Al-Quran dalam tradisi hafazan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Al-Quran dalam tradisi hafazan

AL-QURAN terhubung rapat dengan kemahiran hafazan.

Corak hafazan tidak hanya tekstual atau harfiah dengan tajwid, tartil, qiraat dan taranum yang sempurna tetapi terkandung faktor kontekstual menghubungkannya dengan waqi’ atau realiti.

 Rasulullah SAW sewaktu di Madinah memulakan tradisi halaqah di mana al-Quran tidak saja dibaca tetapi difahami. Di luar masjid Madinah terbina as Suffah bagi kanak-kanak menghafaz al-Quran dan mempelajari asas-asas agama. Tradisi hafazan ini dilanjutkan di Quttab, Nizamiyyah dan juga Madrasah.

Tradisi hafazan dalam kalangan sahabat-sahabat Nabi memberi mereka kekuatan untuk mengembangkan Islam. Malah dalam kalangan ulama dan ilmuwan selepasnya ramai yang menjadi huffaz (hafaz Quran) dan menjadikan al-Quran sebagai sumber ilmu yang paling utama memahami yang nyata dan ghaib serta terhubung langsung memahami faktor kejadian, alam, cakerawala, bumi dan langit dengan segala isinya.

Umat Islam mampu membangunkan suatu tamadun kerana tradisi tadabbur (uji-kaji) dalam kalangan ulama-ilmuwannya tinggi dan Islam tidak saja berkembang dalam batas diniah atau agama tetapi merentasi bidang sains dan teknologi.

Hafazan al-Quran tidak saja sifatnya kognitif (melibatkan hasil pemikiran dan pengingatan) tetapi juga bersifat afektif (hati-budi) yang menyebabkan faktor fikir dan zikir bertaut. Faktor akliah dan nakliah menjadi sinergi yang sifatnya memberi pedoman dan petunjuk.

Tradisi hafazan ini memberi erti yang cukup tersendiri kerana yang diingati, dihafaz dan difahami ialah kalam ALLAH. Al-Quran tidak saja terkandung pedoman mengenai akidah, ibadah, syariah, akhlak dan kisah tetapi ia adalah sumber rujukan lengkap mengenai kehidupan dan segala fenomena yang berkaitan dengannya.

Bayangkan menghafaz al-Quran dengan tafsirnya sekali memberi para huffaz kekuatan untuk menyampaikan dakwah dan tarbiyyah tidak saja mengenai hal-hal yang ghaib tetapi juga pedoman dalam kehidupan seharian. Al-Quran membekalkan kita hujah yang benar dan terbaik, lebih-lebih lagi khulasahnya (huraian) menjadikan kita berilmu dan tahu akan faktor zahir dan batin.

Al-Quran boleh membentuk fikrah manusia yang enskailopedik dan memiliki disiplin ilmu yang pelbagai kerana Islam tidak sekadar memiliki suatu sistem kepercayaan tetapi ia adalah suatu cara hidup.

Hafazan dan tafsir yang disantuni dengan tradisi tadabbur menyebabkan faktor nakliah disantuni dan diperkukuhkan dengan suatu bentuk tasawwur yang boleh memberi arah pedoman mengenai ilmu dan ilmu pengetahuan. Agama tidak hanya difahami secara rohaniah atau ritual tetapi manifestasi rohaniah dan ritual terlihat pada amal dan sistem dan membentuk watak mithali yang menjadi sumber ikutan dan pedoman.

Hari ini ibu bapa berlumba-lumba menghantar anak ke institusi tahfiz dengan pertimbangan anak-anak akan mendekati agama dan berada dalam kehidupan beragama bila remaja dan dewasanya nanti. Hakikatnya al-Quran bukan sekadar dibaca, diingat dan dihafaz. Ia ditanzilkan sebagai kitab ilmu merangkumi pelbagai dimensi dan disiplin.

Menjadi huffaz dengan segala macam aturan dan keperluan adalah suatu tuntutan. Mempelajari ilmu tafsir supaya kefahaman terjadi adalah suatu hal yang penting. Mengaplikasikan kefahaman al-Quran supaya ia menjadi sumber islah dan tajdid dan membawa perubahan menjadi agenda penting.

Sifat zaman yang dinamik berubah menuntut keseiringan ilmu al-Quran supaya ia relevan dengan kehidupan dan perkembangan zaman. Prinsip dan apa yang terkandung dalam al-Quran tetapi tidak berubah sehingga bila-bila. Tetapi keupayaan para ulama dan ilmuwan tafsir mengambil pendekatan fikiyyah atau fekah dan syariah membuka jalan ijtihad terjadi.

Sebab itu zaman kegemilangan tamadun Islam ulama dan ilmuwan besar umumnya huffaz, memahami dan mendalami ilmu tafsir serta ilmu terhubung dengan disiplin ilmu dan pelbagai bidang sehingga terdapat para ilmuwan yang menguasai pelbagai disiplin ilmu seperti sains, matematik, perubatan, ilmu bedah, astronomi dan berbagai lagi.

Ternyata kehebatan hafazan membangun jiwa Qurani dan al-Quran dijadikan sumber pedoman untuk membangun fikrah serta tasawwur supaya sifat ilmu berkembang dan merangkumi serta ia menjadi landasan membina tamadun. Inilah cita-cita institusi Ululalbab di Malaysia yang menuntut pengukuhan dan natijah akhirnya menghasilkan ilmuwan serta profesional unggul.

* Pro Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

0 Komentar untuk " Al-Quran dalam tradisi hafazan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ