Zamzarina buktikan kejayaan dalam perniagaan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Zamzarina buktikan kejayaan dalam perniagaan

DI sebalik kejayaan Akademi Jahitan Sayang Butik dan Kecantikan, berdiri seorang wanita yang boleh dianggap sebagai ikon usahawan wanita masa kini.

Segalanya bermula dari bawah.

Zamzarina Sarip, 40, tidak menjadikan kekurangan diri yang mendapat keputusan peperiksaan kurang memberangsangkan sebagai alasan tidak mampu berjaya.

Dia yang hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nekad mahu mengubah persepsi orang ramai bahawa golongan sepertinya tidak layak untuk menjadi usahawan berjaya.

Menceritakan kembali detik-detik permulaan berkecimpung dalam bidang jahitan dan kecantikan, Zamzarina berkata, selepas tamat SPM, dia mengambil keputusan untuk berkahwin.

Namun begitu, hasratnya untuk belajar dalam bidang kemahiran tidak pernah padam.

“Selepas berkahwin saya mengambil inisiatif sendiri dengan mengikuti kursus dalam bidang jahitan dan kecantikan melalui kedai-kedai jahit dan kedai kecantikan.

“Saya mengeluarkan duit sendiri mengikuti setiap kelas di sekitar Sungai Petani pada ketika itu kerana saya hanya melihat di sana sahaja bidang ini sedang berkembang.

“Dari satu kedai ke satu kedai saya belajar sehingga saya menjadi anak didik Majlis Amanah Rakyat (Mara) selama lima minggu,” kata anak kelahiran Felda Lembah Klau, Pahang ini.

Katanya, walaupun ketika itu dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak, namun dia tidak pernah menjadikan perkara itu sebagai halangan.

“Selama lima minggu saya mengikuti kursus di bawah Mara itu, saya dihantar belajar di seluruh negeri dan terpaksa meninggalkan keluarga buat sementara.

“Pengorbanan ini terpaksa saya lakukan demi kelangsungan hidup kami pada masa depan. Ahli keluarga pula memberi sokongan penuh kepada saya untuk meneruskan bidang ini sehingga berjaya,” katanya.

Zamzarina berkata, sepanjang mengikuti kursus di bawah Mara, hanya mereka yang benar-benar cekal sahaja mampu untuk meneruskannya.

“Bayangkan daripada ratusan orang yang mengikuti kursus ini hanya tinggal puluhan sahaja yang masih sanggup meneruskannya.

“Saya cekalkan hati kerana ini adalah minat saya dan biarlah saya lakukan sehingga berjaya,” katanya.

Suka-suka beralih serius

Pada peringkat awal, Zamzarina tidak membayangkan dirinya akan menjadi usahawan.

“Mulanya hanya sekadar suka-suka sahaja kerana saya memang jenis yang sukakan kecantikan dan menghias diri.

“Jika kita menempah baju pasti kos agak mahal, begitu juga untuk rawatan kecantikan, jadi saya belajar sendiri kerana mahu menjahit baju sendiri, merias diri sendiri.

“Pada masa itu saya hanya menggunakan mesin jahit tanpa motor untuk menjahit baju ahli keluarga dan menerima tempahan pelanggan,” katanya.

Katanya, ketika mengandung lapan bulan anak keduanya, dia berjaya menyiapkan tempahan langsir untuk satu rumah.

“Dari situ saya mula rasa seronok dan berhasrat untuk menjadikan bidang ini sebagai satu perusahaan dan mula menerima lebih banyak tempahan.

“Rasa keyakinan diri itu sudah ada dan mula mengembangkan sedikit demi sedikit perusahaan ini sehinggalah akhirnya berjaya menyewa kedai di Bandar Universiti pada 2011.

“Pada masa itu saya hanya menyewa kedai bahagian atas. Mulanya memang agak menyakitkan kerana ketika itu untung kami hanya mampu bayar sewa kedai sahaja.

“Ada ketikanya saya merasakan mahu berhenti sahaja namun atas sokongan dan dorongan suami serta ahli keluarga saya meneruskan juga sehinggalah sekarang kami sudah berpindah ke bangunan Mara dan berjaya mengembangkan lagi perniagaan ini,” katanya.

Akademi diiktiraf

Atas usahanya yang gigih, Zamzarina akhirnya berjaya mendapat pengiktirafan pelbagai pihak dalam bidang yang diceburinya itu termasuklah mendapat pentauliahan bagi membolehkan akademi miliknya mengeluarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 1 hingga 3.

“Keutamaan diberikan kepada lepasan SPM yang kurang cemerlang dalam pelajaran namun berminat dalam bidang kemahiran ini.

“Kita juga mendapat pelajar daripada Felcra Training and Consultancy (FTC) memandangkan Felcra banyak membantu kami terutamanya sejak awal penubuhan akademi ini.

“Kursus untuk orang awam, agensi atau pihak-pihak tertentu juga turut diadakan mengikut permintaan masing-masing.

“Pada tahun hadapan juga kami menjadi panel penyedia latihan untuk bakal pesara tentera kerana kami sudah membuat permohonan dengan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (Perhebat) tentang perkara ini,” katanya yang turut menjadi panel penilai bagi kelulusan sijil SKM.

Katanya, akademi itu juga pernah tercalon untuk pertandingan Role Business Challenge menjadi wakil Perak.

“Kami juga pernah mendapat anugerah Belia Negara bagi kategori usahawan, anugerah Ikon Usahawanita Perak dan pelbagai lagi.

“Anugerah-anugerah ini menjadi pendorong semangat untuk kita meneruskan usaha dalam bidang ini bagi membantu orang lain untuk berjaya,” katanya.

Harapan masa depan

Zamzarina berharap supaya akademinya itu akan lebih dikenali pada masa depan sebagai satu tempat yang boleh melahirkan bakal usahawan berjaya.

“Jangan ingat mereka yang gagal dalam pelajaran akan gagal selama-lamanya kerana mereka ini sebenarnya boleh berjaya jika mendapat laluan yang betul dalam bidang diminati.

“Mereka boleh bermula di rumah dahulu dengan modal yang kecil dan akhirnya diiringi usaha tanpa jemu pasti seseorang itu boleh berjaya hingga peringkat lebih tinggi,” katanya.

0 Komentar untuk " Zamzarina buktikan kejayaan dalam perniagaan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ