Bukan masa untuk putus asa - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bukan masa untuk putus asa

SEKIRANYA kedua-dua pembentangan Belanjawan 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijadikan barometer meramalkan keadaan tahun ini, maka, rakyat Malaysia akan kelihatan tinggal di dua dunia yang berbeza.

Ini kerana kedua-dua belanjawan tersebut menggunakan kerangka yang sangat berbeza. Belanjawan BN melukiskan ‘keadaan seperti biasa’, kerajaan mampu menangani segalanya, dan rakyat tidak perlu risau. Manakala Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan melihat dengan serius kemungkinan berlakunya krisis ekonomi dan kewangan, dan langkah-langkah ‘mengelakkan krisis’.

Bagi kebanyakan rakyat biasa, tahun ini, mereka terpaksa berhadapan dengan krisis pendapatan peribadi dan isi rumah.

Lebih ramai belia akan menganggur. Sebahagian daripada graduan universiti atau kolej kemahiran akan, sama ada menganggur, atau mendapat pekerjaan yang tidak setara dengan kelayakannya. Mereka sedih melihat bertambahnya kebanjiran pekerja asing, termasuk 1.5 juta dari Bangladesh. Mereka kesal apabila seorang timbalan menteri menyarankan supaya melakukan dua kerja.

Oleh kerana gaji rendah dan bekerja jauh dari rumah ibu bapa, ada yang tidak mampu menyewa rumah lalu menyewa bilik sahaja. Sekiranya belum berkeluarga, dikira bernasib baik. Kerana sudah ada kes-kes di mana dua atau tiga keluarga terpaksa berkongsi menyewa sebuah rumah.

Mereka tidak faham makna rumah mampu milik. Mereka tidak terfikir pun untuk membuat pinjaman membelinya. Pinjaman PTPTN pun belum langsai. Mereka perlu membuat pinjaman kenderaan untuk pergi bekerja, dan berhadapan dengan kenaikan tol. Mereka terkilan apabila ada menteri mencadangkan bangun awal dan gunakan jalan lain ke tempat kerja.

Ada yang terpaksa makan hanya sekali sehari, atau makan selang sehari, atau berbaris mengambil makanan di tempat-tempat penyediaan makanan untuk gelandangan di Lembah Kelang.

Bagaimana pula dengan mereka yang diberhentikan kerja? Bagaimana dengan perniagaan yang gulung tikar?

Bagaimana dengan ibu bapa yang tidak kecukupan wang untuk menyediakan pakaian, peralatan dan kenderaan sekolah yang sewajarnya untuk anak-anaknya?

Ilustrasi di atas adalah benar. Kita belum mengetahui datanya. Tetapi, ada kalanya angka-angka kurang penting berbanding kes-kes sebenar. Ada kalanya kita terlalu mementingkan angka-angka sehingga lupa bahawa mereka adalah manusia, dan bukannya sekadar angka. Pokoknya, pengangguran, kurang pendapatan, kos hidup yang tinggi dan ketidakmampuan perumahan akan menghantui sebahagian daripada rakyat pada tahun ini.

Skandal 1MDB dan RM2.6 bilion mungkin diselesaikan tahun ini. Tetapi, siapa saja yang akan mempercayai laporan rasminya? Kebanyakan orang telah pun membuat keputusannya sendiri.

Dalam politik, Umno dan Pas mungkin semakin akrab. Manakala Pakatan Harapan bakal menandatangani Perjanjian Pakatan Harapan pada 9 Januari dan melancarkan Dasar-dasar Bersamanya pada pertengahan tahun.

Tetapi, kebanyakan rakyat biasa adalah mereka yang paling tidak politikal tetapi paling terkesan dengan krisis ekonomi dan kewangan. Justeru, perasaan kesal, tertekan, sinikal, marah dan pasrah akan meningkat.

Namun, ini bukan masanya untuk berputus asa. Ini adalah masa untuk kebijaksanaan rakyat. Iaitu tentang mengorganisasikan diri dan kebijaksanaan bersama. Rakyat biasa mampu membangunkan kebijaksanaan rakyat. Ini telah pun berlaku melalui media sosial.

Rakyat biasa bersuara, menulis, berfoto, menerbit dan berkongsi. Mereka menganjurkan pelbagai program dan aktiviti sesama sendiri, termasuk yang kompleks, contohnya, sekolah di rumah untuk anak-anak. Mereka mampu menyelesaikan sendiri masalah-masalah yang dihadapi secara sukarela.

 Kita mungkin jarang mengetahui aktiviti-aktivitinya. Ini kerana mereka tidak mencari publisiti.

2016 mungkin menjadi tahun di mana rakyat biasa mula menentukan sendiri destininya.



#Datuk Saifuddin Abdullah ialah Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan dan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Beliau aktif di Twitter: @saifuddinabd

0 Komentar untuk " Bukan masa untuk putus asa "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ