itu. Apa yang penting adalah 'semangat' sesebuah rumah itu untuk terus dipertahankan supaya ia terus kekal mewarnai sejarah seni bina tempatan.

Pada masa sama, ia diharap dapat memberikan kesedaran kepada mereka yang bertanggungjawab bahawa dalam mengetengahkan unsur baharu sama ada pemikiran atau bahan binaan, menerapkannya dengan yang lama adalah cubaan yang ada masanya tidak mengecewakan, malah mungkin memberikan hasil sesuatu yang lebih menarik atau nampak lebih bersepadu.

Pada masa sama, pihak berkuasa tempatan boleh menjadikan idea dipaparkan sebagai rujukan dalam memikirkan kaedah meluluskan sesebuah pelan pengubahsuaian rumah di sesebuah kawasan kediaman supaya institusi yang sedia dibentuk di kawasan itu tidak terlalu kacau dengan adanya rumah yang terlalu menonjol dan nampak luar dari kebiasaan.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/110573
0 Komentar untuk " Manfaat nilai estetika, keunikan bangunan lama "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ