Hati tenang dengan qanaah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Hati tenang dengan qanaah

MENJADI lumrah dalam kehidupan ini, seseorang tidak akan pernah berasa cukup terhadap apa yang diperolehnya dan apa yang telah dikurniakan ALLAH kepadanya, terutama dalam soal rezeki dan harta.

Sabda Rasulullah SAW: “Jika seseorang anak Adam mempunyai dua lembah harta, pasti dia akan mencari lembah ketiga, dan tidak akan memenuhi tembolok seseorang anak Adam kecuali tanah, dan ALLAH menerima taubat sesiapa yang bertaubat”. Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.

Dalam al-Quran juga banyak disebut berkenaan perihal orang-orang yang hanya mengejar dunia semata-mata, sebagaimana firman ALLAH yang bermaksud: “Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda dan sebagainya). Sehingga kamu masuk ke dalam kubur”. Surah at-Takathur, ayat 1-2.

Namun, bukanlah bermaksud untuk menafikan mereka yang mencari harta banyak dengan jalan dan cara dibenarkan oleh syarak dan diredai oleh ALLAH. Ini kerana hakikatnya, harta dan pangkat adalah wasilah atau medium, dan bukannya sebagai tujuan hidup di dunia ini. Dengan kata lain, dunia hanyalah sebagai jambatan untuk menyampaikan kita kepada akhirat atau sebagai ladang yang hasilnya akan dituai di akhirat kelak.

Firman ALLAH dalam Surah al-Qasas, ayat 77: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan ALLAH kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba ALLAH) sebagaimana ALLAH berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”.

Sebab itulah, dalam mencari rezeki dan harta di dunia, apa yang dianjurkan oleh Islam adalah bersikap qanaah tanpa menafikan usaha seseorang. Sifat qanaah adalah sifat hati yang berasa puas dan cukup dengan apa sahaja yang dikurniakan oleh ALLAH walaupun sedikit.

Bahkan sifat qanaah juga merupakan salah satu di antara rukun-rukun takwa yang disebut oleh Saidina Ali RA: “Takwa itu adalah takut kepada (balasan dan azab) ALLAH yang Maha Agung, beramal dengan kitab al-Quran yang diturunkan (kepada Nabi Muhammad SAW), reda (berasa puas dan cukup) dengan apa yang sedikit (yang dikurniakan ALLAH), dan mempersiapkan amalan untuk hari akan dilalui (hari akhirat)”.

Inilah sebenarnya ketenangan jiwa dan hati serta kebahagiaan hakiki seseorang. Apakan tidak? Orang yang kaya sebenarnya adalah orang berasa cukup dengan apa yang ada walaupun sedikit serta sentiasa tidak lupa untuk mensyukuri segala nikmat yang ALLAH kurniakan kepadanya. Manakala orang yang mengejar harta dunia semata-mata adalah orang yang sentiasa berasakan kekurangan dalam hidupnya walaupun dia dikelilingi oleh pelbagai jenis harta benda duniawi.

Hakikat kekayaan itu sebenarnya terletak dalam jiwa sepertimana sabda Rasulullah SAW: “Bukanlah kekayaan itu semata-mata (harta benda) zahir, tetapi hakikat kekayaan itu adalah kekayaan jiwa”. Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.

Justeru, lazimkan diri kita menghitung segala nikmat yang ALLAH kurniakan kepada kita dari memikirkan segala kekurangan yang membelenggu kita. Bertepatan dengan Firman ALLAH dalam Surah an-Nahl ayat 18 yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat ALLAH (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu;  sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Orang-orang yang tidak pernah berasa cukup dan bersyukur dengan apa yang sedikit, dia juga hakikatnya tidak akan pernah berasa cukup dan bersyukur dengan yang banyak, sebagaimana kata-kata perumpamaan Arab:

“Sesiapa yang tidak pernah merasa cukup dengan apa yang sedikit, tidak akan merasa cukup walaupun dengan apa yang banyak”.

Benarlah juga perumpamaan Arab yang menyatakan bahawa sifat qanaah itu adalah perbendaharaan harta yang tidak akan habis: “Sifat qanaah itu adalah perbendaharaan harta yang tidak akan habis”.

Justeru, dalam kehidupan dunia ini, bersikaplah dengan sikap qanaah dan jadilah seperti seorang musafir yang menjadikan dunia sebagai tempat laluannya ke suatu tempat lain yang dituju, dan bukanlah dunia sebagai matlamat, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Jadilah kamu di dunia ini seperti orang dagang, atau orang yang melalui sesuatu jalan”. Hadis sahih riwayat Bukhari.



* Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

0 Komentar untuk " Hati tenang dengan qanaah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ