Fatwa kata vape haram, tetapi... - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Fatwa kata vape haram, tetapi...

* HARAM! Demikian Majlis Fatwa Kebangsaan membuat keputusan mengenai penggunaan rokok elektronik @ vape.

Pengerusi Majlis, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin memberitahu keputusan itu dibuat setelah mengambil kira semua aspek termasuk syariah, perubatan dan saintifik serta unsur pembaziran dan budaya tidak sihat.

Tambah beliau, keputusan juga selari dengan pendapat di beberapa negara Islam lain termasuk Bahrain, Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu, malah beberapa negara bukan Islam juga turut mengharamkan vape.

Lalu Abdul Shukor pun mengesyorkan negeri-negeri mengikuti keputusan yang dibuat Majlis Fatwa Kebangsaan itu. Satu syor yang baik dan amat munasabah. Tetapi...

*APA yang baik dan munasabah, tidak semestinya perlu dipatuhi. Hanya beberapa jam setelah Majlis Fatwa membuat keputusan, Kementerian Kesihatan memberitahu tidak bercadang untuk mengharamkan vape.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata kerajaan hanya akan mengawal penjualan vape di bawah Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil tembakau (Pindaan) 2011.

Fatwa kata haram, tetapi kerajaan kata tidak. Samalah macam fatwa mengenai rokok yang sesetengah negeri kata haram, tetapi kerajaan kata tidak. Ini betul-betul kes ‘halal dalam haram’.

*SETAKAT ini hanya dua negeri yang sudah sah mengharamkan penjualan dan penggunaan vape, iaitu Johor dan Kelantan. Mulai 1 Januari 2016 tindakan akan diambil ke atas sesiapa sahaja yang menghisap dan menjual vape di dua negeri berkenaan.

Pengusaha vape di dua negeri tersebut sedang amat gelisah sebab terpaksa tutup kedai dalam masa seminggu ini, atau menghadapi kemungkinan tindakan drastik daripada pihak berkuasa.

Tutup kedai bunyinya mudah. Tetapi yang susahnya ialah apa hendak dibuat ke atas peralatan dan bahan vape yang nilainya RM beratus ribu, malah mungkin RM juta-juta?

Dan, apa jadi dengan pengusaha – kebanyakannya Melayu – yang meminjam bank untuk memulakan perniagaan vape? Bisnes boleh tutup, tetapi kalau tidak bayar hutang mereka akan diburu oleh bank.

*SELAIN Kelantan dan Johor yang bertegas mengharamkan vape, Kedah dan Perak juga sudah awal-awal melarang vape.

Dalam pada itu, Negeri Hang Tuah Melaka Bersejarah masih meluluskan permit penjualan vape, sementara negeri-negeri lain masih dalam status tunggu dan lihat apa yang akan diputuskan oleh Putrajaya.

Walaupun telah difatwakan haram, penggunaan dan penjualan vape sudah begitu meluas dan di luar kawalan pihak berkuasa. Sepatutnya sejak awal-awal dulu kerajaan bertegas mengharamkan vape.

Dulu masa mula-mula vape diperkenalkan, semua macam buat ‘dhek’ walaupun ada sesetengah pihak menyatakan tentangan. Macam api, kecil jadi kawan, bila besar jadi lawan.

Bila sudah merebak seperti sekarang, dan menjana bisnes RM juta-juta, hendak bertindak pun jadi serba salah. Malang sekali, kita selalu bertindak hanya setelah keadaan menjadi parah. Sebab itu tindakan kita selalu tidak berkesan.

*MAKA berkata Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad: “Kita kena faham dan hormat kepada keputusan yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.”

Kata beliau, seperti yang dilaporkan media, masyarakat perlu sedar, apa sahaja keputusan yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa adalah untuk kebaikan semua selain mengutamakan agama Islam sebagai tunjang utama.

“Sama juga seperti kita hormat keputusan pengharaman judi, minum arak dan makan khinzir bagi orang Islam,” tegas beliau.

Maka, apa hukum orang Islam yang tidak mematuhi Majlis Fatwa? Dan, apa komen para agamawan dalam hal ini?

*AKHIR kalam, saya setuju dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa insiden pergaduhan di Kompleks Kota Raya di ibu negara baru-baru ini, bukan isu perkauman. “Ini isu peribadi antara peniaga dan pembeli,” kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu.

Ada tuduhan peniaga menipu pembeli. Kata Ismail: “Orang kena tipu ini dia tak kira siapa yang tipu, Melayu, Cina atau India. Orang yang ditipu akan tetap rasa marah.” Cuma, pada pengamatan saya, Melayu yang ditipu sesama Melayu biasanya akan dimaafkan, walaupun penipuan itu jauh lebih besar dari nilai telefon bimbit yang RM10,000 itu. Demikianlah Melayu!

- TOK PERAK

0 Komentar untuk " Fatwa kata vape haram, tetapi... "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ