Lawan jadi kawan dalam politik - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Lawan jadi kawan dalam politik

KUANTAN ialah kawasan Parlimen saya suatu masa dulu tetapi apabila berlaku persempadanan semula, ia menjadi kawasan Kuantan dan Indera Mahkota - dengan campur-tolak sana sedikit, sini sedikit.

Di dalamnya terdapat tiga kawasan Dun. Sejak dua PRU lepas, kedua-dua kawasan Parlimen itu dimenangi PKR, sedangkan kawasan Dun Beserah, kampung saya, dimenangi Pas.

Di tempat lain di Pahang, kawasan Parlimen Temerloh yang pernah diwakili Tan Sri Sabaruddin, kini berada dalam tangan Pas. Sesiapa saja tidak salah jika membuat kesimpulan bahawa Pas semakin kuat di Pahang.

Untuk sekian lama, Kuantan dan Temerloh adalah kubu kuat Umno. Begitu juga Beserah. Kini sudah terdapat inisiatif dari Umno untuk berbaik, malah berada dalam sebuah perahu yang sama, dengan Pas. Tidak kurang daripada Presiden Umno sendiri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Perdana Menteri, menyuarakannya.

Sudah lebih dari sekali beliau menguar-uarkannya, maka sambutan daripada Pas agak kurang selantang Umno, malah setiap kali berjawab, jawapannya disusuli dengan ungkapan berawas-awas, diiringi pula dengan terma dan syarat.

Di Eropah, pembentukan kerajaan campuran adalah satu norma. Britain atau UK sendiri, yang terkenal sebagai raja sistem berparlimen, kerap kali mempunyai kerajaan campuran, termasuk kerajaan yang ada sekarang.

Henry Kissinger, pemikir politik, mantan profesor Harvard University dan Setiausaha Negara AS, pernah berkata bahawa semua kerajaan negara Eropah selepas Perang Dunia Kedua tidak ‘legitimate’ (atau tidak sah) memandangkan tidak ada parti secara bersendiri mendapat undi lebih 50 peratus. Itulah sebabnya kerajaan campuran ditubuhkan.

Di sini, selepas BN-Umno tidak mendapat 50 peratus jumlah undi pada PRU lepas - walaupun jumlah kerusi lebih 50 peratus - namun kemungkinan ia akan bertambah buruk semakin kelihatan mahu menjadi realiti.

Tidak ada orang lain yang lebih maklum tentang perkara ini daripada Perdana Menteri sendiri.

Dalam PRU 1999, beliau menang tipis kawasan Pekan dengan majoriti lebih kurang 200 undi. Justeru usaha gigih politik dilakukan selepas itu melalui strategi gerrymandering, iaitu persempadanan semula, dengan mengambil kira bilangan pengundi-pengundi yang pro dan kontra.

Selaras dengan itu, menjadi tanggungjawab beliau kini untuk memastikan defisit 50 peratus undi itu bukan saja dapat disendalkan di situ, malah ditolak semula dengan kegigihan yang sama ke tahap tidak kurang 66.6 peratus, atau dua-pertiga.

Suatu ketika pejuang-pejuang kemerdekaan kita membenci British sebagai penjajah, tetapi kini, sesudah keladak menjadi jernih, tidak salah untuk kita mengambil sehalaman pengalaman ‘hodoh’nya untuk mencapai tujuan kita yang ‘cantik’.

Sesuai juga dengan resmi bekas penjajah nombor satu dunia itu, kita juga harus mengambil iktibar teladan yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin besarnya, antaranya Winston Churchill dan Chamberlain, yang sanggup meletak jawatan, menyahkan kuasa, apabila kehadiran mereka dalam kerajaan dianggap mengganggu keyakinan parti dan rakyat.

Apabila parti dan rakyat berubah fikiran bahawa pendiriannya dulu yang dianggap salah, kini terbukti betul, Churchill dijadikan Perdana Menteri dan memenangi Perang Dunia Kedua lima tahun kemudian.

Dalam perkara ini, Tun Dr Mahathir seolah-olah berkongsi satu sentimen besar kepimpinan politik British waktu itu: apa guna menjadi jaguh parti kalau kandas menubuhkan kerajaan.

Berbalik kepada Umno dengan Pas. Selepas mantan  PM DS Abdullah Badawi makan semeja dengan Datuk Nik Aziz, MB Kelantan waktu itu, bersama Sultan Terengganu, uar-uar Umno-Pas seperti sekarang menerawang di udara. Namun penerawangan itu pergi serancak ia datang. Khabar beritanya pupus begitu saja di muka akhbar dan di skrin TV.

Ada seorang kawan rapat saya, Allahyarham Syed Abdul Rahman Al-Hamid, rodong rapat DS Haji Abdul Hadi Awang, Presiden Pas, mengesyorkan saya menjadi perunding secara rahsia bagi pihak Umno.

Lebih berkesan dibuat secara tak formal, katanya. Beliau pernah menjadi ketua cawangan Umno di Kuantan, tetapi masuk Pas selepas saya habis tempoh di Parlimen.

Saya membayangkan beliau boleh sok-sek dengan DS Haji Hadi dan saya boleh sok-sek dengan bos-bos Umno. Lalu saya berhubung dengan kawan rapat saya, sorang menteri dan pemimpin kanan Umno (kini lebih kanan).

Meskipun reaksi pertama agak menggalakkan, namun kesenyapan yang lama mengikutinya tanpa hujung bererti inisiatif baik itu berlalu tanpa ketentuannya. Allahyarham Syed Rahman meninggal beberapa bulan sebelum PRU 2013.

Parti politik laksana manusia. Untuk bertaulan, ‘kimianya harus cocok dulu,’ kata orang Indonesia.                            

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat

0 Komentar untuk " Lawan jadi kawan dalam politik "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ