PMG pencetus generasi kampus - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

PMG pencetus generasi kampus

PADA 22 hingga 25 Januari lalu, Kesatuan Pelajar-Pelajar Islam Perak (KPIP) bersama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menganjurkan Perkampungan Menara Gading (PMG) peringkat negeri Perak di Kolej Universiti Sultan Azlan Shah (KUISAS), Kuala Kangsar, Perak.

Perkampungan Menara Gading Perak ataupun PMG Perak ini merupakan program tahunan KPIP kepada pelajar-pelajar yang bakal bergelar mahasiswa dengan memberi pendedahan awal serta cabaran yang akan ditempuhi sepanjang berada di kampus.

Ia juga sebagai membina jati diri yang kukuh agar tidak terikut dengan arus negatif seperti gejala sosial yang sekarang ini banyak melibatkan penuntut-penuntut IPT.

Bertemakan Menuju Puncak Keilmuan, Menjana Kegemilangan Peribadi, barisan urus setia dan fasilitator PMG Perak seramai 68 orang yang terdiri daripada mahasiswa-mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malasyia (UIAM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Universiti Sains Malaysia (USM), Kuisas dan Politeknik Ungku Omar. Mereka merupakan ahli KPIP yang sedia meluangkan cuti semester untuk menyumbang kepada masyarakat.

Peserta PMG Perak pula terdiri 140 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pelbagai sekolah di negeri Perak dan yang berhampiran Kuala Kangsar antaranya Sekolah Izzudin Shah, Sekolah Raja Perempuan Taayah, Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah, Sekolah Menengah Kebangsaan Arab (SMKA) Sultan Azlan Shah, SMKA Kerian, Madrasah Idrisiah, SMK Tun Perak, SABK Maahad Khair Lil Banat, dan lain-lain.

Pelbagai modul diadakan

Bagi melahirkan mahasiswa ideal, urus setia KPIP telah menyediakan aktiviti dan modul seperti forum, explorace dan slot ilmuwan berteraskan konsep latihan dinamika kumpulan.

PMG Perak tahun ini juga tampil sedikit kelainan dengan menganjurkan karnival universiti yang bertujuan memberi pendedahan dan penerangan ringkas kepada peserta tentang jurusan dan universiti yang mereka minati.

Secara zahirnya program karnival universiti ini dapat memberikan pendedahan yang jelas kepada peserta kerana segala bentuk penerangan adalah daripada kalangan pelajar universiti tersebut.

Menariknya, pihak urusetia KPIP mendapat maklum balas positif berkaitan program ini.

“Alhamdulillah, saya berpeluang menyertai PMG Perak 2015. Program ini  sedikit sebanyak memberi gambaran tentang suasana dan persediaan ke institusi pengajian tinggi (IPT) nanti. Saya juga dapat berkenalan dengan ramai pelajar dari pelbagai sekolah.

"Pengisian kerohanian juga amat menarik seperti solat berjemaah, membaca Surah Al Mulk beramai- ramai serta membaca Al-Mathurat.

"Saya juga tidak boleh menjadi mahasiswa 3K iaitu mahasiswa yang hanya tahu ke kuliah, kafe, dan katil tetapi tidak cakna tentang isu semasa. InsyaALLAH segala pesanan ini akan saya praktikkan,” kata Nur Fauzah Azlin, peserta SMK Bukit Merchu, Kuala Kangsar.

Sementara itu, menurut Nur Fatinah Zulkelnain, pelajar SMK Raja Perempuan Ta’ayah, Ipoh, dia berterima kasih kepada pihak penganjur kerana program seperti ini telah memberi pelbagai manfaat kepada lepasan SPM.

Menurutnya, semua ilmu yang dimuatkan begitu berguna. Ia memberi pelbagai gambaran suasana dan dorongan ke universiti. Latihan dalam kumpulan (LDK) melahirkan sikap bekerjasama antara kumpulan.

"Ia juga menanam sikap persediaan yang perlu ada dalam diri bakal mahasiswa seperti saya. Saya juga tidak akan lepaskan peluang untuk menyertai PMG Kebangsaan 2015 yang akan diadakan Mac ini. Insya ALLAH segala ilmu yang diberikan akan saya praktikkan," katanya.

Majlis Penutup dihadiri Yang Dipertua Kesatuan Pelajar-Pelajar Islam Perak, Ustaz Khairil Amri Abdul Rahman, Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Muhammad Khair Sujud, dan dekan Fakulti Pengurusan Kuisas, Dr Anas Tajuddin.

Perkampungan Menara Gading ini diakhiri dengan ucapan Yang Dipertua KPIP yang mengandungi nasihat, semangat dan harapan kepada para pelajar yang akan melangkah ke menara gading dan bidang bakal diceburi nanti.  Majlis melabuhkan tirai diikuti nyanyian lagu keramat PMG Suara Hati oleh peserta, fasilitator dan barisan komiti.

Pihak penganjur juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak yang banyak membantu dari segi material ataupun memberi dorongan kepada pihak KPIP untuk menganjurkan program penting dan besar ini.

Tidak lupa juga kepada pihak Kuisas dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) kerana sudi membantu dari segi menampung perbelanjaan dalam menghasilkan generasi baharu yang akan memberi manfaat kepada semua.

0 Komentar untuk " PMG pencetus generasi kampus "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ