SEBAGAI penutup cetusan Oh Bahasaku! bagi tahun 2015, marilah kita tinjau kedudukan bahasa Melayu. Semenjak sekian lama, bahasa Melayu sudah gemilang. Bahasa Melayu digunakan dalam urusan perdagangan di Nusantara.
Pada abad ke-16, pegawai berbangsa Belanda, Jan Huyghen Van Linschotten menyatakan bahawa bahasa Melayu sangat harum, paling dihormati antara bahasa-bahasa negeri timur. Menurutnya, orang yang tidak tahu bahasa Melayu dapatlah dibandingkan dengan orang yang tidak tahu bahasa Perancis di negara Belanda pada zaman itu.
Ketika peringkat awal Inggeris menguasai pentadbiran di tanah air kita, bahasa Melayu digunakan untuk urusan rasmi di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Pegawai-pegawai Inggeris yang bertugas di negeri-negeri Melayu dikehendaki mempelajari dan lulus peperiksaan bahasa Melayu sebelum disahkan jawatan. Kesannya, banyak pegawai tinggi Inggeris menguasai bahasa Melayu dengan baik, antaranya R.O. Winstedt, R.J. Wilkinson, W. Marsden, W.G. Shellabear, J. Crawfurd, C.C. Brown, dan W.E. Maxwell.
Setelah negara mendapat kemerdekaan, bahasa Melayu diletakkan di puncak melalui penggubalan beberapa akta. Pertamanya, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan, seperti yang dimaktubkan melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia: “(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen”.
Bahasa kebangsaan ialah bahasa untuk kegunaan semua warganegara Malaysia. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu menjadi bahasa negara, iaitu bahasa yang berstatus tinggi yang perlu digunakan dalam sebarang urusan rasmi bagi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, dan pihak berkuasa awam.
Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 turut menguatkuasakan pelaksanaan penggunaan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan awam bagi urusan rasmi dalam negara dan antarabangsa kepada semua pegawai awam, ketua jabatan, dan anggota pentadbiran kerajaan.
Keduanya, bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi negara. Hal ini diperakukan melalui Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Akta yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 1971 dan dipinda pada tahun 1983 ini dengan jelas menyokong peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan tentang ciri rasmi. Seksyen 2 menegaskan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud-maksud rasmi, manakala Seksyen 8 menetapkan bahawa segala prosiding di mahkamah hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan atau dalam bahasa Inggeris, atau sebahagian-sebahagian mengikut keperluan. Seksyen 9 menjelaskan bahawa tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi tetapi tidak melarang penggunaan tulisan Jawi. Selain itu, mengikut Seksyen 11, terjemahan borang dalam bahasa Melayu boleh diguna pakai.
Yang ketiga, bahasa Melayu ditetapkan sebagai bahasa pengantar pendidikan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan. Penetapan itu selari dengan peruntukan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
Peruntukannya terdapat dalam Akta Pendidikan 1996, yang merupakan lanjutan daripada Ordinan Pelajaran 1961. Mengikut Seksyen 17, bahasa kebangsaan menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan, melainkan sekolah jenis kebangsaan tertentu, atau yang dikecualikan oleh Menteri.
Selain itu, jika bahasa kebangsaan bukan bahasa pengantar (di sekolah bukan aliran kebangsaan), bahasa kebangsaan hendaklah diajarkan sebagai mata pelajaran wajib. Hal ini bermakna bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa pembelajaran sejak sekolah rendah hingga peringkat pendidikan tinggi.
Peruntukan-peruntukan itu menunjukkan bahawa bahasa Melayu telah diberikan taraf yang tinggi semenjak negara memperoleh kemerdekaan. Maka, menjadi tanggungjawab warganegara untuk memartabatkannya supaya terus berada di puncak dengan cara sentiasa menggunakannya dan mematuhi peraturan-peraturannya.
Jika diteliti, peruntukan-peruntukan itu sebenarnya tidaklah mengongkong rakyat Malaysia daripada berbahasa lain. Bahasa lain boleh digunakan pada tempat, waktu dan keperluan tertentu, iaitu semasa di luar urusan rasmi, dan ketika berurusan dengan pihak asing yang tidak dapat berbahasa kebangsaan kita.
Namun, sebaik-baiknya biarlah kita berbahasa kebangsaan ketika berhubung sesama kita, sama ada di dalam atau di luar negara. Bahasa kebangsaan hak kita dan menjadi jati diri masyarakat kita. Tidak akan ada orang lain yang akan memartabatkannya, kalau bukan kita sendiri yang berbuat demikian. Cintailah bahasa kebangsaan kita.

0 Komentar untuk " Bahasa Melayu bahasa di puncak "