Kebaikan teh hijau - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kebaikan teh hijau

KEGILAAN teh hijau susu Thailand kian menular di kalangan masyarakat negara ini. Minuman itu boleh diminum secara sejuk atau panas, sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

Sebenarnya, tidak ramai menyukai teh hijau kerana rasanya pahit tanpa gula.

Dengan adanya trend baharu ini, ramai jatuh hati dengan rasa dan kemanisan teh tersebut.

Walaupun ramai musykil minuman tersebut tidak bagus kepada kesihatan, namun terselindung daripada rasa pahit, manis dan segar itu terdapat pelbagai manfaat.

Salah satunya mencegah strok dan mengurangkan risiko diserang penyakit berkaitan.

Ia juga berkhasiat mencegah sakit gigi kerana gigi berlubang dan mampu membunuh bakteria terkandung dalam mulut.

Selain itu, ia mampu melancarkan peredaran darah dan membuang kolesterol dalam darah bagi mengelakkan jantung tersumbat.

Teh ini mungkin lebih kepada minuman penghilang dahaga, namun tidak ramai mengetahui khasiat dan manfaat teh hijau ini.

Bantu penjagaan kulit

Bagi wanita, tabiat meminum teh hijau harus dijadikan amalan kerana ia mampu melindungi kulit sebagai pelembap  apabila dibancuh dengan air panas.

Pelajar, Siti Munirah Mohammed Pauzi, 24, berkata, amalan itu bagus untuk rawatan kulit terutama luka, gigitan serangga, melecet, mata bengkak dan bekas melecur.

"Caranya amat mudah, kita tekapkan bekas luka dengan beg teh yang telah digunakan selama beberapa minit.

"Tip berguna ini mampu merawat luka kecil atau gigitan serangga daripada merebak lebih teruk," katanya.

Tidak hanya berfungsi untuk penjagaan kulit sahaja, ia juga mengandungi bahan antiseptik semula jadi menghilangkan kegatalan.

Bahkan ia mampu mengekalkan kecergasan minda dan fungsi otak dengan kadar antioksidan tinggi.

Cegah penyakit gigi

Sementara itu, pekerja kerajaan, Seri Ayu Ruhaizad, 24, berkata, teh hijau bagus kerana membantu mencegah penyakit gigi.

"Saya pernah baca kebaikan teh hijau, ia mengandungi anti bakteria mencegah penyakit gingivitis dan periodontal.

"Kedua penyakit ini menyebabkan kerosakan gigi dan masalah mulut berbau.

"Dengan amalan minum air teh hijau, ia dapat membunuh bakteria yang berkumpul dalam mulut sekaligus mencegah kerosakan gigi," katanya.

Seri Ayu berkata, kebaikan teh hijau bukan sahaja mencegah penyakit gigi dan gusi, ia juga mengurangkan risiko keracunan makanan.

Teh hijau membunuh bakteria berbahaya seperti clostridia dan Ecoli.

"Kedua bakteria ini berbahaya untuk manusia dan menyebabkan pelbagai penyakit dalam mulut.

"Sebaiknya mencegah lebih baik daripada merawat, amalan minum teh hijau bagus untuk kesihatan," katanya.

Kurangkan berat badan

Menurut Norzira Syarini Mohammed Pauzi, 29, rasa teh hijau bertepatan dengan cita rasanya.

Dia menggemari teh hijau dicampur dengan susu menjadikan ia lebih segar dan menarik.

"Ramai mengetahui khasiat teh hijau membantu menurunkan berat badan.

"Golongan wanita terutamanya mengamalkan peminuman berkala untuk teh hijau," katanya.

Norzira Syarini berkata, teh hijau dapat mempercepatkan proses pembakaran kalori berbanding minuman biasa.

Katanya, ia juga membantu menghilangkan lemak degil dalam badan dan saluran darah supaya aliran lebih lancar.

"Teh hijau mampu menurunkan paras kolesterol kerana mengandungi kadar antioksidan tinggi.

"Sekiranya kita berada dalam keadaan stres, teh hijau dapat mengurangkan tekanan perasaan dan kembali tenang," katanya.

Trend baharu jadi tarikan

Penjual teh hijau wangi Thailand, Mohd Nasaruddin Ibrahim, 35, berkata, kegilaan terhadap teh itu sangat memberangsangkan sejak ia diperkenalkan kepada umum.

"Pelanggan menyukai rasa dan kewangian teh ini. Jika mereka yang tidak pernah mencuba, saya syorkan agar cuba minuman ini.

"Cara buat mudah dan teh ini perlu dibancuh dengan susu pekat atau sejat bagi menambahkan rasa," katanya.

Menerusi laman Facebooknya, Teh Hijau Wangi Thailand, ramai peminat tegar teh itu menempah serbuk dalam kuantiti banyak.

Katanya, kebiasaan pek 200 gram dijual RM13 hingga RM15, bergantung kepada peniaga tersebut.

Tidak hanya menjual teh jenis itu, terdapat satu lagi teh merah dijual.

"Saya tidak pasti khasiat teh hijau wangi ini, namun teh hijau asli mempunyai khasiat tinggi untuk mereka pentingkan kesihatan.

"Teh jenis ini menarik ramai penggemar kerana baunya berbeza dengan teh biasa, iaitu bau jasmin.

"Manakala rasanya lebih sedap berbanding teh hijau lain," katanya.

0 Komentar untuk " Kebaikan teh hijau "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ