Yang biasa dan yang tepat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Yang biasa dan yang tepat

SETIAP hari kita menggunakan bahasa, tetapi mempersembahkan bahasa yang betul sebenarnya tidaklah semudah yang disangka. Seperti matematik atau sains, bahasa juga mempunyai “sifir”. Sebab itulah bahasa juga dianggap sebagai suatu sains.

Setiap penggunaannya berlandaskan peraturan yang tertentu. Maksudnya, binaan perkataan, rangkai kata dan ayat tidak boleh dibuat sesedap rasa sahaja. Ramuannya perlu cukup dan susunannya perlu sesuai.

Kita selalu menganggap bahawa kosa kata yang kita gunakan menepati matlamat kita. Saya sendiri menggunakan perkataan 'sebarangan' untuk maksud “tidak dengan usul periksa” beberapa lama dahulu, tetapi saya menemukan perkataan sembarangan dalam satu makalah.

Apabila saya merujuk kamus, perkataan 'sebarangan' yang selalu saya gunakan itu tiada, sebaliknya yang ada untuk maksud itu ialah sembarangan. Saya juga pernah mengeja 'stokin' untuk sarung kaki, tetapi mengikut kamus dan daftar ejaan Rumi, ejaannya ialah stoking. Ada orang Terengganu yang berseloroh bahawa perkataan itu berasal daripada dialek Terengganu kerana diakhiri oleh bunyi “ng” itu.

Kita juga amat lazim menggunakan rangkai kata 'sambil lewa' untuk maksud tidak sungguh-sungguh, namun mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa terdapat perkataan lain, iaitu sambalewa.

Boleh jadi disebabkan bunyinya yang kedengaran janggal maka penutur memilih cara mudah dan lebih selesa dengan menggunakan sambil lewa lalu menjadi kebiasaan. 'Sambil lewa' bersamaan dengan kata majmuk sambil lalu yang bermaksud sepintas lalu dan tidak dengan sungguh-sungguh.

Untuk memperkatakan hal yang dialami masyarakat, kerap kita temukan perkataan gejala digunakan untuk maksud yang tidak tepat. Perhatikan ayat ini: Gejala demam denggi sudah meragut beberapa nyawa. Maksud yang betul bagi gejala ialah keadaan atau hal yang menjadi tanda akan berlakunya sesuatu.

Dengan itu, gejala demam denggi ialah tanda-tanda yang menunjukkan akan terjadinya penyakit demam denggi, antaranya demam yang berpanjangan, timbulnya bintik-bintik merah pada kulit, dan muntah-muntah.

Ternyata ayat itu tidak tepat dari segi makna. Yang meragut nyawa ialah demam denggi, bukan gejala. Oleh itu, perkataan gejala tidak perlu digunakan dalam ayat itu. Demikianlah juga halnya bagi gejala ponteng sekolah, gejala penyalahgunaan dadah, gejala menghisap vape, dan sebagainya.

Terdapat perkataan yang ejaan dan bunyinya hampir sama dan dapat mengelirukan pengguna bahasa. Contoh yang mudah ialah perkataan rasmi dan resmi.

Perkataan rasmi bermaksud disahkan atau ditentukan oleh pihak yang bertanggungjawab, contohnya: Surat rasmi tentang pelantikan itu akan disampaikan kemudian, manakala perkataan resmi bermaksud sifat semula jadi, resam, atau kebiasaan, seperti dalam ayat: Sudah menjadi resmi ayam berbuat bising selepas bertelur. Oleh sebab maknanya berbeza sama sekali maka kedua-duanya tidak boleh digunakan secara bertukar ganti.

Perkataan-perkataan lain yang berciri demikian antaranya ialah telor dengan telur, adab dengan adat, menyusul dengan menyusur, dan lain-lain lagi.

Perkataan yang bersinonim (sama erti) juga tidak seratus peratus sama dan boleh digunakan pada semua keadaan. Contohnya perkataan dekat, hampir, dan nyaris, sesuai jika pada frasa (rangkai kata) dekat dengan masjid , hampir dengan masjid,  hampir kalah, dan nyaris kalah, tetapi tidak sesuai jika pada rangkai kata nyaris dengan masjid dan dekat kalah.

Penggunaan perkataan dan rangkai kata yang tepat sangat penting dalam perhubungan sehari-harian, sama ada secara lisan ataupun tulisan.

Selain dapat menggambarkan status bahasa Melayu yang tinggi, ketepatan pemilihan perkataan dapat mengelakkan kekeliruan dari segi makna, terjadinya silap faham, dan salah tafsir.

Menurut peribahasa Melayu, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk akibatnya. Maka, untuk memastikan bahawa perkataan yang digunakan sesuai dan mengikut konteks, sewajarnya kita merujuk kamus.

Daripada kamus dapat kita pilih perkataan yang tepat. Dengan itu, kita dapat berbahasa dengan berkesan. Gunakanlah bahasa yang betul. Bahasa Jiwa Bangsa.

0 Komentar untuk " Yang biasa dan yang tepat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ