Mengapa Maktab Tentera Diraja? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Mengapa Maktab Tentera Diraja?

NAMA Maktab Tentera Diraja (MTD) sinonim dengan kecemerlangan, baik dari segi akademik, disiplin, kokurikulum, mahupun sukan. MTD merupakan satu-satunya institusi pendidikan peringkat menengah yang bercorak ketenteraan di Malaysia; sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di bawah pentadbiran Kementerian Pertahanan.

 Ia juga satu-satunya sekolah di Malaysia yang mempunyai gelaran 'Diraja' dengan setiap pelajar dikenali sebagai Putera manakala bekas pelajar pula dipanggil Old Putera atau OP.

Bermula dari 5 hingga 9 Januari 2016, temu duga akhir bagi sesi 2016 akan diadakan di kompleks baharu MTD di Kem Perdana Sungai Besi untuk 600 pelajar cemerlang PT3 dari Semenanjung Malaysia, yang terpilih daripada 5,000 pemohon, bagi merebut 250 tempat sebagai pelajar tingkatan empat di MTD. Untuk pelajar di Malaysia Timur, mereka akan ditemu duga di Kota Kinabalu dan Tawau bagi negeri Sabah, serta Kuching dan Miri di Sarawak.

Jika di MRSM, calon dikehendaki menduduki ujian bertulis sebagai saringan, dan untuk SBP yang lain, hanya berdasarkan keputusan PT3 dan aktiviti kokurikulum. Di MTD, calon-calon turut diuji dengan ujian kecergasan asas iaitu larian 2.4 km, larian ulang alik, lompat jauh, mendagu dan bangkit tubi. Calon juga perlu melepasi syarat minimum 7A dalam PT3, lulus pemeriksaan perubatan, serta tidak rabun warna.

Jika begitu susah untuk mendapat tempat di MTD, mengapa begitu ramai yang masih berminat untuk memasuki sekolah tersebut? Lebih-lebih lagi terdapat cerita kononnya pelajar MTD turut didera secara mental dan fizikal?

Secara umumnya, matlamat utama MTD adalah melahirkan bakal-bakal pemimpin masa hadapan melalui hidup yang berjadual, disiplin yang mantap serta penuh dengan budaya ketenteraan.

Tidak seperti SBP lain yang mungkin terlalu memberi fokus kepada pembelajaran akademik semata-mata, latihan asas ketenteraan serta aktiviti lasak di MTD mampu membentuk pelajar-pelajar menjadi individu yang kental, dengan daya ketahanan mental dan fizikal yang tinggi, serta mentaliti tidak mudah mengalah, yang semuanya merupakan elemen-elemen penting dalam pembentukan pemimpin yang berwibawa dan serba boleh.

Mereka juga diterapkan dengan nilai-nilai kerohanian demi pembentukan sahsiah yang baik. Pelajar-pelajar bukan Islam tidak dihalang untuk mengamalkan kepercayaan mereka. Malah, mereka dihantar dengan trak tentera ke gereja dan kuil Buddha setiap hari Ahad.

Antara keistimewaan sebagai pelajar MTD juga, selain daripada penginapan percuma, sajian 6 kali sehari percuma, segala jenis buku teks dan buku latihan percuma, pakaian seragam dan keperluan asas harian percuma, rawatan kesihatan percuma serta waran perjalanan pergi dan balik kampung percuma, mereka juga mendapat elaun bulanan sebanyak RM100. Perbelanjaan untuk segala aktiviti di MTD juga ditaja oleh kerajaan.

Menurut Komandan MTD, Kolonel Wan Ghazali Wan Din, pelajar di MTD akan terus diterapkan disiplin yang ketat dari aspek ketenteraan dan juga sebagai pelajar, demi memastikan kualiti terus terjamin.

Program baharu yang dikenali sebagai International Baccalaureate telah diperkenalkan pada tahun 2015 untuk membiayai pengajian dan persediaan pelajar cemerlang MTD sebelum melanjutkan pelajaran di luar negara. Selain itu, mereka juga diberi keutamaan melanjutkan pelajaran di Universiti Pertahanan Malaysia selepas tamat tingkatan lima.

Pelajar di MTD terdiri daripada remaja lelaki warganegara Malaysia pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, Portugis, Serani, Orang Asal serta Bumiputera Sabah dan Sarawak. Ini menjadikan sekolah tersebut sebagai satu platform terbaik untuk merapatkan hubungan antara kaum dan seterusnya melahirkan bangsa 1Malaysia.

Selain berjaya mendisiplinkan pelajar-pelajar, latihan di MTD juga berupaya mewujudkan solidariti. Keakraban dalam kalangan pelajar terserlah, di mana walaupun sudah berpuluh-puluh tahun berpisah setelah tamat persekolahan, mereka rata-ratanya masih berhubung rapat melalui kegiatan persatuan bekas Putera atau Old Putera Association (OPA).

Bekas Putera tahun 1965, walaupun selepas 50 tahun meninggalkan MTD, masih mempunyai hubungan yang erat. Mereka sering berjumpa untuk merancang aktiviti-aktiviti bersama, sama ada merapatkan silaturahim atau untuk program kebajikan. Sebagai contoh, mereka turut menyumbang rumah kekal kepada mangsa bah kuning  2014.

Sememangnya MTD mempunyai banyak keunikan yang menjadikannya istimewa. Kepada calon-calon yang menghadiri temu duga untuk pengambilan sesi 2016, semoga berjaya!

0 Komentar untuk " Mengapa Maktab Tentera Diraja? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ