Liya cabar diri buka bengkel lori - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Liya cabar diri buka bengkel lori

LAZIMNYA, bengkel sinonim dengan kaum Adam dan jarang sekali perniagaan itu diceburi golongan wanita, kecuali kes-kes terpencil.

Berlainan pula dengan Siti Nurliyah Mohamed Salleh, memilih membuka bengkel lori sendiri di Seksyen 26, Shah Alam.

Siti Nurliyah atau lebih mesra disapa Liya, memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Perniagaan Tani) Universiti Putra Malaysia (UPM).

Di pernah mencuba pelbagai jenis pekerjaan seperti pembantu jualan, operator, pembantu klinik dan terlibat dengan perniagaan pemasaran bertingkat (MLM), sebelum memilih perniagaan bengkel.

Segalanya bermula apabila Liya turut serta dalam pembidaan tender bagi sebuah syarikat lori dari Jepun, sebelum dilantik menyelenggarakan lori kepunyaan syarikat itu.

Berbekalkan pengalaman selama setahun setengah sebagai kerani di sebuah bengkel sebelum ini, Liya membuka bengkel lorinya sendiri menerusi syarikat AA Auto Workshop Enterprise pada 1 Februari 2012.

"Walaupun bekerja sebagai kerani, namun saya arif dengan semua selok-belok perniagaan bengkel lori kerana banyak lakukan kerja seperti membeli alat ganti dan lori.

"Disebabkan itu, saya nekad berhenti kerja, kemudian membuka bengkel sendiri dan yakin dengan kemampuan sendiri," katanya.

Mula tanpa modal

Memulakan perniagaan tersebut tanpa sebarang modal, Liya bijak mengatur strategi dengan membuat kredit daripada pembekal.

"Memang agak segan meminta kredit daripada pembekal, tetapi saya terpaksa berbuat demikian," katanya.

Walaupun gusar, dia tetap memberanikan diri dan berterus terang dengan pembekal bagi pembelian secara kredit sebanyak RM5,000.

Katanya, bersyukur segala urusan dipermudahkan tanpa sebarang masalah timbul.

"Alhamdulillah, disebabkan pembekal itu sudah mengenali saya, urusan menjadi lancar.

"Lagipun, mereka yakin dengan kemampuan saya kerana pengalaman menerima kontrak selenggara lori daripada syarikat sebelum ini," katanya.

Demi perniagaannya, Liya  tidak berani menjanjikan gaji kepada pekerjanya kerana tidak mampu.

Namun, dia tidak menyangka dalam tempoh tiga bulan segala pembayaran dapat dilangsaikan selepas mendapat pembayaran daripada pelanggannya.

"Saya bersyukur mampu bayar gaji pekerja seperti dijanjikan bahkan mereka tidak perlu menunggu tempoh tiga bulan sebaliknya gaji dibayar pada bulan kedua bengkel beroperasi," katanya.

Terpaksa hutang ah long

Ibarat pepatah, langit tidak selalunya cerah, sekali lagi perniagaan Liya diuji dengan masalah kekurangan modal.

Memasuki bulan ketiga, dia tidak dapat membeli alat ganti lori kerana peralatan tersebut perlu dibeli secara tunai.

Akibat terdesak dengan situasi tersebut, Liya akhirnya terpaksa meminjam sebanyak RM3,000 daripada ah long.

"Semuanya demi keadaan terdesak untuk perniagaannya beroperasi seperti biasa.

"Pinjaman ini dilakukan setelah memikirkan tidak mahu membebani ahli keluarga.

"Saya pernah meminjam wang mereka sebelum ini ketika menjalankan perniagaan MLM dulu dan segan masih belum habis bayar," katanya.

Bermula dari situ, dia tidak pernah culas membayar sebanyak RM150 kepada ah long dalam tempoh sebulan.

"Ada sekali, saya tiada wang membayar duit itu sehingga terpaksa meminta tunda bayaran keesokan harinya.

"Esoknya, saya terpaksa meminjam wang rakan untuk langsaikan hutang," katanya.

Sepanjang tempoh tersebut, dia hidup dalam kerisauan ada kalanya seolah diperhatikan setiap gerak-gerinya.

Namun segalanya sudah berlalu, Liya kini mampu menarik nafas lega kerana syarikatnya kian maju.

Hasil kekentalan jiwa, Liya berjaya meluaskan perniagaannya sehingga mempunyai dua cawangan iaitu Seksyen 26, Shah Alam dan Subang Jaya.

Bengkel tersebut mengendalikan penyelenggaraan lori dari lima buah syarikat korporat termasuk Jepun dan Korea, selain pelanggan persendirian.

Malah nama AA Auto Workshop kini ditukar kepada Legacy AA Auto Workshop Sdn Bhd dengan jenama, Laawri Workshop dan bakal berpindah ke Seksyen 33, Shah Alam, tahun depan.

0 Komentar untuk " Liya cabar diri buka bengkel lori "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ