*UMNO memperlihatkan sikap terbuka dengan mengajak seteru lamanya Pas bersatu dan bekerjasama. Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan hasrat ini pada PAU minggu lalu.
Dua hari dulu Najib yang juga Perdana Menteri sekali lagi menyebut perkara tersebut sambil bersalaman dengan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada majlis Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015, di KL.
Kata Najib, seperti yang dilaporkan media, perpaduan Umno-Pas adalah perlu supaya negara tidak berpecah-belah dan tidak mengalami nasib seperti di negara-negara Arab. Tegas Najib: “Marilah kita berpegang kepada tali ALLAH, dan bersatu...”
Bagi sesetengah orang, kedengaran dan nampak betul ketulusan Najib.
*TETAPI bagi sesetengah kalangan dalam Pas pula mereka tidak nampak ketelusan, sebaliknya yang lebih kelihatan ialah ketakutan pemimpin Umno itu. Ada yang berkata Umno kini dalam ketakutan akibat dilanda krisis keyakinan.
Umum melihat PAU yang baru selesai, tidak menampakkan sesuatu yang luar biasa. Semua masih seperti biasa. Dalam kalangan Umno sendiri masih ada syak wasangka, masih ada penentangan sama ada secara terang atau tersembunyi.
Dalam keadaan kucar-kacir dan ketakutan, parti terbesar Melayu itu kini mencari rakan baharu. Maka parti Islam yang selama ini dianggap musuh ketat itu hendak dipujuk dan dijadikan kawan.
Najib mungkin ikhlas untuk bersatu. Tetapi adakah seluruh orang Umno juga mahu bersatu dengan Pas? Dan, apakah seluruh orang Pas pun bersetuju untuk bekerjasama?
*BELUM apa-apa sudah kedengaran suara-suara negatif daripada pemimpin Pas. Kata Ketua Dewan Ulama, Datuk Dr Mahfodz Mohamed: “Jika mahu bersama-sama (gabung) dengan Pas, maka mereka (Umno) perlu ubah dasar agar semuanya ke arah Islam... jadi baru senang.”
Katanya, Pas tiada sebarang halangan untuk bertemu Umno malah terbuka untuk berbincang apa jua hal berkaitan perpaduan dan pembangunan ummah dan Islam sendiri.
“Tetapi untuk ke arah itu (bergabung) kena tengoklah... namun begitu, Pas tidak menolak kerjasama dalam hal-hal lain yang berkaitan dengan Islam,” tambah beliau.
Pendek kata, bukan mudah untuk bergabung, mesti ada peraturan, mesti ada syarat.
Bersediakah Umno menerima syarat Pas?
*DARI Negeri Jelapang Padi, ada sinis yang lebih tajam terhadap Najib. Seperti yang dilaporkan media, Pas Kedah menyifatkan tindakan Umno yang menghulurkan tangan untuk berbaik itu umpama meminta nyawa.
Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata: “Najib bagaikan meminta nyawa pada masa Umno sedang menghadapi sakaratul maut...”
Katanya lagi: “Isu-isu panas dalam Umno secara tidak langsung menjadikan parti itu kelihatan benar-benar sedang nazak dan kelemasan.”
Biasanya orang kita ketika dalam keadaan nazak, akan diajar mengucap dan banyak menyebut ALLAH...
*PEMUDA Pas pula menolak dakwaan parti itu akan menyertai BN seperti yang kecoh diperkatakan sejak Najib menghulurkan tali silaturahim ketika berucap pada PAU.
Naib Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khiruddin berkata, Pas mahu Umno terlebih dulu menukar dasarnya dan kembali kepada Islam.
“Kita hanya akan bekerjasama untuk orang yang meletakkan Islam sebagai yang tertinggi. Itu dasar Pas dan kami konsisten dari dulu hingga kini,” kata beliau.
Sementara Najib dilihat ikhlas dan beria-ia ingin bergabung dengan Pas, ramai pemimpin Pas setakat ini tidak menunjukkan minat sebenar. Hanya satu pihak yang hangat berkobar-kobar, sementara pihak yang satu lagi dingin semacam.
*AKHIR kalam, perihal kerjasama Umno-Pas bukanlah perkara baharu. Sejak zaman Tun M lagi telah sering kedengaran cakap-cakap mengenai perkara ini. Biasanya cakap-cakap dan cadangan seperti itu hanya hangat sekejap, kemudian dingin semula.
Kita sudah lihat sebelum ini sebarang usaha untuk berdamai, ada sahaja syarat yang ditetapkan kedua pihak. Akhirnya tidak jadi kerjasama sebab kedua pihak tidak sanggup menerima syarat.
Lagi pun jika ada cadangan damai, Umno akan kata Pas tidak ikhlas. Pas pun akan kata Umno tidak ikhlas. Agaknya memang betul sama-sama tidak ikhlas. Sebab itu sudah banyak kali mereka cakap hendak kerjasama dan gabung, tetapi sampai sekarang seperti kata orang Tanjung: “Pi mai, pi mai, dok tang tu. Habuk pun tarak".
TOK PERAK

0 Komentar untuk " Pi mai, pi mai, dok tang tu! "