Kek brownies sedap, menyelerakan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kek brownies sedap, menyelerakan

KEK brownies bukanlah suatu yang baru di pasaran, namun sejak awal tahun ini, ia dilihat semakin mendapat permintaan yang tinggi.

Malah, ia juga kerap menjadi pilihan bakal pengantin dan ibu bapa sebagai kek perkahwinan atau hari jadi.

Mungkin disebabkan bahan yang digunakan adalah berasaskan coklat, ia menjadi pilihan ramai.

Makanan kegemaran

Bagi pelajar, Nazira Che Don, dia sangat menyukai kek coklat dan apabila mendengar  orang bercakap mengenai kek coklat, pasti dia akan mencubanya.

"Pada 2011, ketika saya masih belajar di tingkatan empat, ada sebuah kedai bakeri baru buka berdekatan sekolah. Ramai kawan saya cakap kek di kedai itu sedap.

"Bermula dari situ, saya sering beli kek brownies sebab rasanya yang enak dan tidak muak. Saya selalu beli di kedai bakeri yang sama sehingga hari ini kerana harga mampu milik. Selalunya saya akan beli dalam saiz kecil sahaja iaitu sekitar RM5," katanya.

Seorang lagi pelajar, Norfatin Amira A Hassan berkata, sebagai penggemar coklat, kek brownies sudah pasti menjadi antara makanan kegemarannya disebabkan coklat merupakan bahan utamanya.

"Saya mula mengenali kek ini sejak Disember 2013 lagi selepas diperkenalkan oleh rakan sekelas. Bila sudah merasainya keenakan kek itu, setiap bulan saya akan membelinya di kedai.

"Biasanya saya akan beli untuk makan sendiri dan selalu membelanjakan antara RM23 hingga RM30 untuk kek itu," katanya.

Brownies makanan kesukaan keluarga

Kakitangan awam, Syarifah Hanum Muah berkata, dia mula mengenali kek brownies melalui laman sosial Facebook apabila melihat kek itu dijual secara meluas di pasaran.

“Selepas habis berpantang anak ketiga pada Ogos lalu, saya mula membeli kek brownies. Pada mulanya, saya beli kek itu untuk makan sendiri bersama dengan anak-anak dan suami.

“Namun, disebabkan rasanya yang sedap dan tidak muak, saya mengulang membelinya. Tambahan pula, anak-anak dan suami saya suka makan kek ini, jadi saya kerap beli,” katanya.

Selain itu, Syarifah Hanum juga kerap membeli kek itu untuk jamuan di tempat kerjanya dan pernah menjamu tetamunya ketika menyambut hari lahir anak sulungnya.

“Biasanya, kalau ada duit lebih, saya akan beli kek brownies yang paling besar dengan harga RM55. Paling tidak pun, saya akan beli kek brownies dalam bentuk pek percubaan jika teringin makan kek ini,” katanya.

Permintaan tinggi

Peniaga kek brownies, Nora Azwin Ibrahim berkata, kek itu sudah lama di pasaran, namun permintaannya semakin meningkat pada tahun ini disebabkan ramai peniaga online mempromosikannya dalam pelbagai 'topping' dan rupa yang menarik.

Nora Azwin mula menjualnya selepas melihat ramai peniaga lain mampu berniaga berkotak-kotak kek brownies dalam sehari.

"Sebelum jual, saya mengikuti kelas brownies di sekitar Kuala Lumpur untuk menghasilkan kek yang sedap.

"Saya mula berniaga kek brownies sepenuh masa secara online dari rumah sahaja pada Ramadan lalu dengan mengambil tempahan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur," katanya.

Pada bulan pertama perniagaannya, Nora Azwin hanya menerima tempahan 10 kotak seminggu dan ia meningkat kepada lebih 50 kotak bagi saiz lapan inci dalam tempoh seminggu pada bulan berikutnya.

"Permintaan lebih tinggi pada hari cuti umum dan cuti hujung minggu. Saya hanya menjual satu jenis brownies coklat yang menggunakan lima 'topping' berlainan iaitu kacang badam, keju, Oreo, coklat leleh dan campuran yang bermula pada harga RM35 hingga RM45 bagi saiz kek 8x8 inci.

"Pembelian sebanyak 15 kotak ke atas akan dapat diskaun RM5 bagi setiap kotak. Selain itu, saya juga menerima tempahan untuk dijadikan sebagai cenderahati," katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga kek brownies, Shazreena Samirin berkata, dia mula menjual kek itu pada April lalu secara separuh masa.

Shazreena yang juga Pengurus Aireen Bakery berkata, tempahan paling banyak diterimanya adalah pada bulan puasa yang mencecah sehingga 16 biji sehari.

Shazreen menjual kek brownies pada harga bermula RM7 hingga RM55 mengikut saiz.

"Saya juga menerima tempahan kek brownies untuk majlis hari jadi, pertunangan dan perkahwinan," katanya.

0 Komentar untuk " Kek brownies sedap, menyelerakan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ